Sesetengah masalah kecacatan jantung kongenital pada kanak-kanak adalah tidak serius dan tidak memerlukan rawatan. Namun begitu, ada juga kes dalam kalangan kanak-kanak yang lebih kompleks dan mungkin memerlukan beberapa pembedahan dalam tempoh beberapa tahun.
Mempelajari tentang kecacatan jantung kongenital anak anda dapat membantu anda memahami keadaan dan menjangkakan perkara yang boleh berlaku dalam beberapa bulan dan tahun yang akan datang.
Jenis-jenis Kecacatan Septum Ventrikel (Jantung Berlubang)
Terdapat lebih daripada 30 jenis kecacatan jantung yang berbeza dan jenis yang paling lazim ialah kecacatan septum ventrikel.
Selain itu, doktor akan mengklasifikasikan penyakit jantung kongenital sama ada ia jenis sianotik atau asianotik:
1.Penyakit jantung sianotik
Keadaan ini terjadi apabila kecacatan menyebabkan tahap oksigen darah menjadi rendah. Bayi akan mengalami sesak nafas, pengsan dan keletihan serta mereka berkemungkinan mempunyai jari kaki, jari tangan dan bibir yang kebiruan.
2.Penyakit jantung asianotik
Individu yang menghidapi keadaan ini mempunyai oksigen yang mencukupi dalam darah, tetapi jantungnya tidak dapat mengepam darah secara berkesan pada keseluruhan tubuh. Dalam sesetengah jenis penyakit jantung sianotik, tekanan darah adalah lebih tinggi daripada kebiasaannya. Ini bermakna bahawa jantung perlu bekerja lebih keras untuk mengepam darah dan ini boleh melemahkannya secara tidak langsung.
Dalam beberapa kes, tekanan darah tinggi mungkin didapati dalam arteri pada paru-paru dan keadaan ini dikenali sebagai hipertensi pulmonari. Keadaan sebegini boleh menyebabkan kesesakan nafas, keletihan, pening dan pengsan.
Punca Kecacatan Septum Ventrikel (Jantung Berlubang)
-Bagaimana jantung berfungsi?
Jantung dibahagikan kepada empat ruang, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri. Bagi mengepam darah ke seluruh badan, jantung menggunakan sisi kiri dan kanannya untuk tugas yang berbeza.
Bahagian kanan jantung mengalirkan darah ke paru-paru melalui saluran yang dikenali sebagai arteri pulmonari. Dalam paru-paru pula, darah akan mengambil oksigen kemudian kembali ke bahagian kiri jantung melalui vena pulmonari. Bagi bahagian kiri jantung pula, ia kemudiannya akan mengepam darah melalui aorta dan mengalir ke seluruh badan.
-Bagaimana kecacatan jantung berlaku?
Semasa enam minggu pertama kehamilan, jantung akan mula terbentuk dan mula berdegup. Pembuluh darah utama yang mengalir ke dan dari jantung juga mula terbentuk dalam tempoh kritikal semasa kehamilan ini.
Pada masa inilah kecacatan pada jantung bayi anda mungkin mula berkembang. Penyelidik masih tidak pasti apakah punca yang menyebabkan kebanyakan kecacatan ini, namun mereka berpendapat bahawa faktor genetik, keadaan perubatan tertentu, pengambilan ubatan dan faktor persekitaran seperti merokok boleh memainkan peranan kepada masalah jantung berlubang ini.
Simptom Kecacatan Septum Ventrikel (Jantung Berlubang)
Kecacatan jantung kongenital yang serius biasanya menjadi jelas tidak lama selepas kelahiran atau semasa beberapa bulan pertama kehidupan bagi seorang bayi. Tanda dan simptom boleh dikenal pasti seperti:
- Warna kulit seperti kelabu muda atau biru (sianosis).
- Pernafasan yang deras.
- Bengkak pada kaki, perut atau sekitar kawasan mata.
- Sesak nafas semasa penyusuan, menyebabkan peningkatan berat badan yang tidak normal.
