Now Reading
Kencing tak lawas (Urinary incontinence)

Kencing tak lawas (Urinary incontinence)

kencing tak lawas

Pengenalan

Kencing tak lawas atau inkontines adalah masalah biasa yang sering berlaku dan memalukan. Keparahan bermula dengan terbuang air kencing kadangkala apabila anda batuk atau bersin hingga tidak tahan untuk membuang air kecil yang datang secara tiba-tiba. Ianya begitu kuat sehingga anda tidak dapat ke tandas dalam waktunya.

Walaupun ia berlaku lebih kerap apabila individu semakin berusia, kencing tak lawas bukanlah kesan penuaan yang tidak dapat dielakkan. Sekiranya masalah ini mempengaruhi aktiviti harian anda, jangan teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor. Bagi kebanyakan orang, perubahan gaya hidup yang mudah atau rawatan perubatan dapat mengurangkan ketidakselesaan atau menghentikan inkontinens kencing.

Penerangan

Ramai orang mengalaminya kebocoran kecil air kencing sekali-sekala. Ada yang mungkin kehilangan jumlah air kencing yang kecil manakala ada juga kehilangan jumlah yang sederhana dengan lebih kerap.

Jenis kencing tak lawas termasuk:

  • Inkontinens tekanan. Kebocoran air kencing apabila anda memberi tekanan pada pundi kencing anda melalui batuk, bersin, ketawa, bersenam atau mengangkat sesuatu yang berat.
  • Inkotinens mendesak. Anda mempunyai dorongan untuk kencing yang mendadak atau secara tiba-tiba diikuti dengan kehilangan air kencing tanpa kawalan. Anda mungkin perlu buang air kecil lebih kerap, termasuklah sepanjang malam. Inkontinens mendesak ini mungkin berlaku disebabkan masalah kecil, seperti jangkitan atau keadaan yang lebih parah seperti gangguan neurologi atau diabetes.
  • Inkontinens melimpah. Anda mengalami pengeluaran air kencing yang kerap atau berterusan kerana pundi kencing tidak kosong sepenuhnya.
  • Inkontinens berfungsi. Kerosakan fizikal atau mental menghalang anda daripada ke tandas dalam masa yang sepatutnya. Sebagai contoh, jika anda mempunyai masalah artritis yang teruk, anda mungkin tidak dapat membuka seluar anda dengan cepat.
  • Inkontinens campuran. Anda mengalami lebih daripada satu jenis inkontinens kencing.

Penyebab yang berkemungkinan

Penyebab dan jenis kencing tak lawas adalah berkait rapat.

Inkontinens tekanan

Faktor termasuk:

  • Kehamilan dan bersalin
  • Menopaus, memandangkan tahap estrogen yang menurun menjadikan otot lemah.
  • Histerektomi dan beberapa prosedur pembedahan lain.
  • Umur.
  • Obesiti.

Inkontinens mendesak

Punca-punca yang berikut dapat menyebabkan inkontinens mendesak seperti:

  • Cystitis, keradangan lapisan pundi kencing.
  • Keadaan neurologi, seperti pelbagai sklerosis (MS), strok dan penyakit Parkinson.
  • Pembesaran prostat, yang boleh menyebabkan pundi kencing jatuh dan uretra merengsa.

Inkontinens melimpah

Ini berlaku apabila terdapat halangan atau penyumbatan pada pundi kencing. Berikut boleh menyebabkan halangan seperti:

  • Kelenjar prostat yang membesar.
  • Tumor yang menekan terhadap pundi kencing.
  • Batu karang.
  • Sembelit.
  • Pembedahan inkontinens kencing yang terlalu jauh.

Inkontinens keseluruhan

Ini boleh berlaku kerana:

  • Kecacatan anatomi yang wujud sejak lahir.
  • Kecederaan tulang belakang yang merosakkan isyarat saraf antara otak dan pundi kencing.
  • Fistula, iaitu apabila tiub atau saluran berkembang di antara pundi kencing dan kawasan berdekatan, biasanya faraj.

