Now Reading
Kenapa Perlu Ambil Vaksin Covid-19 Untuk Warga Emas?

Kenapa Perlu Ambil Vaksin Covid-19 Untuk Warga Emas?

vaksin covid-19 untuk warga emas

Kadar risiko penyakit Covid-19 meningkat seiring dengan usia seseorang individu tersebut. Oleh sebab itu, pakar perubatan di seluruh dunia mencadangkan pengambilan vaksin Covid-19 untuk warga emas. Pengambilan vaksin Covid-19 adalah satu langkah penting untuk menghalang penularan wabak Covid-19.

Warga emas, lebih-lebih lagi yang mengalami komorbiditi adalah digalakkan untuk mengambil vaksin kerana risiko jangkitan virus Covid-19 adalah amat tinggi kepada golongan seperti ini.

Kemunculan pelbagai varian-varian baharu virus ini turut mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Ini kerana, varian baharu selalunya tidak ada gejala awal.

Walau bagaimanapun, pengambilan vaksin Covid-19 dapat melindungi diri daripada jangkitan yang lebih teruk. Vaksin berfungsi dalam beberapa cara yang berbeza, yang lalu memberi faedah kepada individu dan masyarakat.

Tahukah anda, setakat 18 Mei lalu, sebanyak 1,390 atau hampir 70% daripada 1994 kematian yang direkodkan di Malaysia akibat COVID-19, adalah kematian yang melibatkan warga emas? Oleh itu, mari kita lihat kenapa pengambilan vaksin Covid-19 bagi warga emas adalah perlu dan amat penting.

KEPERLUAN PENGAMBILAN VAKSIN COVID-19 BAGI WARGA EMAS

Seiring bertambahnya usia, sel-sel imun kita menjadi lebih sukar untuk diaktifkan sebagai tindak balas kepada penyakit yang menjangkiti tubuh badan kita. Oleh itu, pengambilan vaksin dapat membantu melindungi diri daripada jangkitan virus Covid-19, lebih-lebih lagi untuk warga emas.

Terdapat beberapa kepentingan vaksin Covid-19 bagi warga emas yang mana ia juga disokong oleh pakar perubatan.

1. Dapat melindungi diri daripada virus Covid-19

Covid-19 adalah satu jenis virus penyakit yang kejam. Virus ini akan menyerang pesakit yang lemah dan merangsang sistem kekebalan atau imuniti, dan membawa kepada kepada masalah pembekuan darah, kerosakan tisu, dan termasuklah kesukaran untuk bernafas.

Paling menyedihkan, ia memberi kesan yang amat buruk kepada golongan yang lemah termasuklah kepada warga emas, lebih-lebih lagi warga emas yang mempunyai penyakit-penyakit sampingan yang lain seperti obesiti, kencing manis, sakit jantung, dan juga darah tinggi.

Anggaran tahap keseriusan dari penyakit COVID-19 di sebuah negara luar menunjukkan bahawa warga emas, terutama di kalangan mereka yang berusia lebih 70 tahun, telah menunjukkan kadar kematian yang tinggi.

Oleh itu, pengambilan vaksin oleh warga emas mampu membantu mereka untuk melindungi diri daripada serangan virus ini.

2. Dapat menurunkan kadar kematian

Sekiranya warga emas dijangkiti virus Covid-19, kadar kematian adalah amat tinggi. Ini kerana warga emas adalah golongan yang sangat berisiko tinggi.

Terdapat pelbagai jenis vaksin yang telah mendapat Emergency Use Approval. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga antara badan yang terlibat dalam meluluskan penggunaan vaksin di negara ini. Maka, pelbagai jenis vaksin boleh didapati untuk melindungi warga emas dari ancaman virus ini.

Di sebuah negara, kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan penduduk berumur antara 18 tahun hingga 70 tahun yang sudah lengkap menerima dos salah satu jenis vaksin telah turun sebanyak 97% dalam tempoh 14 hari.

3. Mencegah penularan wabak Covid-19

Mengambil vaksin bukan sahaja dapat melindungi diri daripada wabak penyakit berbahaya ini, tetapi ia juga untuk menghalang penularan Covid-19 kepada ahli keluarga lain dan juga masyarakat setempat.

Sekiranya anda dijangkiti penyakit ini, besar kemungkinan anda akan menyebarkannya kepada ahli keluarga anda yang berdekatan, contohnya cucu-cucu anda, anak-anak, dan juga isteri.

