Kanser apendiks adalah sejenis kanser yang jarang tumbuh di dalam apendiks. Terdapat beberapa jenis kanser apendiks, dan gejala biasanya tidak berlakupada peringkat awal.
Apendiks adalah kantung berbentuk tubular seperti jari sepanjang 4 inci yang menghubungkan ke bahagian pertama usus besar. Para saintis tidak memahami sepenuhnya fungsi sebenar organ ini. Individu masih boleh menjalani kehidupan normal dan sihat walaupun tanpa apendiks.
Kanser ini yang juga dikenali sebagai ‘appendiceal cancer’ sangat jarang berlaku. Pakar menganggarkan bahawa jenis kanser ini menyerang sekitar 2 hingga 9 orang per 1 juta individu. Namun, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa statistik kanser apendiks mungkin akan meningkat.
Jenis Kanser Apendiks
Kanser apendiks merangkumi beberapa jenis sel tumor yang boleh mempengaruhi pelbagai bahagian apendiks.
Ada sebilangan tumor apendiks yang jinak, bermaksud ia tidak menyerang dan merebak. Manakala ada juga tumor lain yang ganas, dan merupakan barah, yang bermaksud ia menyerang dan boleh merebak ke atau daripada organ lain.
Tumor apendiks mungkin boleh jadi salah satu daripada jenis berikut:
- Tumor neuroendokrin. Ini juga dikenali sebagai tumor karsinoid, dan jenis ini biasanya bermula di hujung apendiks dan menyumbang kepada lebih separuh kes apendiks yang mengganas.
- Sistadenoma berlendir. Ini adalah tumor jinak yang bermula di ‘mucoceles’, yang merupakan kawasan edema atau kantung yang penuh dengan lendir di dinding apendiks. Sistadenoma berlendir adalah jinak dan tidak merebak ke organ lain ketika berada di apendiks yang utuh. Malah, ia juga dikenali sebagai neoplasma berlendir dengan mutu rendah.
- Sistadenokarsinoma berlendir. Tumor jenis ini juga bermula di ‘mucoceles’, tetapi bersifat ganas dan boleh merebak ke tempat lain. Jenis ini telah menyumbang kepada kira-kira 20 peratus daripada semua kes kanser apendiks.
- Adenokarsinoma jenis kolon. Kira-kira 10 peratus daripada semua tumor apendiks adalah adenokarsinoma, dan biasanya bermula di dasar apendiks jika berasal dari organ ini. Jenis ini boleh merebak ke organ dan kawasan badan yang lain.
- Karsinoma sel goblet. Jenis ini juga dikenali sebagai tumor adenoneuroendokrin dan mempunyai ciri yang serupa dengan tumor neuroendokrin dan adenokarsinoma. Karsinoma sel goblet boleh merebak ke organ lain dan cenderung menjadi lebih agresif berbanding tumor neuroendokrin.
- Adenokarsinoma sel mohor-cincin (signet-ring). Ini adalah tumor ganas yang jarang berlaku dan sukar dirawat, serta tumbuh lebih cepat dan lebih sukar untuk dikeluarkan berbanding jenis adenokarsinoma lain.
- Paraganglioma. Tumor jenis ini biasanya adalah jinak. Walau bagaimanapun, literatur perubatan telah melaporkan satu kes paraganglioma ganas yang jarang berlaku di apendiks.
Simptom Kanser Apendiks
Kanser apendiks mungkin tidak mempunyai gejala yang ketara pada awalnya. Biasanya, ia hanya dikesan semasa pembedahan atau semasa melakukan ujian imbasan bagi keadaan lain seperti keradangan apendiks.
Doktor anda juga mungkin dapat mengesannya semasa melakukan ujian kolonoskopi secara rutin. Walau bagaimanapun, jika terdapatnya gejala, ini mungkin termasuk:
- Perut kembung
- Jisim ovari
- Sakit perut kronik atau parah
- Ketidakselesaan khusus di perut kanan bahagian bawah
- Penyumbatan usus
- Hernia
- Cirit-birit
Sebilangan besar gejala ini mungkin tidak berlaku sehingga kanser mencapai tahap lebih maju.
Punca Kanser Apendiks
Pakar belum mengetahui dengan tepat apa yang menyebabkan kanser apendiks. Mereka juga tidak menemui perkaitan antara kanser apendiks dengan penyebab genetik atau persekitaran.
Doktor kebanyakannya mempercayai bahawa kanser jenis ini boleh mempengaruhi individu lelaki dan wanita secara sama rata. Memandangkan ia jarang berlaku pada golongan kanak-kanak, menjadi orang dewasa adalah satu-satunya faktor risiko yang diketahui sehingga kini. Sebilangan besar individu berumur antara 40 hingga 59 tahun ketika didiagnosis dengan kanser apendiks.
