Now Reading
Kelebihan Malam Nisfu Syaaban Yang Perlu Kita Rebut

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban Yang Perlu Kita Rebut

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Rata-rata penganut agama Islam menyakini terdapat banyak kelebihan malam nisfu syaaban. Nisfu Syaaban merupakan  waktu buku catatan amalan muslimin dan muslimat selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Buku baru akan mula dicatatkan pada waktu maghrib 14 hb syaaban. Apabila masuk sahaja maghrib pada senja 14 Syaaban maka kita sudah masuk ke 15 syaaban.

Perkataan nisfu adalah berasal daripada Bahasa arab yang bererti setengah. Jadi Nisfu Syaaban bermaksud setengah syaaban. Selepas malam lailatul qadar, malam nisfu syaaban merupakan malam yang dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat. Ada Riwayat Saiyidatina Aisyah R.A. menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak tidur pada malam nisfu syaaban.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi R.A:

Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersolat dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri. Setelah Baginda S.A.W selesai solat, Rasulullah SAW berkata kepada Saiyidatina Aisyah R.A. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah SWT telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

1. Allah akan mengampuni dosa hambanya

Hadis Baginda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam Nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhlukNya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan. – [HR Ibn Majah 1380].

Berdasarkan hadis ini  Allah akan mengampuni dosa hamba-hambanya pada malam Nisfu Syaaban kecuali mereka yang bertelingkah dan bermusuhan antara satu sama yang lain. Bukan itu sahaja, bagi sesiapa yang mempunyai sifat dengki Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa mereka.

Hal ini demikian kerana, sifat dengki merupakan sifat orang yang bermusuhan, Dan terdapat hadis yang menyuruh kita untuk menghindari sifat ini.

Daripada Anas bin Malik, bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda: yang bermaksud janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. – [HR Bukhari 5612].

Oleh itu dalam kita mengejar keampunan Allah SWT, kita juga amatlah digalakkan bermaaf-maafan sesama manusia. Agar asbab amalan bermaafan sesama manusia Allah ampunkan dosa kita.

2. Doa akan dimakbulkan Allah

Kita yang beragama Islam sudah sinonim dengan amalan berdoa ini. Semestinya kita berdoa untuk dimakbulkan permintaannya. Terdapat beberapa ketika apabila berdoa akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Nisfu syaaban antara waktu yang dimakbulkan doa oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: Apabila malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban), maka solatlah di malam harinya dan berpuasalah di siang harinya. Sesungguhnya Allah turun ke langit bumi pada saat itu ketika matahari terbenam, kemudian Dia berfirman: “Adakah orang yang meminta ampun kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya? Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku akan memberinya rezeki? Adakah orang yang mendapat ujian maka Aku akan menyembuhkannya? Adakah yang begini, dan adakah yang begini…hingga terbit fajar. – [HR Ibn Majah 1378].

Menurut Imam al-Syafie, terdapat lima malam yang merupakan waktu mustajab untuk berdoa malam Jumaat

  • malam al-Adha (hari raya korban),
  • malam al-Fitri (hari raya puasa)
  • malam awal bulan Rejab,
  • malam Nisfu Syaaban.

Petikan: Al-Um, 1/264.

Alangkah ruginya kita sekiranya tidak mengambil kesempatan berdoa pada waktu mustajab ini. Lebih merugikan sekiranya kita masih lagi lalai dan sibuk dengan urusan dunia sehingga mengabaikan dan meninggalkan kelebihan kurniaan Allah SWT.

3. Persediaan memasuki bulan Ramadan dengan meningkatkan amalan

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya pintu-pintu syurga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai. – [HR Muslim 4652].

Terdapat banyak amalan kebaikan yang boleh kita lakukan bagi menghidupkan bulan syaaban ini antaranya Menghidupkan bulan Syaaban termasuk membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya. Semoga dengan amalan ini mendidik kita untuk meneruskan amalan ibadah ini pada hari-hari biasa di bulan-bulan yang lain.

Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban

Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]

Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban

Kesimpulannya, tiada amalan khusus yang boleh dinisbahkan kepada Rasulullah SAW untuk dilaksanakan pada malam nisfu syaaban.Tetapi ianya bukanlah halangan kepada kita untuk mengambil peluang kelebihan beribadah dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.

Sebagai umat islam, melakukan amal ibadah sememangnya digalakkan dan amatlah elok diperbanyakkan. Janganlah kita sekadar ikut musim namun gagal untuk istiqamah. Sesungguhnya istiqamah itu lebih baik daripada seribu karamah. Wallahu’alam.

Sumber:

https://en.wikipedia.org/wiki/Mid-Sha%27ban

http://mufti.perak.gov.my/artikel-minda-mufti/129-minda-mufti/artikel-minda-mufti/756-malam-nisfu-syaaban-dan-penyatuan-ummah

https://www.mstar.com.my/xpose/ad-din/2021/03/28/mereka-yang-bermusuhan-tidak-akan-diampunkan-allah-pada-malam-nisfu-syaaban

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1121-irsyad-al-hadith-siri-ke-70-kelebihan-malam-nisfu-sya-ban

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2068-29

error: Content is protected !!