Anda dah dapat tawaran sambung pengajian ke Tingkatan 6 dan masih keliru nak terima ke tidak? Anda masih bingung apa kebaikan ambil STPM? Jangan risau, di sini kami ada untuk membantu anda.
Di sini kami kongsikan sedikit sebanyak mengenai STPM dan kebaikannya. Jadi, teruskan membaca ya!
Apa itu STPM?
STPM, atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ialah satu program pra-universiti di Malaysia yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. Sejak tahun 2012, format pembelajarannya dengan modular baru telah diperkenalkan di mana keputusan para pelajar akan dipantau dan disokong oleh wakil dari Cambridge Assessment dari UK untuk menegakkan standard dan kualiti program ini.
Pengiktirafan Sijil STPM Sijil
Jangan pandang rendah pada STPM tau kerana peperiksaan ini diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cambridge Assessment, England.
Jadi, jika berjaya dapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini dan kokurikulum anda baik, anda layak untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara. Hebat bukan?
Bukan itu sahaja, STPM ni turut diakui oleh JPA. Jadi lepasan STPM berpeluang untuk mengambil jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.
Apakah Syarat Kemasukan ke Tingkatan 6 di Malaysia?
Syarat utama ialah anda kena lulus dengan kredit untuk subjek Bahasa Malaysia dalam SPM. Untuk ke aliran tertentu pula, ada syaratnya masing-masing seperti berikut:
- Aliran Sains Sosial, jumlah unit untuk tiga mata pelajaran terbaik tidak boleh melebihi 12 mata.
- Aliran Sains, jumlah unit untuk tiga mata pelajaran terbaik tidak boleh melebihi 18 mata.
- Aliran Pengajian Agama, jumlah unit untuk tiga mata pelajaran terbaik tidak boleh melebihi 14.
Tempoh pengajian Tingkatan 6
Tingkatan 6 terdiri daripada tingkatan enam bawah dan atas yang keseluruhannya memakan masa setahun setengah.
Kebaikan STPM
1. Percuma
Nak ambik STPM ni yuran percuma sahaja. YA, PERCUMA! Kecuali untuk beberapa yuran kecil seperti yuran peperiksaan dan buku. Berbanding jika anda sambung ke diploma yang akan memakan yuran ribuan ringgit. Bagi anda yang mungkin belum berkemampuan, STPM adalah pilihan yang baik!
2. STPM diiktiraf oleh universiti tempatan dan luar negara
Bila anda mengambil STPM, anda sebenarnya mempunyai peluang yang SANGAT LUAS untuk menyambung pengajian di universiti tempatan mahupun luar negara. selain itu, peperiksaan pra-universiti ini juga dikenali di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Komanwel.
3. Sukatan pelajaran begitu luas sehingga anda benar-benar memperoleh banyak pengetahuan
Pada tahap tertentu, STPM disebut sebagai peperiksaan paling sukar yang kedua di dunia. Jadi tidak hairan lah jika ramai pelajar yang mengakui bahawa STPM adalah ujian yang paling sukar yang pernah mereka lalui. Ini adalah kerana meragkumi sukatan pelajaran yang begitu luas.
Meskipun ia mungkin menjadi halangan untuk anda, anggaplah ia sebagai suatu cabaran. Sahut cabaran ini untuk meningkatkan lagi potensi anda dan belajar lebih banyak perkara.
4. Anda dapat satu tahun tambahan di sekolah
Bagi anda yang mungkin belum puas berada di sekolah selepas SPM, tingkatan 6 adalah pilihan untuk anda untuk dapatkan satu tahun tambahan belajar di sekolah.
5. Jimat wang sewa dan utiliti kerana anda berada di rumah
Jika anda ambil STPM, itu juga bermaksud anda belajar di sekolah dan masih tinggal di rumah bersama ibu bapa. Jadi, secara langsung anda jimat perbelanjaan sewa rumah dan utiliti lain tidak seperti mereka yang menyambung ke diploma atau program lain yang memerlukan ada menyewa rumah.
Anda juga tidak perlu risau setiap hari nak makan apa kerana anda masih berada di rumah. Banyak yang dapat anda jimatkan dengan menyambung ke tingkatan 6. Anda boleh simpan duit anda untuk digunakan semasa di universiti selepas tamat program pra-universiti ini nanti.
Pilihan selepas STPM
Lepas STPM, anda sudah boleh menyambung pengajian ke universiti. Berusaha untuk dapatkan keputusan yang terbaik, jadi anda akan layak untuk memohon ke mana-mana universiti pilihan anda!
Akhir sekali,
Jangan pedulikan kata-kata orang jika mereka kata STPM ini hanya untuk mereka yang gagal SPM. Dengan STPM, anda boleh pergi ke mana-mana universiti yang anda mahukan. Akan tetapi, dengan syarat iaitu belajar bersunguh-sungguh untuk dapatkan keputusan yang baik.
Semoga adik-adik semua maju jaya tak kira di manapun anda putuskan untuk sambung pengajian selepas SPM!
Sumber:
https://afterschool.my/students-life/16-things-you-need-to-know-about-form-6-stpm
https://www.hmetro.com.my/utama/2021/06/722804/keputusan-stpm-2020-diumum-1-julai-ini