Now Reading
Kardiomiopati (Cardiomyopathy) – Jenis, Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan

Kardiomiopati (Cardiomyopathy) – Jenis, Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan

Kardiomiopati

Kardiomiopati adalah keadaan serius yang mana jantung anda tidak dapat mengepam dengan sebaiknya dan menjadi lemah. Ia boleh menyebabkan kegagalan jantung dan masalah injap.

Selain itu, penyakit ini yang juga dikenali sebagai penyakit otot jantung iaitu sejenis penyakit jantung progresif. Ia berlaku apabila saiz jantung berkembang secara tidak normal, menebal dan/ atau mengeras. Hasilnya, keupayaan jantung untuk mengepam darah menjadi lemah dan selalunya menyebabkan kegagalan jantung dan bekalan darah ke dalam paru-paru atau bahagian badan yang lain. Terdapat tiga jenis penyakit kardiomiopati yang utama iaitu ‘Kardiomiopati Diluaskan’, ‘Kardiomiopati Hipertropik’ dan ‘Kardiomiopati Restriktif’.

 

Jenis Kardiomiopati

– Kardiomiopati diluaskan (Dilated cardiomyopathy)

Bagi kardiomiopati jenis ini, keupayaan mengepam oleh ruang pam utama jantung pada ventrikel kiri menjadi besar (diperluaskan) dan tidak dapat mengepam darah secara berkesan daripada jantung.

Walaupun jenis ini boleh menyerang individu dari semua peringkat umur, ia sering berlaku pada individu pada pertengahan umur dan lebih cenderung untuk menyerang golongan lelaki. Penyebab yang paling biasa adalah kerana penyakit arteri koronari atau serangan jantung.

 

– Kardiomiopati hipertropik (Hypertrophic cardiomyopathy)

Jenis ini melibatkan penebalan otot jantung tidak normal, yang terutamanya mempengaruhi otot pada ruang pam utama jantung (ventrikel kiri). Otot jantung yang menebal akan menjadikan jantung lebih sukar untuk berfungsi dengan baik.

Kardiomiopati hipertropik boleh berkembang pada usia apa pun, tetapi ia cenderung menjadi lebih serius jika dikesan ketika zaman kanak-kanak. Individu yang terjejas dengan penyakit ini biasanya mempunyai sejarah keluarga dan beberapa mutasi genetik yang dikaitkan dengan kardiomiopati hipertropik.

 

– Kardiomiopati restriktif (Restrictive cardiomyopathy)

Dalam jenis ini, otot jantung menjadi kaku dan kurang anjal, jadi ia tidak boleh berkembang dan terisi dengan darah antara degupan jantung. Jenis kardiomiopati yang jarang berlaku ini boleh terjadi pada mana-mana usia, tetapi ia paling banyak memberi kesan kepada orang tua.

Selain itu, kardiomiopati jenis ini boleh berlaku tanpa sebab yang diketahui (idiopatik), atau berpunca daripada penyakit di bahagian lain dalam badan yang menjejaskan jantung. Contohnya seperti terbentuknya ferum di dalam otot jantung (hemokromatosis).

 

– Displasia ventrikular kanan aritmogenik

Dalam jenis kardiomiopati yang jarang berlaku ini, otot di dalam ruang jantung sebelah bawah kanan (ventrikel kanan) digantikan dengan tisu parut yang boleh menyebabkan masalah pada irama jantung. Ia sering berlaku disebabkan oleh mutasi genetik.

 

– Kardiomiopati yang tidak dapat dikelaskan

Lain-lain jenis kardiomiopati termasuk dalam kategori ini.

 

Punca Kardiomiopati

Punca kardiomiopati selalunya tidak diketahui. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah individu, ia berlaku kerana keadaan lain (diperolehi) atau diperturunkan daripada ibu bapa (diwariskan).

