Now Reading
KENAPA BUNGA RAYA DIPILIH SEBAGAI BUNGA KEBANGSAAN MALAYSIA?

KENAPA BUNGA RAYA DIPILIH SEBAGAI BUNGA KEBANGSAAN MALAYSIA? Bunga Raya, Bunga Kebangsaan Malaysia

bunga raya malaysia

Bunga Raya Malaysia telah diiktiraf sebagai Bunga Kebangsaan. Bunganya merah berkelopak lima. Ditengahnya pula terdapat sumbu dedebu kuning yang juga bercabang lima.

Jom Belajar: 'Bunga Raya' - the National Flower of Malaysia - ISKL

Imej ini seringkali dijadikan ‘mural’ atau lukisan dinding di sekolah-sekolah bagi memperkenalkan Bunga Kebangsaan kepada pelajar-pelajar sekolah. Lambang Bunga Raya juga jelas terlihat pada mata wang Malaysia dan Jata Negara Malaysia. Persoalannya di sini, ‘Kenapa Bunga Raya dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia?’

Di sesetengah negara di dunia, pokok atau tumbuhan telah dipilih sebagai simbol atau lambang yang mewakili sesetengah kawasan atau penduduk di sesetengah kawasan. Manakala di sesetengah negara yang lain pula memilih lambang bunga (floral emblem) dan selebihnya memilih suatu bentuk atau simbol tertentu bagi menunjukkan pengkelasan tertentu.

Dianggarkan terdapat lebih 300 jenis Bunga Raya yang terdapat di alam semulajadi. Walau bagaimanapun Bunga Raya yang menjadi pilihan Bunga Kebangsaan adalah Bunga Raya dari jenis Hibiscus Rosa-Sinensis, sejenis bunga daripada kelompok Hibisceae yang berasal daripada spesis Malvaceae. Ianya banyak tumbuh di kawasan tropika dan separa tropika dan lazimnya dijadikan sebagai pokok hiasan. Di Malaysia, Bunga Raya juga dikenali sebagai Bunga Sepatu dan Kembang Sepatu. Bunganya besar, merah keras tetapi tidak berbau.

Bunga Raya yang menjadi simbol negara Malaysia bukan sahaja sering menjadi penghias laman, malah masyarakat negara kita juga ada yang mengamalkan petua kecantikan dengan menggunakan pokok Bunga Raya. Daun Bunga Raya dikatakan dapat menghilangkan kelumumur, membuatkan rambut berkilat dan menyejukkan kulit kepala. Daun bunga raya direndam di dalam air dan kemudiannya diramas sehingga mengeluarkan lendir. Lendir tersebut kemudian disapu pada rambut dan kulit kepala.

Di dalam Bahasa Melayu, perkataan ‘Raya’ bermaksud ‘meriah’ atau ‘perayaan’. Secara harfiah, Hibiscus Rosa-Sinensis boleh dikatakan sebagai Bunga Perayaan sebagai pengzahiran kepada kesatuan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan budaya.. Kelopak Bunga Raya yang berwarna merah membawa simbol keberanian, kehidupan dan perkembangan pesat rakyat Malaysia. Lima Kelopak Bunga Raya juga mewakili lima tunggak Rukun Negara seperti yang berikut :

  1. Kepercayaan Kepada Tuhan
  2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  3. Keluhuran Perlembagaan
  4. Kedaulatan Undang-Undang
  5. Kesopanan dan Kesusilaan

Sejarah Pra-Pemilihan Bunga Kebangsaan

Pada tahun 1958, 7 jenis bunga telah dikemukakan oleh Kementerian Pertanian untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Antara bunga-bunga yang telah dicadangkan ialah Bunga Raya (Hibiscus), Bunga Kenanga (Ylang Ylang), Bunga Melur (Jasmine), Bunga Cempaka (Magnolia), Bunga Mawar (Rose) dan Bunga Tanjung (Medlar).

Rentetan daripada itu, satu kajian telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan reaksi orang ramai berkenaan pilihan mereka bagi Bunga Kebangsaan. Kajian ini dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk di bahagian Pantai Timur memilih Bunga Mawar manakala penduduk di Pantai Barat memilih Bunga Melur.

Akhirnya, pada 28 Julai 1960, Perdana Menteri pada masa itu, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan. Pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan juga dilambangkan sebagai Bunga Perpaduan.

Antara faktor yang menjadi kayu pengukur pemilihan Bunga Raya sebagai Bunga Kebangsaan adalah selain bunga ini dikenali di setiap negeri, bunga ini mempunyai panggilan yang sama di seluruh negara. Bunga Raya jenis Hibiscus Rosa-Sinensis juga tidak menjadi mana-mana Bunga Kebangsaan di negara lain di dunia ketika itu. Selain itu, pokok Bunga Raya juga mudah ditanam dan dapat berbunga sepanjang masa tanpa mengira musim. Warnanya menandingi warna bunga-bunga lain yang melambangkan hidup, gembira, girang, gilang-gemilang dan merah itu melambangkan keberanian.

Pemilihan bunga sebagai sebuah simbolik sesuatu kerajaan atau negara lazimnya berkait dengan sejarah dan kisah sesebuah negara. Ada juga dipilih kerana warna dan bentuk. Bunga juga menjadi simbol yang mewakili sesetengah negara kerana nilai-nilai sentimental ataupun kerana bentuk dan pertumbuhan sesuatu bunga yang memberi impak terhadap nilai kemanusiaan yang berlegar di dalam masyarakat sesebuah negara.

Ternyata, simbol-simbol yang digunapakai oleh negara-negara di dunia adalah sebagai satu bentuk manifestasi kerajaan berdaulat. Dengan simbol, ianya bertujuan menyatukan rakyat pada apa yang mewakili rakyat tersebut di sesebuah negara. Dalam erti kata lain, simbol atau perlambangan dapat menyemarakkan semangat patriotisme.

Justeru, pengisytiharan Bunga Raya sebagai Bunga Kebangsaan sangat bertepatan di negara kita. Bunga Raya melambangkan Perpaduan di dalam negara Malaysia yang berbilang kaum. Bunga Raya dikenali dan sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Ianya melata dari Utara ke Selatan dan dari Timur ke Barat Malaysia dan membawa prinsip rukun negara yang menjadi tunggak kepada asas pembinaan negara Malaysia.

SUMBER:

https://en.wikipedia.org/wiki/Floral_emblem

https://en.wikipedia.org/wiki/Hibiscus_rosa-sinensis

https://ms.wikipedia.org/wiki/Bunga_raya

https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30110?language=my

https://www.malaysia.gov.my/portal/content/139?language=my

https://www.sinarharian.com.my/article/43603/INFOGRAFIK/Bunga-Raya-bunga-kebangsaan

https://en.wikipedia.org/wiki/Floral_emblem

https://en.wikipedia.org/wiki/National_symbol

error: Content is protected !!