Selain daripada pematuhan terhadap Standard Operation Procedure, vaksin adalah salah satu cara untuk mencegah penularan wabak ini. Ia adalah satu bentuk ikhtiar yang perlu kita lakukan.

Dalam agama Islam, ikhtiar adalah perkara yang wajib. Umat Islam juga telah diajar supaya tidak boleh menyerah diri tanpa usaha. Usaha itu sangat penting dan dalam hal Covid-19, vaksin menjadi satu perkara yang wajib untuk mengelak penularan wabak jangkitan yang lebih besar.

4. Membantu mencapai imuniti kelompok

Imuniti kelompok bermaksud virus tidak dapat memasuki suatu kelompok masyarakat kerana sebahagian besar anggota masyarakat tersebut mempunyai kekuatan untuk melawan virus yang kuat.

Di negara Malaysia, melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau dikenali sebagai PICK, terdapat kira-kira satu juta warga emas yang sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok.

Selain itu, kira-kira 60% daripada 3.5 juta warga emas di negara ini yang berusia lebih 60 tahun telah pun membuat pendaftaran melalui MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Sekiranya ramai warga emas yang dapat divaksinasi, hal ini akan membantu negara kita untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

5. Vaksin Covid-19 terbukti berkesan

Data yang dikumpul dari sebuah negara tentang vaksin Covid-19 berjenama Sinovac Biotech terhadap penduduk negara itu telah menunjukkan kadar keberkesanan yang tinggi, iaitu sebanyak 90%.

Vaksin itu terbukti dapat mencegah rakyat negara tersebut, lebih-lebih lagi warga emas, dari ditahan di unit rawatan rapi (ICU). Ia juga dapat menurunkan risiko mereka untuk berdepan dengan kematian.

Pengambilan vaksin itu terbukti mampu mengurangkan kadar kematian sebanyak 95% di negara tersebut. Ia juga telah membantu menurunkan kadar individu yang ditahan di unit rawatan rapi sebanyak 92%

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh negara tersebut, vaksin telah menunjukkan 61% tahap keberkesanan dalam menghalang jangkitan dan penularan wabak penyakit Covid-19.

JENIS-JENIS VAKSIN YANG BOLEH DIAMBIL OLEH WARGA EMAS DI NEGARA INI

Di luar negara, bagi warga emas yang berumur 65 tahun ke atas yang telah diberikan dua dos lengkap vaksin jenis Pfizer-BioNTech atau Moderna, ia menunjukkan penurunan risiko kemasukan ke hospital akibat jangkitan wabak Covid-19 sebanyak 94%.

Manakala, bagi warga emas yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech atau Moderna pula, ia menunjukkan 64% tahap keberkesanan.

Setakat ini di Malaysia, terdapat tiga jenis vaksin yang sudah pun mula diberikan yang terbukti selamat dan berkesan untuk warga emas. Vaksin-vaksin tersebut adalah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, dan juga Sinovac.

Vaksin Pfizer-BioNTech

  • Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech ini memerlukan jarak selama 21 hari atau 3 minggu antara dos pertama dan dos kedua.
  • Berdasarkan bukti dari ujian klinikal yang dijalankan pada orang yang lebih tua, vaksin Pfizer-BioNTech menunjukkan 95% tahap keberkesanan untuk mencegah penyakit COVID-19.
  • Vaksin mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan.
  • Pembentukan antibodi akan meningkat dengan banyak selepas menerima dos kedua.

Vaksin AstraZeneca

  • Vaksin AstraZeneca mempunyai tahap keberkesanan sebanyak 63.09% terhadap jangkitan virus SARS-CoV-2 tanpa gejala.
  • Vaksin jenis ini memerlukan selang dos yang lebih lama, iaitu dalam jangka masa 8 minggu sehingga 12 minggu. Hal ini dikaitkan dengan tahap keberkesanan vaksin yang lebih tinggi.
  • Walaubagaimanapun, mereka yang mempunyai sejarah alergik yang teruk terhadap pengambilan vaksin, tidak boleh mengambil vaksin ini.
  • Ia juga sesuai untuk diberikan kepada wanita yang mengandung, selain diberikan kepada warga emas dan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Vaksin Sinovac

  • Vaksin ini berfungsi dengan cara menggunakan zarah-zarah virus yang telah dimatikan untuk mendedahkan sistem kekebalan tubuh kepada virus tanpa risiko tindak balas penyakit yang serius.
  • Ini bermaksud sebahagian dari kod genetik virus Covid-19 akan disuntikkan ke dalam tubuh penerima, dan ia akan memberi isyarat kepada tubuh untuk menghasilkan viral protein.
  • Kelebihan utama vaksin jenis Sinovac ini adalah ia boleh disimpan di dalam peti sejuk standard pada suhu antara 2 hingga 8 darjah Celsius.
  • Vaksin Sinovac telah menjalani ujian fasa tiga di pelbagai negara. Data yang diambil dari ujian fasa peringkat akhir daripada dua buah negara luar menunjukkan tahap keberkesanan sebanyak 91.25% dan 65.3% bagi peringkat umur 18 tahun ke atas, termasuk warga emas.

