Sindrom keletihan yang kronik adalah gangguan rumit yang dicirikan sebagai keletihan yang melampau dan tidak dapat dijelaskan oleh sebarang keadaan perubatan asas. Keadaan itu mungkin bertambah buruk dengan aktiviti fizikal atau mental, tetapi ia tidak bertambah sihat walaupun setelah berehat.
Keadaan ini juga dikenali sebagai “Systemic Exertion Intolerance Disease” (SEID) atau “Myalgic Encephalomyelitis” (ME). Kadang kala, ia disingkatkan menjadi ME/ CFS.
Penyebab sindrom keletihan kronik ini masih tidak diketahui, walaupun terdapat banyak teori seperti jangkitan virus mahupun tekanan psikologi. Sesetengah pakar mempercayai bahawa sindrom berkenaan mungkin dicetuskan oleh gabungan beberapa faktor.
Tiada pemeriksaan tertentu boleh dibuat untuk mengesahkan diagnosis sindrom keletihan kronik ini. Anda mungkin memerlukan pelbagai ujian perubatan untuk menolak masalah kesihatan lain yang mempunyai gejala yang sama. Rawatan untuk sindrom ini juga lebih menumpukan untuk melegakan simptom sahaja.
Punca Keletihan Kronik
Punca mengapa penyakit ini berlaku pada sesetengah orang dan bukannya yang lain masih tidak diketahui. Sesetengah orang mungkin dilahirkan dengan kecenderungan untuk mendapat gangguan itu, yang kemudiannya dicetuskan oleh beberapa faktor yang lain. Pencetus yang berpotensi termasuklah:
- Jangkitan virus. Sesetengah orang mengalami sindrom keletihan kronik selepas mengalami jangkitan virus dan ini membuatkan para penyelidik mempersoalkan sama ada sesetengah virus mungkin dapat mencetuskan gangguan itu. Virus yang mencurigakan termasuklah virus Epstein-Barr, virus herpes manusia 6 dan virus leukemia tikus. Tiada perkaitan kukuh yang telah dijumpai.
- Masalah sistem imun. Sistem imun bagi individu yang mempunyai sindrom tersebut nampaknya sedikit terganggu tetapi, ianya masih tidak jelas adakah masalah ini sudah cukup untuk menimbulkan gangguan.
- Ketidakseimbangan hormon. Individu yang mempunyai sindrom ini juga kadang-kadang mempunyai tahap darah pada hormon yang tidak normal dalam hipotalamus, kelenjar pituitari atau kelenjar adrenal. Namun begitu, sebab berlakunya aktiviti tidak normal ini masih belum diketahui.
Simptom Keletihan Kronik
Tanda dan gejala mungkin seperti:
- Keletihan.
- Kehilangan ingatan atau tumpuan.
- Sakit tekak.
- Nodus limfa membesar di leher atau ketiak anda.
- Kesakitan otot atau sendi yang tidak dapat dijelaskan.
- Sakit kepala.
- Tidur yang tidak puas.
- Keletihan yang melampau lebih dari 24 jam selepas senaman fizikal atau mental.
Faktor Risiko Keletihan Kronik
Faktor yang boleh meningkatkan risiko sindrom keletihan kronik termasuklah:
- Sindrom keletihan kronik boleh berlaku tanpa mengira usia, tetapi ia biasanya menjejaskan orang yang berumur 40-an dan 50-an.
- Wanita lebih kerap didiagnosis dengan sindrom ini berbanding lelaki, tetapi wanita lebih cenderung untuk melaporkan gejala mereka kepada doktor.
- Kesukaran menguruskan tekanan boleh menyumbang kepada perkembangan berkenaan.
Komplikasi Keletihan Kronik
Komplikasi sindrom ini yang boleh berlaku termasuklah:
- Kemurungan.
- Pengasingan daripada masyarakat.
- Sekatan gaya hidup.
- Selalu ponteng kerja.
Rawatan Bagi Keletihan Kronik
Tiada ubat yang boleh menyembuhkan sindrom keletihan kronik ini. Rawatan seperti di bawah dibuat bertujuan untuk melegakan gejala yang berlaku sahaja.
– Ubat-ubatan
Ramai orang yang mempunyai sindrom keletihan kronik juga mengalami masalah tekanan. Merawat kemurungan anda boleh memudahkan anda mengatasi masalah yang berkaitan dengan sindrom keletihan kronik. Beberapa ubat anti-depresan dengan dos yang rendah juga boleh membantu anda tidur dengan lebih baik dan melegakan kesakitan.
– Terapi
Rawatan yang paling berkesan untuk sindrom keletihan kronik nampaknya menggunakan pendekatan dua cabang yang menggabungkan latihan kognitif dengan program senaman yang biasa.
- Latihan kognitif. Bercakap dengan kaunselor boleh membantu anda menentukan pilihan rawatan yang ada untuk mengatasi masalah yang membebankan anda kerana sindrom keletihan kronik ini. Dengan merasakan bahawa anda dapat menguasai hidup anda dengan lebih baik dapat meningkatkan pemikiran anda secara dramatik.
- Latihan berperingkat. Ahli terapi fizikal boleh membantu menentukan senaman mana yang terbaik untuk anda. Orang yang tidak aktif biasanya bermula dengan pelbagai gerakan dan latihan regangan hanya beberapa minit sehari. Secara ansuran, dengan meningkatkan keupayaan senaman anda dari masa ke masa boleh membantu mengurangkan hipersensitiviti anda untuk bersenam. Ia adalah sama seperti suntikan alahan yang bertindak balas secara ansuran bagi mengurangkan hipersensitiviti seseorang kepada alergen tertentu.
– Ubat alternatif
Banyak terapi alternatif yang ada boleh dilakukan untuk mengurangkan sindrom keletihan kronik. Sukar untuk menentukan sama ada terapi ini berfungsi atau tidak, kerana simptom sindrom keletihan kronik ini sering memberi tindak balas kepada plasebo (bahan atau rawatan yang direka untuk tidak mempunyai nilai terapeutik).
– Kerjasama dan sokongan
Pengalaman mendapat sindrom keletihan kronik mungkin berbeza bagi setiap individu. Sokongan emosi dan kaunseling boleh membantu anda dan orang yang anda cintai berurusan dengan ketidakpastian dan sekatan kerana gangguan ini.
Anda mungkin mendapati bahawa anda tidak sesuai untuk menyertai kumpulan sokongan dan bertemu dengan orang lain dengan sindrom yang sama. Kumpulan sokongan ini dibuat bukanlah untuk semua orang, dan anda mungkin mendapati bahawa kumpulan ini hanya akan menambah tekanan anda dan bukannya melegakannya. Cuba rawatan yang ada dan buatlah penilaian anda sendiri untuk menentukan apa yang terbaik untuk anda.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chronic-fatigue-syndrome/symptoms-causes/syc-20360490
https://www.healthline.com/health/chronic-fatigue-syndrome