Faktor penyebab kardiomiopati yang boleh diperoleh termasuk:

  • Tekanan darah tinggi dalam jangka panjang.
  • Kerosakan tisu jantung menyebabkan serangan jantung.
  • Kadar degupan jantung pantas yang kronik.
  • Masalah pada injap jantung.
  • Gangguan metabolik seperti obesiti, penyakit tiroid atau diabetes.
  • Kekurangan nutrisi vitamin atau mineral penting seperti tiamin (vitamin B-1).
  • Komplikasi semasa kehamilan.
  • Pengambilan minuman keras terlalu banyak selama bertahun-tahun.
  • Penggunaan kokain, amfetamina atau steroid anabolik.
  • Penggunaan beberapa ubat kemoterapi dan radiasi untuk merawat kanser.
  • Jangkitan tertentu, terutamanya yang boleh mengganggu jantung.
  • Penambahan zat besi (iron) dalam otot jantung anda (hemokromatosis).
  • Keadaan yang menyebabkan keradangan dan boleh mengakibatkan sel-sel membesar di dalam jantung dan organ lain (sarioidosis).
  • Gangguan yang menyebabkan pembentukan protein yang tidak normal (amiloidosis).
  • Gangguan pada tisu penghubung.

 

Simptom Kardiomiopati

Ada kemungkinan bahawa tiada tanda atau simptom yang dialami pada peringkat awal kardiomiopati. Namun, dengan kemajuan keadaan, tanda-tanda dan simptom biasanya muncul seperti:

  • Rasa termengah-mengah selepas membuat aktiviti atau ketika berehat.
  • Bengkak pada kaki, pergelangan kaki dan hujung kaki.
  • Kembung perut kerana pembentukan cecair.
  • Batuk semasa berbaring.
  • Keletihan.
  • Degupan jantung yang dirasakan pantas, berdebar-debar atau bergetar.
  • Ketidakselesaan atau tekanan pada dada.
  • Pening kepala dan pengsan.

 

Diagnosis Kardiomiopati

Doktor akan membuat pemeriksaan fizikal, mengambil sejarah perubatan peribadi dan keluarga dan bertanya bila simptom anda berlaku. Ini dibuat untuk mengetahui seperti sama ada senaman boleh mendorong kepada simptom anda.

Jika doktor anda merasakan anda mempunyai kardiomiopati, anda mungkin perlu menjalani beberapa ujian untuk mengesahkan diagnosis, termasuk:

  • Sinar-X dada. Imej jantung anda akan menunjukkan sama ada ia menjadi lebih besar atau tidak.
  • Ekokardiogram. Pemeriksaan ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej jantung yang menunjukkan saiz dan pergerakan degupan jantung. Ujian ini juga memeriksa injap jantung dan membantu doktor menentukan penyebab simptom anda.
  • Elektrokardiogram. Dalam ujian tidak invasif ini, tampalan elektrod akan ditampal pada kulit anda untuk mengukur denyutan elektrik dari jantung anda. Selain itu, ujian ini boleh menunjukkan gangguan dalam aktiviti elektrik jantung anda dan mengesan irama jantung yang tidak normal berserta kawasan kecederaan.
  • Ujian tekanan ‘treadmill’. Irama jantung, tekanan darah dan pernafasan dipantau semasa anda berjalan di atas ‘treadmill’. Doktor anda mungkin mengesyorkan ujian ini untuk menilai simptom, menentukan keupayaan senaman anda dan menentukan sama ada senaman boleh menimbulkan irama jantung yang tidak normal atau tidak.
  • Kateterisasi jantung. Satu tiub nipis (kateter) dimasukkan ke dalam pangkal paha dan melalui aliran darah ke jantung anda. Doktor mungkin mengeluarkan sampel kecil (biopsi) jantung anda untuk dianalisis di makmal. Tekanan di dalam ruang jantung anda juga boleh diukur untuk melihat bagaimana darah mengepam melalui jantung anda.

 

Selain itu, doktor mungkin akan menyuntik pewarna ke dalam saluran darah anda supaya ia dapat dilihat pada sinar-X (angiogram koronari). Ujian ini boleh digunakan untuk memastikan tiada penyumbatan dalam saluran darah anda.

