Now Reading
Kanser Paratiroid (Parathyroid cancer) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Kanser Paratiroid (Parathyroid cancer) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

kanser paratiroid

Kanser paratiroid adalah penyakit yang jarang berlaku di mana sel-sel ganas (kanser) terbentuk di tisu kelenjar paratiroid. Ia berlaku apabila sel tumbuh di luar kawalan dan mengganggu sel-sel normal. Sehingga kini, doktor masih tidak mengetahui dengan pasti apa yang menyebabkan keadaan ini. Ia juga adalah sejenis kanser yang jarang terjadi dan individu yang menghidapnya biasanya berumur 30 tahun ke atas.

Simptom Kanser Paratiroid

Sebilangan besar tanda dan gejala kanser paratiroid terjadi disebabkan hiperkalsemia yang berkembang. Gejala hiperkalsemia termasuklah yang berikut:

  • Kelemahan.
  • Rasa letih yang melampau.
  • Pening dan muntah.
  • Hilang selera makan.
  • Penurunan berat badan tanpa sebab.
  • Menjadi lebih dahaga daripada biasa.
  • Kencing lebih banyak daripada biasa.
  • Sembelit.
  • Sukar berfikir dengan jelas.

Tanda-tanda kanser paratiroid yang lain termasuklah:

  • Sakit di perut, sisi, atau punggung yang tidak hilang.
  • Sakit pada tulang.
  • Tulang patah.
  • Benjolan di leher.
  • Perubahan suara seperti suara serak.
  • Masalah untuk menelan.

Keadaan lain juga boleh menyebabkan tanda dan gejala yang sama dengan kanser paratiroid. Jadi, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan atas nasihat doktor jika anda menghadapi masalah ini.

Punca Kanser Paratiroid

Beberapa penyebab kanser paratiroid yang berkemungkinan adalah:

  • Radiasi (rawatan dengan sinar-X atau jenis tenaga lain) pada bahagian leher.

  • Hiperparatiroidisme Isolasi Keturunan – keadaan yang boleh menyebabkan batu karang, loya, muntah, tekanan darah tinggi, kelemahan dan keletihan.

  • Sindrom MEN1 (pelbagai neoplasia endokrin jenis 1) – keadaan yang berkaitan dengan tumor kelenjar yang menghasilkan hormon.

Diagnosis Kanser Paratiroid

Bagi kebanyakan jenis tumor, biopsi adalah satu-satunya cara bagi doktor untuk mengetahui secara pasti sama ada kawasan dalam badan ada mempunyai kanser atau tidak. Dalam prosedur biopsi, doktor akan mengambil sampel tisu kecil untuk diuji di makmal. Sekiranya biopsi tidak dilakukan, doktor mungkin akan mencadangkan ujian lain yang boleh membantu proses diagnosis. Namun begitu, bagi kanser paratiroid, ujian biopsi biasanya tidak diperlukan untuk membuat diagnosis.

Senarai di bawah menerangkan kriteria untuk mendiagnosis jenis tumor ini. Tidak semua ujian yang disenaraikan di bawah akan digunakan bagi setiap orang. Doktor anda mungkin mempertimbangkan faktor-faktor ini semasa memilih ujian diagnostik:

  • Jenis tumor yang disyaki.
  • Tanda dan gejala anda.
  • Umur dan kesihatan umum anda.
  • Hasil ujian perubatan terdahulu.

Ujian yang dapat membantu doktor dalam proses diagnosis termasuklah:

  • Pemeriksaan dan sejarah. Doktor akan memerhatikan dan memeriksa jika ada benjolan atau perkara lain yang kelihatan tidak normal. Selain itu, beliau juga akan mengemukakan soalan mengenai kesihatan semasa anda serta sejarah perubatan keluarga anda.

  • Ujian darah dan air kencing. Ini dilakukan bagi mencari kadar kalsium dan hormon paratiroid (PTH) yang tinggi dalam darah anda. Ikuti arahan doktor sebelum menjalani ujian untuk memastikan anda mendapat keputusan terbaik.

  • Imbasan paratiroid. Ujian ini boleh menunjukkan sekiranya paratiroid menghasilkan terlalu banyak hormon paratiroid (PTH). Anda akan mendapat suntikan yang mengandungi bahan radioaktif. Anda akan berbaring selama kira-kira 30 minit sementara gambar diambil dari bahagian kepala dan leher. Kemudian, lebih banyak gambar akan diambil dan dibandingkan dengan set pertama.

  • Imbasan CT (CAT). Komputer dan sinar-X digunakan untuk mengambil gambar terperinci di dalam badan anda.

  • Imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik). Prosedur ini menggunakan komputer, sinar-X dan magnet untuk menghasilkan gambar terperinci.

  • Ultrabunyi. Prosedur ini menggunakan gelombang suara khas untuk menghasilkan gambar yang disebut sonogram.

  • Angiogram. Pewarna khas ditembak ke dalam saluran darah. Ketika ia bergerak ke seluruh badan anda, sinar-X akan diambil untuk melihat sekiranya berlaku sebarang penyumbatan.

Faktor Risiko Kanser Paratiroid

Masih tiada sebab yang diketahui menyebabkan kebanyakan tumor paratiroid. Walau bagaimanapun, faktor risiko berikut dapat meningkatkan peluang seseorang untuk menghidap kanser paratiroid:

  • Sejarah keluarga. Sejarah tumor paratiroid dalam keluarga boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat tumor paratiroid. Keadaan keturunan, atau diwarisi, yang dikenali sebagai neoplasia endokrin berganda boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mengembangkan tumor paratiroid jinak.

  • Tumor rahang hiperparatiroidisme (HPT-JT). Ini adalah keadaan diwarisi yang boleh menyebabkan peningkatan aktiviti pada kelenjar paratiroid. Tumor ini terjadi disebabkan mutasi, atau perubahan, pada gen CDC73 dan meningkatkan risiko individu mendapat kanser paratiroid.

Rawatan Kanser Paratiroid

Sekiranya doktor menjumpai kanser paratiroid, beliau akan memeriksa untuk mengetahui sekiranya ia telah merebak atau tidak. Kadangkala, kanser akan merebak dan membentuk tumor baru di tempat lain dalam badan. Jadi, rawatan yang diperlukan adalah berbeza dalam setiap kes. Ini termasuklah:

  • Pembedahan adalah rawatan paling biasa untuk merawat kes kanser paratiroid. Pakar bedah boleh mengeluarkan tumor atau membuang tisu lain, jika kanser itu telah merebak ke tempat lain.

  • Terapi radiasi menggunakan sinar-X dan tenaga kuat lain untuk menyerang sel kanser. Selain itu, radiasi boleh digunakan sebelum atau selepas pembedahan.

  • Ablasi frekuensi radio menggunakan haba untuk membunuh sel kanser. Ia juga dapat mengurangkan tahap hormon paratiroid (PTH).

  • Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh kanser dan jenis ubat yang digunakan itu bergantung pada tumor pada badan.

  • Ujian klinikal adalah ujian di mana doktor mencuba ubat dan kaedah baru. Bertanyakan pada doktor jika anda adalah calon yang baik bagi salah satu kaedah ini.

SUMBER

https://www.webmd.com/cancer/parathyroid-cancer#1

https://www.cancer.gov/types/parathyroid/patient/parathyroid-treatment-pdq#_1

https://www.cancer.net/cancer-types/parathyroid-cancer

error: Content is protected !!