Ovari adalah organ bersaiz badam – satu di setiap sisi rahim wanita yang menyimpan telur dan menghasilkan hormon wanita. Apabila anda mempunyai kanser ovari atau ‘ovarian cancer’, sel-sel jahat (malignant) mula tumbuh di ovari. Kanser yang bermula di bahagian lain badan anda juga boleh merebak, atau ‘metastasize’ ke ovari anda, tetapi itu tidak dianggap sebagai kanser ovari.
Jenis-jenis Kanser Ovari
Lokasi sel di mana kanser bermula itu yang menentukan jenis kanser yang anda miliki. Jenis kanser tersebut termasuk:
- Tumor epitelium, yang bermula di lapisan nipis tisu merangkumi bahagian luar ovari. Kira-kira 90 peratus kanser ini adalah jenis tumor epitelium.
- Tumor stromal, yang bermula dalam tisu ovari mengandungi sel penghasil hormon. Tumor ini biasanya didiagnosis pada peringkat awal berbanding jenis tumor ovari yang lain. Sekitar 7 peratus tumor ovari adalah jenis stromal.
- Tumor sel kuman, yang bermula di sel-sel penghasil telur. Kanser ovari ini jarang berlaku pada wanita yang lebih muda.
Simptom Kanser Ovari
Kanser ovari peringkat awal jarang menyebabkan sebarang gejala. Namun begitu, kanser ovari pada peringkat lanjut mungkin menyebabkan gejala-gejala tertentu dan sering dikelirukan dengan keadaan lain.
Tanda-tanda dan gejala kanser ini mungkin termasuk:
- Perut kembung atau bengkak.
- Cepat berasa kenyang apabila makan.
- Pengurangan berat badan.
- Ketidakselesaan di kawasan pelvis.
- Perubahan dalam tabiat usus, seperti sembelit.
- Keperluan kerap untuk buang air kecil.
Punca Kanser Ovari
Penyelidik mempunyai banyak teori, tetapi tiada siapa yang tahu punca yang menyebabkan kanser tersebut. Para saintis tidak dapat mencari satu bahan kimia dalam persekitaran atau diet kita yang boleh dikaitkan dengan kanser berkenaan, tidak seperti kanser lain.
Selain itu, aspek tertentu seperti genetik atau cara hidup anda boleh meningkatkan kemungkinan anda mendapat kanser ovari, tetapi itu tidak bermakna bahawa anda akan mendapatnya dengan pasti.
Sesetengah kanser tersebut dikaitkan dengan mutasi gen yang pertama kali ditemui dalam keluarga dengan banyak kes kanser payudara. Mutasi tersebut dipanggil: BRCA1 (kanser payudara gen 1) dan BRCA2 (kanser payudara gen 2).
Sekiranya keluarga anda berasal dari Eropah Timur atau anda mempunyai nenek moyang berketurunan Yahudi Ashkenazi, peluang anda untuk mempunyai satu mutasi BRCA adalah lebih tinggi.
Di samping itu, satu lagi jenis mutasi gen yang meningkatkan risiko kanser ovari anda adalah mutasi yang menyebabkan sindrom Lynch. Sindrom Lynch juga dikenali sebagai “kanser kolorektal bukan poliposis keturunan ” atau HNPCC.
Jika salah seorang saudara terdekat anda (nenek, ibu, kakak, anak perempuan) mempunyai kanser tersebut, anda juga mempunyai risiko yang lebih tinggi walaupun kanser mereka tidak berkaitan dengan mutasi genetik. Risiko anda juga akan meningkat jika anda mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser payudara, kanser kolon, kanser rahim atau kanser rektum.
Perkara-perkara lain yang boleh meningkatkan risiko kanser ovari anda termasuk:
- Umur. Beberapa wanita berumur lebih muda dari 40 tahun mendapat penyakit ini. Kebanyakan wanita juga mendapat kanser ovari selepas menopaus.
- Obesiti. Jika indeks jisim tubuh anda (body mass index – BMI) adalah 30 atau lebih tinggi, risiko anda mendapat penyakit ini mungkin meningkat.
- Terapi penggantian hormon. Sesetengah kajian mencadangkan penggunaan estrogen selepas menopaus akan meningkatkan risiko anda.
Peluang mendapatkan kanser ini juga boleh terjejas kerana sejarah reproduktif anda seperti apabila tempoh haid anda bermula dan berakhir, jika anda mempunyai anak-anak dan isu-isu lain yang berkaitan. Anda lebih berkemungkinan mendapat kanser ovari jika:
- Anda tidak pernah melahirkan anak.
- Anda mempunyai anak pertama selepas berusia 30 tahun.
- Haid anda bermula sebelum usia 12 tahun.
- Anda mengalami menopaus selepas umur 50 tahun.
- Anda tidak pernah mengambil pil kawalan kelahiran.
- Anda mengalami kemandulan, walaupun tidak mengambil ubat kesuburan untuk merawatnya.
Perkara-perkara lain yang boleh meningkatkan risiko kanser ovari anda termasuklah:
- Merokok.
- Menggunakan peranti intrauterin, atau IUD (Para penyelidik tidak bersetuju sama ada faktor ini boleh meningkatkan risiko penyakit ini atau tidak.)
- Sindrom ovarium polisistik, masalah dengan sistem endokrin anda yang mendorong kepada pembesaran ovari.
