Kanser esofagus adalah jenis kanser yang berlaku di esofagus iaitu tiub berongga panjang yang mengalir dari kerongkong ke perut anda. Esofagus membantu anda menggerakkan makanan yang anda telan dari belakang kerongkong ke perut anda bagi proses pencernaan.
Selain itu, jenis kanser ini biasanya bermula pada sel-sel yang melapisi bahagian dalam esofagus dan boleh berlaku di mana sahaja pada sepanjang esofagus. Di samping itu, kanser ini biasanya lebih banyak memberi kesan kepada golongan lelaki berbanding wanita.
Kanser ini juga adalah penyebab kematian disebabkan kanser yang keenam paling umum di seluruh dunia. Di sesetengah kawasan, kadar kanser esofagus lebih tinggi adalah disebabkan penggunaan tembakau dan alkohol ataupun tabiat pemakanan tertentu dan masalah obesiti.
Jenis Kanser Esofagus
Kanser esofagus dikelaskan mengikut jenis sel yang terlibat. Jenis kanser esofagus yang anda miliki boleh membantu menentukan pilihan rawatan anda. Seterusnya, jenisnya termasuklah:
- Adenokarsinoma. Adenokarsinoma bermula pada sel-sel kelenjar yang mengeluarkan lendir di esofagus. Ia berlaku paling kerap di bahagian bawah esofagus. Malah, ia adalah bentuk kanser esofagus yang paling biasa di Amerika Syarikat, dan lebih banyak menyerang lelaki berkulit putih.
- Karsinoma sel skuamosa. Sel skuamosa adalah sel rata dan nipis yang melapisi permukaan esofagus. Jenis ini berlaku paling kerap di bahagian atas dan tengah esofagus. Malah, ia juga merupakan kanser esofagus yang paling banyak berlaku di seluruh dunia.
- Jenis lain yang jarang berlaku. Beberapa bentuk kanser esofagus yang jarang berlaku termasuklah karsinoma sel kecil, sarkoma, limfoma, melanoma dan choriocarcinoma.
Simptom Kanser Esofagus
Semasa peringkat awal kanser esofagus, anda mungkin tidak akan mengalami sebarang gejala. Namun, jika kanser tersebut telah berkembang, anda mungkin mengalami:
- Penurunan berat badan yang tidak disengajakan.
- Senak perut.
- Pedih ulu hati.
- Kesakitan atau kesukaran semasa menelan.
- Kerap tersedak semasa makan.
- Muntah.
- Makanan kembali ke esofagus.
- Sakit dada.
- Keletihan.
- Batuk kronik.
- Tersedu.
Punca Kanser Esofagus
Seperti kebanyakan kanser, penyebab kanser esofagus belum diketahui. Ia dipercayai berkaitan dengan kelainan (mutasi) dalam DNA sel yang berkaitan dengan esofagus. Mutasi ini memberi isyarat kepada sel untuk membiak dengan lebih cepat daripada sel normal.
Mutasi ini juga boleh mengganggu isyarat yang mengarahkan sel-sel ini mati apabila sepatutnya. Bila ini terjadi, ia menyebabkan sel-sel tersebut berkumpul dan membentuk tumor.
Diagnosis Kanser Esofagus
Bagi mendiagnosis kanser esofagus, doktor akan mengkaji gejala anda, sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan. Di samping itu, doktor juga boleh meminta anda melakukan ujian darah dan sinar-X tertentu.
Ujian untuk kanser esofagus mungkin termasuk:
- X-ray selepas menelan barium: Anda akan minum cecair yang melapisi esofagus anda. Ini menjadikan esofagus menonjol pada sinar-X bagi membantu doktor mengenal pasti jika adanya masalah tertentu.
- Endoskopi: Doktor akan memasukkan endoskopi, tiub ringan dan nipis ke dalam kerongkong hingga ke esofagus anda untuk memeriksanya. Ultrabunyi endoskopi menggunakan gelombang bunyi untuk memberikan lebih banyak maklumat mengenai perkembangan tumor dalam tisu berdekatan.
- Biopsi: Dalam prosedur endoskopi, doktor boleh mengambil sampel sel atau tisu daripada esofagus anda. Sel-sel tersebut kemudian akan diperiksa di bawah mikroskop untuk mengetahui sekiranya adanya kanser atau tidak.
Ujian lain termasuklah imbasan tomografi berkomputer (CT), imbasan tomografi pelepasan positron (PET), torakoskopi dan laparoskopi yang boleh dilakukan untuk menentukan sama ada kanser telah merebak atau metastasized di luar esofagus. Proses ini dipanggil sebagai “pementasan” (staging). Doktor memerlukan maklumat ini untuk merancang pelan rawatan anda yang sesuai.
Faktor Risiko Kanser Esofagus
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser esofagus. Ia merangkumi:
- Merokok atau penggunaan tembakau yang lain.
- Penggunaan alkohol yang berat.
- Penyakit gastroesophageal reflux (GERD), di mana kandungan dan asid daripada perut kembali ke esofagus.