Bila anda perlu menghubungi doktor

Anda mungkin berasa tidak selesa membincangkan masalah kencing tak lawas dengan doktor anda. Tetapi, jika ia kerap berlaku atau menjejaskan kualiti hidup anda, ianya adalah penting untuk mendapatkan nasihat perubatan kerana masalah kencing tak lawas boleh:

  • Menjadi petanda bagi keadaan yang lebih serius.
  • Mengehadkan aktiviti dan interaksi sosial anda.
  • Meningkatkan risiko untuk jatuh pada individu lebih berusia apabila bergegas ke tandas.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Pengambilan sejarah yang teliti adalah penting terutamanya dalam corak kebocoran air kencing kerana ia bboleh mencadangkan jenis kencing tak lawas yang dihadapi. Perkara-perkara penting lain termasuklah ketegangan dan ketidakselesaan, penggunaan dadah, pembedahan terbaru dan penyakit.

Pemeriksaan fizikal akan memberi tumpuan untuk mencari tanda-tanda keadaan perubatan yang boleh menyebabkan masalah kencing tak lawas, seperti tumor yang menyekat saluran kencing, impak najis dan refleks atau sensasi kurang baik yang mungkin menjadi bukti yang berkaitan dengan saraf.

Ujian yang sering dilakukan adalah pengukuran keupayaan pundi kencing dan sisa air kencing untuk menjadi bukti bahawa otot pundi kencing tidak berfungsi dengan baik.

Ujian lain termasuk:

  • Ujian tekanan – pesakit dalam keadaan lega, kemudian batuk bersungguh-sungguh kerana doktor akan mengawasi keadaan kehilangan air kencing.
  • Analisis urin – sampel air kencing diuji untuk mencari bukti jangkitan, batu karang atau sebab lain.
  • Ujian darah – sampel darah diambil, dihantar ke makmal dan diperiksa untuk mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan faktor yang boleh menyebabkan inkontinensia.
  • Ultrabunyi – gelombang bunyi digunakan untuk memberi visual bagi buah pinggang dan pundi kencing.
  • Cystoscopy – tiub nipis dengan kamera kecil dimasukkan ke dalam uretra dan digunakan untuk melihat bahagian dalam uretra dan pundi kencing.
  • Urodinamik – pelbagai teknik mengukur tekanan dalam pundi kencing dan aliran air kencing.

Seterusnya, pesakit biasanya diminta untuk menyimpan buku harian selama lebih satu hari iaitu sehingga seminggu untuk merekod corak pengeluaran air kencing, waktu yang dinyatakan dan jumlah air kencing yang dihasilkan.

Kajian penyelidikan yang menilai keberkesanan terapi anti-inkontinens sering mengukur sejauh mana kencing tak lawas berlaku. Kaedah ini termasuk ujian pad 1-h, mengukur jumlah kebocoran dengan menggunakan buku catatan pengeluaran harian, mengira bilangan episod tak lawas (episod kebocoran) setiap hari dan menilai kekuatan otot lantai pelvik, mengukur tekanan peregangan maksimum faraj.

Rawatan

Rawatan untuk masalah Kencing tak lawas bergantung pada jenis kencing tak lawas, keparahan dan puncanya. Kombinasi rawatan mungkin juga diperlukan. Sekiranya keadaan kesihatan lain menyebabkan gejala anda, doktor akan merawat keadaan itu terlebih dahulu.

Doktor anda mungkin mencadangkan rawatan yang paling invasif terlebih dahulu dan bertukar kepada pilihan lain hanya jika teknik tersebut gagal.

Teknik tingkah laku

Doktor anda boleh mencadangkan:

  • Latihan pundi kencing untuk melambatkan pengeluaran air kencing selepas anda mempunyai keinginan untuk pergi ke tandas. Anda boleh bermula dengan cuba menahan selama 10 minit setiap kali terasa perlu membuang air kecil. Matlamatnya adalah untuk memanjangkan masa antara perjalanan ke tandas untuk kencing bagi setiap 2.5 hingga 3.5 jam.
  • Pengosongan berganda bagi membantu anda belajar cara mengosongkan pundi kencing dengan lebih lengkap untuk mengelakkan inkotinens melimpah. Pengosongan berganda bermakna kencing, kemudian menunggu beberapa minit dan cuba untuk kencing lagi.
  • Jadual pergi ke tandas, buang air kecil setiap 2 hingga 4 jam berbanding menunggu adanya keperluan untuk ke tandas.
  • Pengurusan cecair dan diet untuk mengembalikan kawalan pundi kencing anda. Anda mungkin perlu mengurangkan atau mengelakkan alkohol, kafein atau makanan berasid. Pengurangan pengambilan cecair, penurunan berat badan atau aktiviti fizikal yang meningkat juga dapat mengurangkan masalah ini.

