Kehilangan pendengaran adalah sejenis keadaan di mana anda mengalami kerosakan pendengaran yang berlaku secara beransur-ansur seiring usia.
Kerosakan pendengaran dibahagikan kepada tiga jenis:
- Konduktif (melibatkan telinga luar atau tengah)
- Sensorineural (melibatkan telinga dalam)
- Campuran (gabungan kedua-duanya)
Faktor penuaan dan pendedahan kronik terhadap bunyi yang nyaring menyumbang kepada masalah pendengaran ini. Manakala, faktor lain seperti tahi telinga yang berlebihan pula boleh mengurangkan bunyi telinga anda buat sementara waktu.
Kebanyakan keadaan yang anda alami ini tidak boleh dikembalikan seperti normal. Walau bagaimanapun, anda dan doktor anda atau pakar pendengaran boleh mengambil langkah untuk memperbaiki pendengaran anda.
Jenis Kehilangan Pendengaran
Terdapat tiga jenis utama iaitu:
- Kehilangan pendengaran sensorineural adalah yang paling biasa berlaku. Ia bersifat kekal dan berpunca oleh pelbagai keadaan yang merosakkan sel-sel, seperti rambut kecil dalam telinga atau saraf pendengaran. Saraf pendengaran membawa maklumat penting mengenai kekuatan, kenyaringan dan makna bunyi ke otak. Kebanyakan individu dewasa yang hilang pendengaran mengalami kehilangan pendengaran sensorineural. Kebiasaannya, menyebabkan kesukaran memahami suara atau ucapan walaupun ia cukup kuat untuk didengari.
- Kehilangan pendengaran konduktif berpunca oleh masalah mekanikal di bahagian luar, tengah telinga atau terdapat halangan di dalam telinga, seperti tahi telinga yang menghalang bunyi untuk sampai ke gegendang telinga. Ia boleh menjadi kekal, namun ia lebih kerap bersifat sementara dan boleh dirawat melalui perubatan klinikal.
- Kehilangan pendengaran campuran adalah apabila seseorang mengalami kehilangan pendengaran sensorineural dan konduktif.
Simptom Kehilangan Pendengaran
Tanda-tanda dan simptom masalah ini mungkin termasuk:
- Ucapan dan bunyi lain didengari dengan tidak jelas.
- Kesukaran memahami kata-kata, terutamanya bunyi latar belakang atau orang ramai.
- Masalah pendengaran bunyi konsonan.
- Sering meminta orang lain untuk bercakap dengan lebih perlahan, jelas dan kuat.
- Perlu meningkatkan kekuatan bunyi televisyen atau radio.
- Mengelak daripada berbual.
- Mengelakkan aktiviti sosial.
Punca Kehilangan Pendengaran
Terdapat pelbagai punca, justeru itu, ianya adalah amat penting untuk mengetahui apa yang menyebabkan masalah yang anda alami ini bagi menentukan rawatan yang betul.
Diagnosis Kehilangan Pendengaran
Ujian untuk mendiagnosis masalah pendengaran ini mungkin termasuk:
- Ujian fizikal. Doktor akan melihat bahagian dalam telinga anda untuk mencari punca kepada kehilangan pendengaran anda, seperti tahi telinga atau sebarang jangkitan. Selain itu, doktor juga akan mencari struktur punca masalah pendengaran anda.
- Ujian pemeriksaan am. Doktor boleh menjalankan ujian berbisik, iaitu dengan meminta anda menutup satu telinga pada satu masa untuk menguji seberapa baik anda mendengar kata-kata yang dituturkan pada pelbagai volum dan bagaimana anda bertindak balas terhadap bunyi lain. Walau bagaimanapun, ketepatan keputusan ujian ini boleh dibatasi.
- Ujian pendengaran berdasarkan aplikasi. Anda boleh menggunakan aplikasi mudah alih tersedia pada tablet anda dengan menggunakan skrin untuk mengenalpasti kehilangan pendengaran yang sederhana.
- Ujian garfu tala. Garfu tala adalah sejenis logam yang mempunyai dua cabang yang menghasilkan bunyi ketika diketuk. Ujian mudah dengan garfu tala ini boleh membantu doktor mengesan masalah kehilangan pendengaran. Bahkan, ujian ini boleh juga mendedahkan bahagian telinga anda yang mengalami kerosakan.
- Ujian audiometer. Sewaktu ujian yang lebih teliti dijalankan oleh seorang ahli audiologi, anda harus memakai fon telinga dan perlu cuba untuk mendengar bunyi dan perkataan yang diarahkan ke setiap telinga. Setiap nada diulangi pada tahap rendah untuk mencari bunyi senyap yang boleh didengari.
Faktor Risiko Kehilangan Pendengaran
Faktor-faktor yang boleh merosakkan atau mengakibatkan kehilangan rambut kecil dan sel-sel saraf dalam telinga anda termasuklah:
- Penuaan. Degenerasi struktur telinga dalaman yang berlaku dari masa ke semasa.
- Bunyi yang kuat. Pendedahan kepada bunyi yang kuat boleh merosakkan sel dalam telinga anda. Kerosakan boleh berlaku akibat pendedahan jangka panjang terhadap bunyi-bunyi yang kuat atau bunyi bising pendek seperti tembakan.
- Keturunan. Faktor genetik anda boleh menjadikan anda lebih mudah terdedah kepada risiko kerosakan telinga yang berpunca daripada bunyi atau degenerasi akibat penuaan.
- Bunyi pekerjaan. Pekerjaan yang melibatkan bunyi bising daripada persekitaran kerja seperti kerja-kerja pertanian, pembinaan atau kerja kilang boleh menyebabkan kerosakan di dalam telinga anda.
- Bunyi riadah. Pendedahan kepada bunyi letupan seperti senjata api dan enjin jet, boleh menyebabkan kehilangan pendengaran dengan serta-merta. Aktiviti riadah lain dengan tahap bunyi yang berfrekuensi tinggi termasuklah kereta salji, motosikal, pertukangan atau mendengar muzik yang kuat.
- Beberapa ubat. Ubat seperti antibiotik gentamicin, sildenafil (Viagra) dan ubat kemoterapi tertentu boleh merosakkan bahagian dalam telinga anda. Selain itu, ia boleh menyebabkan kesan sementara pada pendengaran anda seperti bunyi berdering dalam telinga (Tinnitus) atau kehilangan pendengaran, yang boleh berlaku jika anda mengambil aspirin , ubat penahan sakit lain, ubat antimalarial atau gelungan diuretik dalam dos yang sangat tinggi.
- Sesetengah penyakit. Penyakit yang mengakibatkan demam suhu tinggi seperti meningitis boleh merosakkan koklea anda.
Rawatan Kehilangan Pendengaran
Kehilangan pendengaran adalah keadaan perubatan yang perlu difahami dengan baik dan ia mempunyai banyak pilihan rawatan yang tersedia yang berkesan.
Mencari rawatan yang betul adalah usaha bersama antara anda dan pakar pendengaran anda dan ia perlu mengambil kira faktor-faktor berikut:
- Jenis kehilangan pendengaran
- Keparahan kehilangan pendengaran
- Sebab, jika diketahui
- Gaya hidup anda
- Umur dan keperluan komunikasi anda
- Keutamaan kosmetik anda
- Anggaran kewangan anda
Sumber:
https://www.healthyhearing.com/report/52510-Presbycusis-understanding-age-related-hearing-loss
https://www.webmd.com/healthy-aging/types-hearing-loss