Apakah darah nifas dan darah nifas berapa hari yang dianggap normal? Jom baca dan fahami dengan lebih mendalam mengenai darah nifas. Darah nifas dari segi etimologi ialah darah yang keluar dari rahim wanita sesudah bersalin.
Nifas dari segi bahasa berasal daripada perkataan “na fi sa” yang bermaksud melahirkan. Darah yang keluar selepas bersalin, sama ada keguguran atau normal, maka itu adalah darah nifas, setelah dipastikan oleh pakar perubatan.
Berapa Lama Tempoh Keluarnya Darah Nifas
Darah nifas berapa hari yang dianggap normal? Tempoh darah nifas ini lebih panjang berbanding darah haid. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لحظة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafie, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit (istihadah) dan wajib bagi wanita tersebut mandi dan mengerjakan ibadat seperti biasa.
Justeru, jika sudah dipastikan oleh pakar perubatan bahawa darah yang keluar itu adalah janin, maka boleh dipegang bahawa darah yang keluar itu adalah `alaqah yang mewajibkan mandi, dan darah yang keluar selepas itu sehingga 60 hari adalah darah nifas yang mengharamkan ke atas wanita apa-apa yang diharamkan ke atas wanita berhaid seperti solat dan puasa.
Bagaimana jika kelahiran melalui pembedahan?
Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan itu, darah itu adalah darah nifas. Jika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci. Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui jalan biasa atau dengan pembedahan.
Ciri-ciri warna darah nifas yang normal
Tanda darah nifas yang normal adalah seperti berikut:
- Darah nifas kebiasaannya berwarna merah terang yang disertai dengan gumpalan darah selama beberapa hari selepas melahirkan bayi.
- Anda mungkin mengalami pendarahan nifas lebih banyak ketika aktif bergerak, maka lebih baik sekiranya anda berehat.
- Darah nifas keluar lebih banyak semasa anda berdiri kerana ia terkumpul di sekitar area vagina semasa duduk atau berbaring.
- Selepas 10 hari, darah nifas akan lebih sedikit dan mengalami pendarahan ringan atau bercak darah hingga enam minggu selepas bersalin.
- Anda perlu menggantikan tuala wanita setiap waktu supaya terhindar daripada infeksi.
Ciri-ciri warna darah nifas yang tidak normal
Pendarahan yang banyak selepas melahirkan boleh terjadi pada 5 peratus wanita selepas bersalin dan biasanya terjadi 24 jam setelah melahirkan. Selain itu, ia boleh juga terjadi dalam masa 12 minggu pertama setelah bayi dilahirkan.
Pendarahan yang serius boleh menyebabkan tekanan darah menurun sekali gus organ tidak mendapat bekalan darah yang cukup. Malah ia juga boleh menyebabkan kematian. Maka bantuan perubatan harus disegerakan.
Berikut ciri darah nifas yang tidak normal:
- Pendarahan merah terang pada hari ketiga selepas bersalin.
- Gumpalan darah lebih besar.
- Darah terlalu banyak hingga terpaksa menukar tuala wanita dengan lebih kerap.
- Penglihatan kabur.
- Panas dingin.
- Degupan jantung laju.
- Badan jadi lemah.
- Mual dan pening kepala.
Tanda-tanda pendarahan yang membimbangkan adalah seperti berikut:
- Pendarahan yang memenuhi tuala wanita pada setiap jam
- pendarahan yang berserta dengan kesakitan yang teruk
- demam tiba-tiba
- pendarahan secara berterusan lebih dari tujuh hari
Hubungi doktor anda jika anda mengalami tanda-tanda ini atau sebarang tanda lain yang membimbangkan. Semoga bermanfaat!
SUMBER:
https://www.doctoroncall.com.my/soalan/darah-nifas
https://fiqh-am.blogspot.com/2009/06/darah-nifas.html
https://www.xtra.com.my/sihat/darah-nifas-tidak-normal-apakah-simptomnya/