Latihan otot lantai pelvik

Doktor mungkin mengesyorkan agar anda melakukan senaman ini dengan kerap untuk menguatkan otot yang membantu mengawal pengeluaran air kencing. Ia juga dikenali sebagai latihan Kegel dan amat berkesan untuk inkotinens tekanan tetapi mungkin juga boleh membantu dalam masalah inkontinens mendesak.

Untuk melakukan latihan otot lantai pelvik, bayangkan bahawa anda cuba menghentikan aliran air kencing anda. Kemudian:

  • Ketatkan (kontraksi) otot yang digunakan untuk menghentikan air kencing dan tahan selama 5 saat, kemudian berehat selama 5 saat. (Jika ini terlalu sukar, mulakan dengan menahan selama 2 saat dan berehat selama 3 saat.)
  • Berusaha untuk menahan kontraksi selama 10 saat pada satu masa.
  • Sasarkan sekurang-kurangnya tiga set dengan 10 kali pengulangan setiap hari.

Seterusnya, bagi membantu anda mengenal pasti dan mengetatkan otot yang betul, doktor mungkin mencadangkan anda bekerja dengan ahli terapi fizikal atau cuba teknik tindak balas bio.

Rangsangan elektrik

Elektrod dimasukkan secara sementara ke dalam rektum atau faraj untuk merangsang dan menguatkan otot lantai pelvik. Rangsangan elektrik yang lembut boleh menjadi berkesan untuk inkontinens tekanan dan inkontinens mendesak, tetapi anda mungkin memerlukan beberapa kali rawatan selama beberapa bulan.

Ubat-ubatan

Ubat yang biasa digunakan untuk merawat masalah kencing tak lawas termasuk:

  • Anticholinergics. Ubat-ubatan ini boleh menenangkan pundi kencing yang terlalu aktif dan dapat membantu bagi masalah inkontinens mendesak. Contohnya ialah oxybutynin (Ditropan XL), tolterodine (Detrol), darifenacin (Enablex), fesoterodine (Toviaz), solifenacin (Vesicare) dan trospium (Sanctura).
  • Mirabegron (Myrbetriq). Digunakan untuk merawat inkontinens mendesak, ubat ini melegakan otot pundi kencing dan dapat meningkatkan jumlah air kencing yang dapat ditahan oleh pundi kencing. Ia juga boleh meningkatkan jumlah pengeluaran air kencing pada satu masa, seterusnya membantu mengosongkan pundi kencing dengan lebih sempurna.
  • Penyekat Alpha. Bagi lelaki yang mengalami inkontinens mendesak atau inkontinens melimpah, ubat ini melegakan otot leher pundi kencing dan serat otot di dalam prostat dan menjadikannya lebih mudah untuk mengosongkan pundi kencing. Contoh-contohnya termasuklah tamsulosin (Flomax), alfuzosin (Uroxatral), silodosin (Rapaflo), doxazosin (Cardura) dan terazosin.
  • Estrogen topikal. Bagi wanita, penggunaan dos rendah estrogen topikal dalam bentuk krim, cincin atau tampalan pada faraj boleh membantu tona dan meremajakan tisu di kawasan uretra dan faraj. Estrogen sistemik yang mengambil hormon sebagai pil tidak disyorkan untuk kencing tak lawas dan mungkin menjadikan keadaan itu lebih teruk.

Peralatan perubatan

Peranti yang direka untuk mengubati wanita dengan kencing tak lawas termasuk:

  • Kemasukan uretra, peranti pakai buang kecil seperti tampon dimasukkan ke dalam uretra sebelum individu boleh melakukan aktiviti tertentu seperti tenis, yang boleh menyebabkan kencing tak lawas. Kemasukkan ini berfungsi sebagai plag untuk mencegah kebocoran dan dikeluarkan sebelum membuang air kecil.
  • Pessary, ini merupakan cincin kaku yang anda masukkan ke dalam faraj dan dipakai sepanjang hari. Peranti ini biasanya digunakan pada seseorang dengan masalah prolaps yang menyebabkan kencing tak lawas. Ia membantu menahan pundi kencing anda yang terletak berhampiran faraj, untuk mencegah kebocoran air kencing.

