Kes rabies ragut nyawa kanak-kanak di ketika penularan wabak COVID-19 belum lagi reda. Penyakit Rabies berlaku apabila virus merebak ke dalam badan akibat gigitan haiwan seperti anjing. Ia sangat berbahaya kerana boleh membawa maut. Seperti peribahasa “sudah jatuh ditimpa tangga”, Sarawak kini melaporkan satu lagi kes kematian disebabkan wabak Rabies. Berita itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan bahawa ia merupakan kes Rabies pertama pada tahun ini dan menjadi kes ke-23 sejak wabak itu diisytiharkan pada 31 Julai 2017 yang lalu.
Menurut laman web ‘kpkesihatan.com’, kes tersebut melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia berumur lima tahun yang tinggal di bandar Sibu, Sarawak. Kanak-kanak ini dikatakan telah diserang dan digigit oleh anjing liar sebelum ini tetapi luka gigitannya itu tidak dibersihkan dengan cara yang betul. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan pada hari yang sama.
Walaupun telah menerima suntikan vaksin anti-tetanus dan dibenarkan keluar dari hospital buat sementara waktu, dia kemudiannya dibawa kembali ke Klinik Komuniti di bandar Sibu kerana demam. Simptom itu kemudian ditambahkan pula dengan sakit tekak dan sukar menelan air serta berhalusinasi. Kanak-kanak ini kemudiannya dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Bagi mengurangkan kes sebegini pada masa hadapan, jom ketahui beberapa fakta tentang penyakit Rabies atau juga dikenali sebagai penyakit “Anjing Gila”.
Fakta tentang penyakit Rabies
Menurut laman portal KKM, penyakit Rabies adalah penyakit sistem saraf yang berlaku kerana jangkitan virus. Ia merebak melalui gigitan haiwan seperti anjing. Seterusnya, pesakit hanya menunjukkan tanda-tanda 20 hingga 60 hari selepas digigit oleh haiwan berkenaan.
Gejala yang biasa termasuklah:
- Demam
- Sakit dan lenguh pada tempat gigitan
- Otot badan menjadi lesu
- Sakit kepala
Di samping itu penyakit ini tidak mempunyai penawar dan biasanya membawa maut. Virus daripada haiwan yang dijangkiti boleh merebak melalui gigitan yang meninggalkan kesan pada individu. Tetapi, penyebaran virus juga dikatakan boleh berlaku melalui cakaran atau luka yang belum sembuh.
Tindakan betul boleh menyelamatkan nyawa
Sekiranya anda atau keluarga anda digigit oleh haiwan seperti anjing, pastikan anda mencuci bahagian yang digigit dengan sabun dan air yang mengalir. Ini perlu dilakukan dengan segera bagi menghilangkan kesan air liur haiwan tersebut.
Kemudian, dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital dengan segera jika gigitan tersebut berpunca daripada anjing atau kucing peliharaan yang agresif ataupun anjing liar.
Kes kematian yang terjadi disebabkan Rabies biasanya berlaku kerana individu tidak melakukan langkah yang betul selepas digigit jadi virus tersebut boleh merebak dengan cepat ke seluruh tubuh. Jadi, setiap perlakuan selepas digigit itu adalah sangat penting dan kritikal.
Pastikan anda melaporkan kes tersebut kepada Pihak Berkuasa Tempatan juga agar mereka boleh mengambil tindakan selanjutkan. Ini adalah penting untuk mengelakkan terjadinya kes sebegitu lagi pada masa hadapan. Mereka juga akan mengesan haiwan-haiwan yang berpotensi membawa virus tersebut untuk diambil tindakan selanjutnya.
TUNTASNYA,
Jauhkan diri anda daripada haiwan yang dilihat agresif termasuklah haiwan peliharaan anda sendiri. Selain itu, jangan ambil remeh akan luka disebabkan gigitan haiwan kerana kita tidak tahu apa yang boleh terjadi selepas itu. Lakukan tindakan yang betul untuk membantu diri dan keluarga anda secepatnya.
SUMBER