- Esofagus Barrett, keadaan yang mempengaruhi bahagian bawah esofagus dan boleh menyebabkan kanser esofagus.
Di samping itu, kumpulan tertentu seperti individu lelaki, berumur dan individu yang obes juga mempunyai risiko lebih tinggi bagi mendapat kanser esofagus. Risiko adenokarsinoma esofagus pula lebih tinggi pada lelaki berkulit putih, tetapi karsinoma sel skuamosa esofagus lebih biasa memberi kesan pada pada lelaki berketurunan Asia lelaki dan lelaki dengan variasi warna kulit.
Rawatan Kanser Esofagus
Seperti kebanyakan kanser, rawatan kanser esofagus mempunyai peluang lebih besar untuk berjaya sekiranya kanser itu dikesan lebih awal. Malangnya, semasa kanser esofagus didiagnosis bagi kebanyakan individu, biasanya ia sudah berada pada tahap lanjut (telah merebak ke seluruh esofagus dan kawasan lain).
Rawatan kanser esofagus bergantung pada banyak faktor, termasuklah tahap kanser dan kesihatan keseluruhan pesakit.
– Pembedahan
Sekiranya kanser bersaiz kecil dan belum merebak, doktor boleh mengeluarkan tumor menggunakan pendekatan invasif minimal, menggunakan endoskopi dan beberapa hirisan kecil.
Dalam pendekatan standard, pakar bedah akan membedah melalui hirisan lebih besar untuk membuang sebahagian esofagus dan kadangkala nodus limfa di sekitarnya. Tiub itu kemudian dibina semula dengan tisu dari perut atau usus besar. Dalam kes yang parah, bahagian atas perut juga boleh dikeluarkan.
Risiko bagi pembedahan sebegini termasuklah rasa sakit, pendarahan, kebocoran pada kawasan di mana esofagus yang dibina semula melekat pada perut, komplikasi paru-paru, masalah menelan, mual, pedih ulu hati dan jangkitan.
– Kemoterapi
Kemoterapi melibatkan penggunaan ubat untuk menyerang sel kanser. Prosedur ini boleh dilakukan sebelum atau selepas pembedahan. Ia kadangkala disertai dengan terapi radiasi.
Selain itu, rawatan ini mempunyai beberapa kesan sampingan yang boleh berlaku. Sebilangan besar kesan ini timbul kerana ubat kemoterapi juga membunuh sel yang sihat. Namun, ia bergantung pada ubat yang ditetapkan oleh doktor anda. Kesan sampingan ini boleh merangkumi:
- Keguguran rambut.
- Loya.
- Muntah.
- Keletihan.
- Kesakitan.
- Neuropati.
– Terapi radiasi
Terapi radiasi menggunakan pancaran radiasi untuk membunuh sel kanser. Radiasi dapat diberikan secara luaran (dengan penggunaan mesin) atau secara dalaman (dengan alat yang diletakkan di dekat tumor, disebut brachytherapy).
Radiasi biasanya dilakukan bersama rawatan kemoterapi, dan kesan sampingan biasanya lebih parah ketika rawatan gabungan digunakan. Kesan sampingan radiasi boleh merangkumi:
- Kulit yang kelihatan seperti terbakar.
- Kesakitan atau kesukaran semasa menelan.
- Keletihan.
- Ulser yang menyakitkan pada lapisan esofagus.
Ada kemungkinan bahawa anda boleh mengalami beberapa kesan sampingan ini walaupun rawatan kanser telah lama selesai. Ini termasuklah penyempitan esofagus, di mana tisu menjadi kurang lentur dan boleh menyebabkan esofagus menjadi sempit, menjadikannya sakit atau sukar untuk menelan.
– Terapi yang disasarkan
Terapi yang disasarkan dapat mensasarkan protein tertentu pada sel kanser untuk merawat keadaan tersebut. Sebilangan kecil kanser esofagus dapat dirawat dengan Trastuzumab. Ia mensasarkan protein HER2 di permukaan sel kanser di mana protein telah membantu pertumbuhan sel-sel kanser.
Di samping itu, kanser juga boleh tumbuh dan merebak dengan menghasilakn saluran darah baru. Ramucirumab adalah sejenis terapi disasarkan yang disebut sebagai “antibodi monoklonal”, dan ini mengikat protein VGEF yang membantu menghasilkan saluran darah baru.
– Rawatan lain
Sekiranya esofagus anda tersumbat akibat kanser, doktor mungkin dapat memasukkan stent (tiub yang diperbuat daripada logam) ke dalam esofagus untuk membiarkan ia tetap terbuka. Kemudian, doktor juga mungkin menggunakan terapi fotodinamik yang melibatkan suntikan ubat fotosensitif terhadap tumor yang akan diserang apabila terkena cahaya.
Sebagai tambahan, doktor boleh mengesyorkan agar anda mengambil bahagian dalam ujian klinikal, di mana ubat atau rawatan baru diuji pada pesakit. Kejayaan ujian ini membantu menentukan sama ada ubat atau rawatan itu akan disetujui oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah atau tidak.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/esophageal-cancer/symptoms-causes/syc-20356084