Karangan tidak rasmi PT3 format surat dan cara menulis adalah carian paling popular. Kami kongsikan dengan anda 3 contoh karangan tersebut.
Karangan tidak rasmi ini adalah salah satu jenis karangan yang ada dalam pilihan karangan dalam peperiksaan PT3. Jadi, amat penting bagi mereka yang ingin menduduki peperiksaan PT3 ini untuk tahu mengenai format karangan tidak rasmi ini.
Karangan tidak rasmi selalunya berbentuk surat. Surat tidak rasmi ialah surat yang biasanya ditulis kepada ahli keluarga atau sahabat handai. Surat ini ditulis dengan tujuan untuk memberitahu sesuatu perkara, contohnya untuk:
- ucap tahniah
- ucap takziah
- bertanya khabar berita
- menceritakan empat-tempat menarik di Malaysia kepada sahabat
- pengalaman di tempat baru seperti di sekolah baru
- meminta kebenaran ibu bapa atau penjaga
- membalas surat yang dihantar oleh orang lain
Mari kami kongsikan dengan anda di bawah ini mengenai beberapa teknik penting untuk menulis karangan tidak rasmi PT3, dan format surat contoh.
Contoh-contoh Karangan Tidak Rasmi PT3 Format Surat
Berikut kami kongsikan dengan anda beberapa contoh karangan tidak rasmi PT3 format surat yang tepat yang boleh digunakan dalam peperiksaan PT3 nanti.
Perkara penting yang perlu anda ingat setiap kali menulis karangan tidak rasmi jenis surat ini adalah alamat, tarikh, dan tandatangan hendaklah ditulis pada sebelah kanan,
Mari lihat contoh-contohnya seperti di bawah ini.
Contoh Karangan Tidak Rasmi PT3 Format Surat 1
No. 39, Jalan Damai,
Taman Bukit Anggerik,
Ipoh, 30290
Perak Darul Ridzuan.
6 Ogos 2016
Menemui sahabat penaku Shelby, yang kini berada bersama keluarga di Birmingham, England, semoga saudara dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Saudara Shelby,
Apa khabar saudara dan keluarga di sana? Saya ingin memohon maaf kerana agak terlambat untuk membalas surat saudara tempoh hari. Saya kini sibuk dengan persediaan untuk menghadapi peperiksaan besar tidak lama lagi. Tampaknya saudara sangat berminat untuk mengetahui tempat dan kawasan perlancongan di Malaysia. Pada surat yang saya pernah utuskan sebelum ini, saya ada bercerita tentang Bukit Fraser, kali ini saya ingin ceritakan mengenai Pulau Langkawi pula.
Pulau Langkawi merupakan pusat perlancongan yang terletak di negeri Kedah, iaitu di utara semenanjung Malaysia. Terdapat banyak keistimewaan dan tempat menarik yang boleh dilawati oleh saudara. Antaranya termasuklah pemandangannya yang sangat memukau hati. Ini kerana Pulau Langkawi dikelilingi oleh pantai yang bersih, air laut yang tenang damai dan suasananya yang jauh dari hiruk-pikuk bandar. Saudara dapat menikmati keindahan suasana dan pantainya ini dengan mengunjungi sendiri ke Pulau Langkawi.
Pulau Langkawi juga terkenal dengan gelaran Pulau Legenda. Kisah berkenaan dengan Legenda Mahsuri ini telah diceritakan sejak turun-temurun lagi melalui penceritaan orang zaman dahulu dan juga nenek moyang kami sendiri. Sejarah ringkasnya Mahsuri adalah seorang perempuan cantik yang telah dijatuhkan hukuman bunuh akibat fitnah. Darah putih telah mengalir daripada tubuh Mahsuri ketika hukuman bunuh dijalankan. Beliau juga sempat mengenakan sumpahan terhadap Langkawi selama tujuh keturunannya akan jadi seperti padang jarang padang terkukur.