Terapi intervensi

Terapi intervensi yang boleh membantu dengan masalah kencing tak lawas termasuk:

  • Suntikan bahan jisim. Bahan sintetik disuntik ke dalam tisu yang mengelilingi uretra. Ini membantu mengekalkan uretra dalam keadaan tertutup dan mengurangkan kebocoran air kencing. Prosedur ini secara amnya adalah kurang efektif daripada rawatan yang lebih invasif seperti pembedahan untuk inkontinens tekanan dan biasanya perlu diulang secara teratur.
  • Jenis A toksin botulinum (Botox). Suntikan Botox ke dalam otot pundi kencing boleh memberi manfaat kepada individu dengan pundi kencing yang terlalu aktif. Botox ini biasanya diberikan kepada individu hanya jika barisan ubatan pertama lain tidak berjaya.
  • Perangsang saraf. Peranti menyerupai alat pacu jantung ditanamkan di bawah kulit anda untuk menyampaikan denyutan elektrik tidak menyakitkan ke saraf yang terlibat dalam kawalan pundi kencing (saraf sacral). Perangsangan saraf sacral boleh mengawal inkontinens mendesak jika terapi lain tidak berfungsi. Ia boleh diimplan di bawah kulit di punggung anda dan disambungkan ke wayar di punggung bawah, di atas kawasan kemaluan atau dengan menggunakan alat khas yang dimasukkan ke dalam faraj.

Pembedahan

Jika rawatan lain tidak berfungsi, beberapa prosedur pembedahan boleh merawat masalah yang menyebabkan kencing tak lawas:

  • Prosedur sling. Jalur tisu badan, bahan sintetik atau mesh digunakan untuk membuat tali anduh (sling) pelvis di sekitar uretra dan kawasan otot yang tebal di mana pundi kencing dihubungkan ke uretra (leher pundi). Ini membantu menjaga uretra dalam keadaan tertutup, terutama ketika anda batuk atau bersin. Prosedur ini juga digunakan untuk merawat masalah inkontinens tekanan.
  • “Penggantungan” (suspension) leher pundi. Prosedur ini direka bentuk untuk memberikan sokongan kepada leher uretra dan pundi anda – satu kawasan otot yang tebal di mana pundi kencing dihubungkan ke uretra. Ia melibatkan pemotongan pada abdomen, jadi ia dilakukan semasa anestesia umum atau anestesia tulang belakang.
  • Pembedahan prolaps. Pada wanita yang mengalami inkontinens campuran dan prolaps organ pelvik, pembedahan mungkin termasuk gabungan prosedur sling dan pembedahan prolaps.
  • Sphincter kencing buatan. Pada individu lelaki, cincin yang kecil dengan cecair ditanamkan di sekitar leher pundi untuk memastikan spinchter kencing tertutup sehingga anda sudah bersedia untuk membuang air kecil. Bagi membuang air kecil, anda menekan injap yang ditanamkan di bawah kulit bagi membolehkan cincin mengempis dan membolehkan air kencing keluar dari pundi.

Pad penyerap dan kateter

Jika rawatan perubatan tidak dapat menyembuhkan kencing tak lawas anda sepenuhnya, anda boleh mencuba produk yang membantu meringankan ketidakselesaan dan kesulitan membuang air kencing:

  • Pad dan pakaian pelindung. Kebanyakan produk adalah tidak terlalu besar berbanding seluar dalam biasa dan mudah dipakai di bawah pakaian sehari-hari. Lelaki yang mempunyai masalah dengan pengeluaran air kencing boleh menggunakan pengumpul drip – poket kecil mengandungi pad penyerap yang dipakai di atas zakar dan ditahan oleh seluar dalam yang sesuai.
  • Kateter. Sekiranya anda mengalami masalah kencing tak lawas kerana pundi kencing anda tidak mengosong dengan betul, doktor mungkin mengesyorkan agar anda belajar menyelitkan tiub lembut (kateter) ke dalam uretra beberapa kali sehari untuk mengalirkan pundi kencing anda. Anda juga akan diajarkan cara untuk membersihkan kateter ini untuk digunakan semula dengan selamat.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/165408#causes

https://en.wikipedia.org/wiki/Urinary_incontinence

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/urinary-incontinence/diagnosis-treatment/drc-20352814

error: Content is protected !!