TIPS UNTUK WARGA EMAS YANG INGIN MENDAPATKAN VAKSIN COVID-19

Walaupun vaksin Covid-19 telah terbukti mampu memberikan kesan yang positif kepada warga emas, namun masih ada beberapa perkara yang kadang kala membuatkan warga emasgagal atau tidak mahu mengambil suntikan vaksin.

Oleh itu, berikut adalah beberapa petua atau tips untuk warga emas yang ingin mendapatkan suntikan vaksin Covid-19:

1. Berusaha untuk dapatkan suntikan pada tarikh yang diberikan.

Untuk kebanyakan orang, masalah pengangkutan adalah masalah utama yang dihadapi ketika ingin mengambil vaksin.

Namun begitu, demi untuk mendapatkan vaksin yang mampu menyelamatkan nyawa, anda haruslah berusaha sebaik mungkin untuk menepati tarikh temu janji anda.

Rancang perjalanan anda ke pusat pemberian vaksin dengan baik dan seawal mungkin sebaik saja anda mendapat tarikh temu janji yang telah ditetapkan untuk anda.

Jangan jadikan pengangkutan sebagai penghalang. Anda mampu melakukannya jika anda telahpun merancang perjalanan terlebih dahulu.

2. Sentiasa berwaspada dengan maklumat palsu tentang vaksin.

Anda harus selalu berhati-hati dengan iklan vaksin yang diterima melalui platform media sosial, e-mel, panggilan telefon, atau dari sumber yang tidak diketahui.

Terdapat juga scammer yang menggunakan laman Facebook untuk menghantar mesej melombong data peribadi anda ataupun menyebarkan mesej palsu mengenai vaksin di media sosial.

Oleh itu, anda harus selalu berhati-hati apabila menerima maklumat mengenai vaksin. Sentiasa pastikan maklumat yang diterima adalah daripada sumber yang boleh dipercayai dan bukannya sumber yang diragui kesahihannya.

3. Dapatkan nasihat doktor anda.

Bagi warga emas, sudah seharusnya anda perlu mendapatkan dahulu khidmat nasihat daripada doktor yang merawat anda sebelum mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Walaupun vaksin Covid-19 adalah selamat untuk warga emas, tetapi terdapat beberapa sebab yang menyebabkan seseorang warga emas itu tidak boleh mengambil suntikan vaksin. Selalunya atas sebab masalah kesihatan yang sedang dihidapi oleh individu tersebut.

Bagi warga emas yang layak menerima vaksin, doktor anda selalunya akan berpesan supaya anda mendapatkan tidur yang cukup sebelum hari suntikan vaksin. Selain itu, anda juga perlu hidratkan tubuh anda untuk persediaan vaksinasi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pengambilan suntikan vaksin Covid-19 adalah perlu untuk warga emas bagi menjaga keselamatan mereka dan melindungi mereka dari wabak penyakit berbahaya ini. Walaupun begitu, setiap individu termasuklah warga emas haruslah mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil suntikan vaksin.

Sentiasa beringat untuk lindungi diri anda dan orang yang tersayang dengan pengambilan vaksin, ia mampu menyelamatkan nyawa anda.

Sumber:

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/different-vaccines/Pfizer-BioNTech.html

https://www.thestar.com.my/lifestyle/health/2021/04/18/elderly-receive-good-protection-with-these-two-covid-19-vaccines

https://www.who.int/news-room/feature-stories/detail/the-oxford-astrazeneca-covid-19-vaccine-what-you-need-to-know

https://www.bbc.com/news/world-asia-china-55212787

https://mysejahtera.malaysia.gov.my/vaccine/faq.pdf

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/recommendations/older-adults.html

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/06/vaksin-pfizer-sinovac-terbukti-sangat-berkesan-di-uruguay/

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/824847/sejuta-warga-emas-sudah-divaksin

https://www.barrons.com/articles/here-are-some-tips-for-seniors-looking-to-get-a-covid-vaccine-51613365655



error: Content is protected !!