  • Ujian pengimejan resonans magnetik (MRI scan) pada jantung. Ujian ini menggunakan medan magnet dan gelombang radio untuk menghasilkan imej jantung anda. Selain itu, ujian jantung ini boleh digunakan sebagai ujian tambahan kepada ujian ekokardiografi, terutamanya jika imej dari ekokardiogram anda tidak membantu dalam proses membuat diagnosis.
  • Imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada jantung. Anda akan berbaring di atas meja dalam mesin berbentuk donat. Tiub sinar-X di dalam mesin akan berputar di sekeliling badan dan mengumpul imej jantung dan dada untuk menilai saiz jantung, fungsi dan injap jantung anda.
  • Ujian darah. Beberapa ujian darah mungkin dilakukan, termasuk untuk memeriksa buah pinggang, tiroid dan fungsi jantung serta untuk mengukur paras zat besi (iron) anda.

Satu ujian darah yang lain juga dapat mengukur kehadiran peptida natriuretik jenis B, protein yang dihasilkan di dalam hati anda. Tahap darah bagi protein ini mungkin meningkat apabila jantung anda mengalami masalah kegagalan jantung, iaitu komplikasi kardiomiopati yang biasa.

  • Ujian atau pemeriksaan genetik. Kardiomiopati boleh menjadi penyakit keturunan. Jadi, bincang dengan doktor anda untuk lakukan ujian genetik. Doktor mungkin akan mencadangkan pemeriksaan keluarga atau ujian genetik untuk keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak.

 

Faktor Risiko Kardiomiopati

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kardiomiopati, termasuk:

  • Sejarah keluarga yang pernah mendapat penyakit kardiomiopati, kegagalan jantung dan serangan jantung secara tiba-tiba.
  • Tekanan darah tinggi dalam jangka masa yang panjang.
  • Keadaan yang mempengaruhi jantung, termasuk serangan jantung yang terdahulu, penyakit arteri koronari atau jangkitan di dalam jantung (kardiomiopati iskemia).
  • Obesiti, yang boleh membuatkan jantung bekerja dengan lebih kuat.
  • Penyalahgunaan minuman keras jangka panjang.
  • Penggunaan dadah haram seperti kokain, amfetamina dan steroid anabolik.
  • Ubat kemoterapi tertentu dan terapi radiasi untuk kanser.
  • Penyakit tertentu seperti diabetes, kelenjar tiroid bawah yang aktif atau kurang aktif, atau kerana gangguan yang menyebabkan badan menyimpan zat besi berlebihan (hemokromatosis)
  • Keadaan lain yang memberi kesan kepada jantung, seperti gangguan yang menyebabkan pembentukan protein tidak normal (amiloidosis) atau penyakit yang menyebabkan keradangan dan boleh menyebabkan sel-sel membesar di dalam jantung dan organ lain (sarkoidosis). Anda juga berisiko sekiranya terdapat gangguan pada tisu penghubung.

 

Komplikasi Kardiomiopati

Kardiomiopati boleh membawa kepada masalah jantung yang lain, termasuk:

  • Kegagalan jantung. Jantung tidak boleh mengepam darah yang cukup untuk memenuhi keperluan badan anda. Sekiranya ia tidak dirawat, kegagalan jantung boleh mengancam nyawa.

 

  • Gumpalan darah. Memandangkan jantung anda tidak dapat mengepam dengan berkesan, pembekuan darah mungkin terbentuk di dalam jantung. Sekiranya gumpalan darah beku memasuki aliran darah anda, ia boleh menyekat aliran darah ke organ lain termasuk jantung dan otak anda.

 

  • Masalah injap. Injap jantung mungkin tidak dapat ditutup dengan betul kerana kardiomiopati menyebabkan jantung membesar. Ini boleh menyebabkan pemunduran aliran darah.