Kecacatan jantung kongenital yang kurang serius mungkin tidak didiagnosis sehinggalah kanak-kanak melalui fasa seterusnya dalam kehidupan. Ini mungkin terjadi kerana anak anda tidak mempunyai tanda-tanda masalah yang nyata dan tidak dapat dikenal pasti dengan lebih awal. Sebaliknya, jika tanda dan simptom pada kanak-kanak yang lebih tua adalah jelas, tanda-tanda dan simptom mungkin seperti:
- Mudah sesak nafas semasa senaman atau aktiviti.
- Mudah penat semasa senaman atau aktiviti.
- Pengsan semasa senaman atau aktiviti.
- Bengkak di tangan, buku lali atau kaki.
Diagnosis Kecacatan Septum Ventrikel (Jantung Berlubang)
Ujian sebelum dan selepas kelahiran boleh menunjukkan sama ada kanak-kanak itu berkemungkinan mengalami masalah jantung ataupun tidak.
-Sebelum lahir
- Ultrabunyi: Semasa kehamilan, kebanyakan wanita mempunyai rutin imbasan ultrasbunyi. Ini boleh memberikan maklumat mengenai struktur jantung bayi dengan lebih awal.
- Ekokardiografi fetus: Jika terdapat sebarang masalah pada imbasan itu, ekokardiografi fetus akan dibuat untuk menyemak penyakit jantung sianotik pada fetus yang sedang membesar. Ekokardiografi fetus adalah seperti imbasan ultrabunyi, tetapi ia boleh mengumpul maklumat yang lebih terperinci tentang ruang pada jantung. Pemeriksaan ini juga biasanya berlaku dari minggu ke-18 hingga minggu ke-24 kehamilan.
-Selepas kelahiran
Seorang kanak-kanak yang dilahirkan dengan keadaan jantung sianotik biasanya akan mempunyai tanda-tanda dan simptom yang mudah untuk didiagnosis, tetapi simptom penyakit jantung asianotik mungkin tidak dapat dikenal pasti sehinggalah kanak-kanak itu berusia 3 tahun.
Ibu bapa atau penjaga perlu mendapatkan nasihat perubatan jika ada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda seperti:
- Sesak nafas.
- Kesukaran untuk makan.
- Simptom yang lain.
Doktor biasanya akan memeriksa aktiviti jantung menggunakan pemeriksaan elektrokardiogram, ekokardiogram atau kedua-duanya sekali.
- Ekokardiografi: Gelombang bunyi akan mencipta imej jantung bergerak yang menunjukkan ukuran, bentuk dan bagaimana ruang jantung dan injap berfungsi. Ia juga boleh mengesan kawasan yang mempunyai aliran darah yang lemah dan mana-mana bahagian otot jantung yang tidak mengepam dengan berkesan. Selain itu, pemeriksaan ini juga boleh menunjukkan jika otot jantung telah mengalami sebarang kerosakan akibat aliran darah yang tidak elok.
- Elektrokardiogram: Pemeriksaan ini akan memberikan maklumat tentang aktiviti elektrik jantung, termasuk irama dan saiz ruang pada jantung kita.
- Sinar-X dada: Sinar-X boleh menunjukkan jika saiz jantung terlalu besar dan sekiranya terdapat terlalu banyak darah di dalam paru-paru.
- Oksimetri nadi: Doktor akan meletakkan pengesan pada hujung jari, telinga atau kaki untuk mengukur tahap oksigen dalam darah arteri.
Golongan kanak-kanak dan orang dewasa boleh menjalani ujian ini. Bagi orang dewasa, mereka mungkin perlu melakukan ujian tekanan senaman juga. Ini akan melibatkan larian di atas ‘treadmill’ sementara seorang pakar kesihatan mengukur tekanan darah dan aktiviti jantungnya.