Diagnosis Kanser Apendiks
Kanser apendiks sukar didiagnosis pada peringkat awal kerana ia tidak mempunyai begitu banyak gejala. Tiada ujian darah atau air kencing yang dipercayai untuk mendiagnosis kanser ini. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda atau gejala yang menunjukkan anda mungkin menghidap penyakit ini, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan mengambil sejarah perubatan. Selain itu, doktor juga akan menanyakan soalan mengenai gejala dan penyakit yang anda mungkin pernah alami pada masa lalu. Anda kemudian boleh diarahkan untuk melakukan beberapa ujian, termasuklah:
- Pengimejan: Ujian pencitraan membolehkan doktor melihat sama ada terdapat tumor yang kelihatan di dalam atau di sekitar apendiks. Jenis ujian pencitraan ini adalah:
- Imbasan CT
- Imbasan MRI
- Imbasan PET
- Skop: Tiub panjang dengan lampu dan kamera di satu hujungnya membolehkan doktor melihat ke dalam sistem gastrousus anda bagi mencari sebarang ketumbuhan yang mungkin ada. Satu jenis ujian biasa yang menggunakan kaedah skop adalah:
- Kolonoskopi. Kolonoskop dimasukkan ke dalam rektum dan masuk ke dalam usus besar. Kadangkala, pakar endoskopi dapat melihat tumor tumbuh keluar dari apendiks ke dalam kolon.
- Biopsi: Dalam ujian ini, sekeping tisu kecil dikeluarkan dari kawasan yang mencurigakan dan dihantar ke makmal untuk diperiksa bagi mengesan kehaidran sel-sel tidak normal atau kanser.
Faktor Risiko Kanser Apendiks
Walaupun beberapa pakar menyatakan bahawa tiada faktor risiko yang ditetapkan untuk mengembangkan kanser apendiks, beberapa faktor yang berpotensi telah dicadangkan.
Ini termasuklah:
- Anemia yang merosakkan, kekurangan vitamin B-12.
- Gastritis atropik, atau keradangan jangka masa panjang dalam lapisan perut.
- Sindrom Zollinger-Ellison, satu keadaan dalam saluran pencernaan.
- Sejarah keluarga dengan masalah pelbagai neoplasia endokrin jenis 1 (MEN1), gangguan yang menyebabkan tumor di kelenjar yang menghasilkan hormon.
- Merokok.
Rawatan Kanser Apendiks
Rawatan untuk kanser apendiks bergantung kepada:
- Jenis tumor
- Peringkat kanser
- Kesihatan keseluruhan individu
Pembedahan adalah rawatan yang paling biasa bagi kanser apendiks setempat. Sekiranya kanser terletak hanya pada apendiks, biasanya rawatan dilakukan untuk membuang apendiks. Ini juga disebut sebagai apendektomi.
Seterusnya, bagi beberapa jenis kanser apendiks, atau jika tumornya bersaiz lebih besar, doktor boleh mengesyorkan untuk membuang separuh daripada kolon anda dan juga sebilangan nodus limfa. Pembedahan untuk membuang separuh kolon ini disebut sebagai hemikolektomi.
Sekiranya kanser telah merebak, maka doktor mungkin mengesyorkan pembedahan cytoreductive, juga disebut sebagai debulking. Dalam pembedahan jenis ini, pakar bedah akan mengeluarkan tumor, cecair di sekitarnya dan mungkin juga organ berdekatan yang melekat pada tumor.
Rawatan juga boleh merangkumi kemoterapi sebelum atau selepas pembedahan jika:
- Tumor lebih besar daripada 2 sentimeter.
- Kanser telah merebak, terutamanya ke nodus limfa.
- Kanser adalah lebih agresif.
Jenis kemoterapi termasuk:
- Kemoterapi sistemik, diberikan secara intravena atau melalui mulut.
- Kemoterapi serantau, diberikan terus ke perut, seperti kemoterapi intraperitoneal (EPIC) atau kemoterapi intraperitoneal hipertermik (HIPEC).
- Gabungan kemoterapi sistemik dan kemoterapi serantau.
Selepas itu, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut dengan ujian pencitraan, seperti imbasan CT atau MRI, untuk memastikan tumor telah tiada sepenuhnya.
SUMBER
https://www.medicalnewstoday.com/articles/323955
https://www.healthline.com/health/appendix-cancer
https://www.mskcc.org/cancer-care/types/appendiceal/diagnosis