 

  • Serangan jantung dan kematian secara tiba-tiba. Kardiomiopati boleh menyebabkan irama jantung yang tidak normal. Keadaan ini boleh mengakibatkan pengsan atau dalam beberapa kes, kematian secara tiba-tiba jika jantung anda berhenti berdegup.

 

Rawatan Kardiomiopati

Matlamat rawatan kardiomiopati adalah untuk mengurangkan tanda dan simptom, mencegah keadaan anda daripada menjadi semakin serius dan mengurangkan risiko berlakunya komplikasi. Rawatan adalah berbeza mengikut jenis kardiomiopati yang anda hidapi.

 

– Ubat-ubatan

Doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat-ubatan untuk meningkatkan keupayaan mengepam jantung anda, memperbaiki aliran darah, menurunkan tekanan darah, melambatkan kadar degupan jantung anda, mengeluarkan cecair yang berlebihan dari badan anda atau mengelakkan darah daripada membeku.

Pastikan anda membincangkan kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan doktor sebelum mengambil sebarang ubat ini.

 

– Peranti yang ditanam secara pembedahan

Beberapa jenis peranti boleh diletakkan di dalam jantung untuk memperbaiki fungsi dan melegakan simptom, termasuk:

  • Kardioverter-defibrilator implan. Peranti ini memantau irama jantung anda dan menyampaikan kejutan elektrik apabila diperlukan untuk mengawal irama jantung yang tidak normal. Selain itu, peranti ini tidak merawat kardiomiopati, tetapi dapat menjaga dan mengawal irama tidak normal yang boleh menyebabkan komplikasi yang serius.
  • Alat bantuan ventrikular. Alat ini dapat membantu darah mengalir melalui jantung anda dan biasanya dibuat setelah pendekatan kurang invasif tidak berjaya. Ia boleh digunakan sebagai rawatan jangka panjang atau rawatan jangka pendek sambil menunggu pemindahan jantung.
  • Perentak jantung (Pacemaker). Peranti kecil ini diletakkan di bawah kulit di dada atau abdomen menggunakan denyutan elektrik untuk mengawal aritmia.

 

– Prosedur bukan pembedahan

Prosedur lain yang digunakan untuk merawat kardiomiopati atau aritmia termasuk:

  • Ablasi septal (Septal ablation). Sebilangan kecil otot jantung yang menebal dihancurkan dengan menyuntik alkohol melalui tiub nipis yang panjang (kateter) ke dalam arteri yang membekalkan darah ke kawasan itu. Ini bagi membolehkan darah mengalir melalui kawasan tersebut.
  • Ablasi radiofrekuensi (Radiofrequency ablation). Bagi merawat irama jantung yang tidak normal, doktor akan memasukkan tiub yang panjang dan fleksibel (kateter) melalui saluran darah ke jantung anda. Elektrod pada hujung kateter menghantar tenaga untuk merosakkan kawasan kecil tisu jantung tidak normal yang menyebabkan irama jantung tidak normal.

 

– Pembedahan

Jenis pembedahan yang digunakan untuk merawat kardiomiopati termasuk:

  • Miektomi septal (Septal myectomy). Dalam pembedahan jantung terbuka ini, pakar bedah anda akan membuang sebahagian daripada dinding otot jantung yang menebal (septum), dan memisahkan dua ruang jantung bawah (ventrikel). Dengan mengeluarkan bahagian otot jantung itu akan dapat meningkatkan aliran darah melalui jantung dan mengurangkan regurgitasi injap mitral.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cardiomyopathy/symptoms-causes/syc-20370709#:~:text=Cardiomyopathy%20(kahr%2Ddee%2Do,dilated%2C%20hypertrophic%20and%20restrictive%20cardiomyopathy.

https://www.healthline.com/health/heart-disease/cardiomyopathy

https://www.webmd.com/heart-disease/guide/muscle-cardiomyopathy

https://www.medicalnewstoday.com/articles/327456

error: Content is protected !!