Faktor Risiko Kecacatan Septum Ventrikel (Jantung Berlubang)
Kebanyakan kecacatan jantung kongenital berpunca daripada masalah awal perkembangan jantung anak anda dan punca masalah ini masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, beberapa faktor risiko alam sekitar dan genetik mungkin memainkan peranan terhadap isu ini termasuklah:
- Rubela (campak Jerman). Mendapat penyakit Rubela semasa kehamilan boleh menyebabkan masalah dalam perkembangan jantung bayi anda. Doktor boleh menguji tahap imuniti anda terhadap penyakit Rubela sebelum kehamilan. Vaksin boleh diberikan sekiranya badan anda tidak kebal kepada penyakit ini.
- Diabetes. Anda boleh mengurangkan risiko kecacatan jantung kongenital dengan mengawal diabetes anda dengan berhati-hati sebelum cuba untuk hamil ataupun semasa kehamilan. Diabetis gestasi biasanya tidak meningkatkan risiko bayi anda untuk mengalami kecacatan jantung.
- Ubat-ubatan. Ubat-ubatan tertentu yang diambil semasa kehamilan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran, termasuklah kecacatan jantung kongenital. Berikan doktor anda senarai lengkap ubat yang anda ambil sebelum cuba untuk hamil.
Selain itu, ubat-ubatan yang dikenal pasti boleh meningkatkan risiko kecacatan jantung kongenital termasuklah talidomida (Thalomid), perencat enzim penukar angiotensin (ACE), statin, ubat jerawat isotretinoin (Absorica, Amnesteem, Claravis) dan lithium.
- Mengambil minuman keras semasa hamil. Elakkan pengambilan minuman keras semasa hamil kerana ia dapat meningkatkan risiko kecacatan jantung kongenital.
- Merokok. Merokok semasa kehamilan boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya kecacatan jantung kongenital pada bayi.
- Keturunan. Kecacatan jantung kongenital kadangkala berlaku dalam keluarga dan mungkin dikaitkan dengan sindrom genetik. Kebanyakan kanak-kanak dengan penyakit sindrom Down yang berlaku kerana kromosom tambahan 21 (trisomi 21) mempunyai kecacatan jantung. Sebahagian bahan genetik yang hilang (penghapusan) pada kromosom 22 juga boleh menyebabkan kecacatan jantung.
Ujian genetik dapat mengesan gangguan sedemikian semasa perkembangan fetus. Sekiranya anda sudah mempunyai anak dengan kecacatan jantung kongenital, kaunselor genetik boleh menganggarkan bahawa anak anda yang seterusnya juga boleh mendapat penyakit yang sama.
Rawatan Kecacatan Septum Ventrikel (Jantung Berlubang)
Menurut pakar, sekitar satu dalam empat bayi yang dilahirkan dengan penyakit jantung sianotik memerlukan pembedahan pada tahun pertama mereka,
Kadangkala, simptom atau kecacatan kecil boleh bertambah baik tanpa rawatan.
Pemerhatian secara berjaga-jaga boleh menunjukkan sama ada seseorang itu memerlukan ubat, pembedahan, kedua-duanya atau juga tidak memerlukan apa-apa.
Seseorang yang dilahirkan dengan penyakit jantung sianotik mungkin memerlukan rawatan tanpa mengira usia, sebagai contoh, penggunaan ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah.
-Pembedahan
Sekiranya seseorang memerlukan pembedahan, seorang pakar bedah boleh:
- Menjalankan prosedur melalui kateter.
- Melakukan pembedahan jantung terbuka.
Prosedur ini akan bergantung kepada jenis kecacatan yang ada pada seseorang. Pilihan yang ada termasuklah:
- Pembaikan jantung.
- Pemindahan jantung.
- Penggantian injap.
- Angioplasti (angioplasty).
Pakar bedah boleh menggunakan angioplasti belon untuk membaiki injap. Ini melibatkan pelepasan belon kecil melalui kateter dan dikembangkan untuk meluaskan injap. Sten atau gegelung logam juga boleh menghentikan injap daripada menjadi sempit sekali lagi.
SUMBER
https://www.webmd.com/heart-disease/ventricular-septal-defect#1
https://www.healthline.com/health/ventricular-septal-defect
https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17615-ventricular-septal-defects-vsd