Diagnosis Kanser Ovari
Ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis kanser ini termasuklah:
- Peperiksaan pelvik. Semasa pemeriksaan pelvik, doktor akan memasukkan jari-jari bersarung tangan ke dalam faraj anda dan pada masa yang sama menekan tangannya di perut anda untuk merasakan (palpate) organ pelvik anda. Doktor juga secara visual akan meneliti alat kelamin bahagian luar, faraj dan serviks anda.
- Ujian pengimejan. Ujian seperti ultrabunyi atau imbasan CT perut dan pelvis anda boleh membantu menentukan saiz, bentuk dan struktur ovari anda.
- Ujian darah. Ujian darah mungkin termasuk ujian fungsi organ yang boleh membantu menentukan kesihatan keseluruhan anda.
Doktor mungkin juga menguji darah anda untuk mengesan tanda tumor yang menunjukkan kanser ovari. Sebagai contoh, ujian antigen kanser (CA) 125 dapat mengesan protein yang sering dijumpai di permukaan sel kanser ovari. Ujian ini tidak dapat memberitahu doktor sama ada anda mempunyai kanser atau tidak, tetapi mungkin memberi petunjuk mengenai diagnosis dan prognosis anda.
- Pembedahan. Kadangkala, doktor tidak dapat memastikan diagnosis anda sehingga anda menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ovari bagi diuji dengan tanda-tanda kanser.
Faktor Risiko Kanser Ovari
Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser ini termasuklah:
- Sudah berusia. Kanser ovari boleh berlaku pada usia apa-apa pun tetapi ia paling biasa berlaku dalam kalangan wanita berumur 50 hingga 60 tahun.
- Mutasi gen warisan. Peratusan kecil kanser ovari berlaku disebabkan mutasi gen yang diwarisi daripada ibu bapa anda. Gen-gen yang dikenalpasti dapat meningkatkan risiko kanser ovari dipanggil gen kanser payudara 1 (BRCA1) dan gen kanser payudara 2 (BRCA2). Selain itu, gen ini juga dapat meningkatkan risiko kanser payudara.
- Mutasi gen lain, termasuk yang berkaitan dengan sindrom Lynch, diketahui boleh meningkatkan risiko kanser ovari.
- Sejarah keluarga dengan kanser ovari. Individu dengan dua atau lebih saudara dekat yang menghidap kanser ovari mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit yang sama.
- Terapi penggantian hormon estrogen, terutamanya penggunaan jangka panjang dan pengambilan dalam dos yang besar.
- Umur ketika haid bermula dan berakhir. Mendapat haid pada usia muda atau memulakan menopaus pada usia yang lewat, atau kedua-duanya sekali boleh meningkatkan risiko kanser ovari.
Rawatan Kanser Ovari
Rawatan kanser ovari biasanya melibatkan gabungan pembedahan dan kemoterapi.
– Pembedahan
Pembedahan untuk membuang kanser ovari termasuk:
- Pembedahan untuk mengeluarkan satu ovari. Bagi kanser tahap awal yang tidak merebak di luar satu bahagian ovari, pembedahan mungkin melibatkan proses membuang ovari dan tiub fallopio yang terjejas. Prosedur ini boleh memelihara keupayaan anda untuk mempunyai anak.
- Pembedahan untuk membuang kedua-dua ovari. Sekiranya kanser hadir di kedua-dua bahagian ovari anda, tetapi tidak ada tanda-tanda kanser tambahan, pakar bedah boleh mengeluarkan kedua-dua ovari dan kedua-dua tiub fallopio anda. Prosedur ini masih mengekalkan rahim, jadi anda masih boleh hamil menggunakan embrio atau telur beku anda sendiri ataupun dengan bantuan telur daripada penderma.
- Pembedahan untuk membuang kedua-dua ovari dan rahim. Jika kanser anda meluas atau jika anda tidak ingin mengekalkan keupayaan anda untuk mempunyai anak, pakar bedah akan mengeluarkan ovari, tiub fallopio, rahim, nodus limfa yang berdekatan dan lipatan tisu perut berlemak (omentum).
- Pembedahan untuk kanser yang lebih parah. Jika kanser anda merebak, doktor boleh mengesyorkan rawatan kemoterapi diikuti dengan pembedahan untuk membuang kanser sebanyak mungkin.
– Kemoterapi
Kemoterapi adalah rawatan ubat yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel yang berkembang pesat dalam badan, termasuk sel-sel kanser. Ubat kemoterapi boleh disuntik ke dalam urat atau diambil melalui mulut. Kadangkala, ubat disuntik terus ke dalam perut (kemoterapi intraperitoneal).
Di samping itu, kaedah ini sering digunakan selepas pembedahan untuk membunuh sebarang sel kanser yang masih kekal. Ia juga boleh digunakan sebelum pembedahan.
– Terapi yang disasarkan
Terapi yang disasarkan menggunakan ubat-ubatan yang akan menyasarkan kelemahan khusus di dalam sel-sel kanser anda. Terapi ubat yang disasarkan biasanya disimpan untuk merawat kanser ovari yang berulang selepas rawatan awal atau kanser yang menentang rawatan lain. Doktor juga boleh menguji sel-sel kanser anda untuk menentukan jenis terapi yang disasarkan mana berkemungkinan besar akan memberi kesan kepada kanser anda.
Seterusnya, terapi ini masih menjadi satu aspek penyelidikan kanser yang aktif. Banyak ujian klinikal masih menguji terapi sasaran yang baharu.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ovarian-cancer/symptoms-causes/syc-20375941
https://www.healthline.com/health/cancer/ovarian-cancer-early-signs