Selain itu, Makam Mahsuri dan padang Mat Sirat adalah antara tempat menarik dan bersejarah yang mempunyai kaitan dengan Legenda Mahsuri. Sekiranya saudara berkesempatan untuk mengunjungi tempat-tempat ini tentu saudara akan memperoleh lebih banyak informasi mengenai lagenda ini. Di Langkawi juga terdapat Tasik Dayang Bunting di Pulau Dayang Bunting, Beras Hangus dan Telaga Tujuh yang mempunyai kaitan dengan pelbagai legenda dan mitos.
Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang ada di Pulau Langkawi ini. Jikalau ada peluang dan kesempatan, akan saya ceritakan lebih lanjut tentang pulau ini. Gambar-gambar yang berkaitan dengan Pulau Legenda ini akan saya cuba hantar kepada saudara.
Setakat ini sahaja yang sempat saya tuliskan buat saudara nun jauh di sana. Akhir kata, sambutlah salam mesra daripada saya dan sekeluarga.
Yang Benar,
Harith Danial
Contoh Karangan 2
No.4, Jalan Temenggung 1,
Kampung Kelip-Kelip,
22000 Jerteh, Besut,
Terengganu.
13 Jun 2021
Assalamualaikum.
Menemui sahabatku, Shuhada yang kini berada di Kampung Kelip-Kelip, semoga berada di dalam situasi yang meyakinkan. Apa khabar saudari?
Saudari,
Tujuan saya mengutus warkah yang tidak seberapa ini adalah untuk menceritakan tentang pengalaman saya di sekolah baru saya iaitu Sekolah Kebangsaan Taming Sari.
Pada hari pertama di sini, saya didaftarkan. Saya berkenalan dengan rakan-rakan sekelas. Mereka sungguh baik hati dan bersopan santun. Mereka juga selalu menolong saya ketika dalam kesusahan.
Pada waktu rehat saya memerhati kawasan sekeliling sekolah itu. Ia bersih dan kemas. Peraturan disiplin di sekolah itu juga ketat. Saya lihat, semua pelajar di sekolah berkenaan begitu mematuhi peraturan.
Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan. Semoga kita bersua lagi di lain lembaran.
Sekian, terima kasih.
Sahabatmu,
Amirah Zulkefli
Contoh Karangan 3
Dorm A,
Asrama Tun Hussein Onn,
22300 Dungun,
Terengganu.
14 Mei 2021.
Assalamualaikum.
Menemui ayahanda yang dikasihi, semoga berada di dalam lindungan rahmat Ilahi.
Ayahanda,
Apa khabar keluarga di sana? Anakanda berharap agar semuanya berada dalam keadaan sihat. Anakanda di asrama sihat sejahtera.
Tujuan anakanda menulis surat ini ialah untuk meminta kebenaran ayahanda untuk menyertai rombongan yang diadakan oleh sekolah anakanda. Rombongan ini akan melawat beberapa tempat yang menarik di sekitar Kuala Lumpur. Lawatan tersebut akan diadakan pada 13 Mei 1997.
Untuk tujuan tersebut, anakanda memerlukan wang sebanyak RM 100.00 sebagai bayaran tambang , penginapan,dan selebihnya sebagai wang saku.
Akhir kata, sambutlah salam rindu daripada anakanda khas untuk ayahanda dan keluarga di sana.
Sekian ,terima kasih.
Anakanda yang jauh,
Shafei Bustamam
FORMAT KARANGAN SURAT TIDAK RASMI
- Nama dan alamat pengirim (kanan)
- Tarikh (kanan)
- Kata hadap atau pembuka kata dan kata-kata pujian
- Kata sapaan atau panggilan hormat (rapat ke garisan tepi dan koma)
- Perenggan pertama – menyatakan tujuan surat itu ditulis
- Perenggan kedua sehingga keempat – isi
- Penutup
- Tandatangan pengirim (kanan)
- Perakuan diri (kanan)
Kami harap, artikel 3 Contoh Karangan Tidak Rasmi PT3 Format Surat ini memberi manfaat buat para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PT3 nanti.
Sumber:
https://tatabahasabm.tripod.com/tulisan/ksuratbiasa.htm