Now Reading
Ketahui Kisah Rabiatul Adawiyah

Ketahui Kisah Rabiatul Adawiyah

rabiatul adawiyah

Rabiatul Adawiyah, nama ini tidak asing lagi buat umat Islam. Umumnya, umat Islam di seluruh dunia tahu akan kisah dan sejarah Rabiatul Adawiyah, hamba Allah yang mempunyai sifat-sifat yang terpuji dalam dirinya.

Rabiatul Adawiyah atau nama sebenar beliau Umm Al-khair binti Ismail al-Adawiyah telah tergolong dalam senarai wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Beliau dilahirkan sekitar tahun 99 Hijrah / 717 Masihi di Iraq. Beliau wafat di kota yang sama beliau dilahirkan.

Beliau adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangan harus dicontohi oleh wanita islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya di memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.

Rabia’tul Al-Adawiyyah Seorang Yang Sabar Dan Redha

Semenjak kecil lagi, beliau hidup dalam kesempitan hidup. Bagi menampung hidup, beliau sering membantu ayahnya mendayung sampan yang membawa penduduk menyeberangi Sungai Dajlah. Kesusahan hidupnya semakin bertambah apabila sampan milik ayahnya dirampas penguasa dan Rabi’atul dijual menjadi hamba kepada raja.

Rabiatul Adawiyah Wajar Jadi Aspirasi Muslimah

Kebijaksanaan beliau jelas terserlah sejak dari kecil lagi. Beliau telah berjaya menghafal Al-Quran ketika menjangkau usia 10 tahun meskipun kehidupannya sama seperti kanak-kanak lain yang selalu bermain. Sewaktu usia kecilnya, beliau sering  dibawa oleh bapanya untuk beribadat dan bermunajat di masjid.

Kehidupan beliau semakin susah dan bertambah sempit setelah kematian kedua-dua ibu bapanya. Ketiga-tiga orang kakaknya juga meninggal dunia akibat kelaparan yang melanda. Setelah itu, beliau telah dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam dan dijual sebagai hamba kepada seorang majikan yang sangat bengis.

Pada usia yang sangat muda, beliau telah dikerah tenaganya untuk melakukan kerja-kerja yang diperintahkan oleh tuannya. Namun, beliau tidak pernah lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT pada sebelah malamnya.

Pada suatu malam ketika beliau sedang berdoa kepada Allah SWT, majikannya telah melihat tanda kebesaran rohani beliau. Majikannya ternampak satu cahaya menghampiri kepala Rabiatul Adawiyah. Melihat kejadian itu majikannya menjadi takut dan telah memerdekakakn Rabiatul Adawiyah pada keesokan harinya.

Selepas dimerdekakan, beliau telah pergi ke tempat-tempat yang sunyi untuk beribadah kepada Allah SWT. Setelah sampai di sebuah pondok berdekatan Kota Basra, beliau hidup seperti bertapa. Ketika itu beliau hanya memiliki segulung tikar, sebuah kendi yang diperbuat daripada tanah dan seketul batu bata.

Setiap kali Rabiatul Adawiyah r.a mengajar anak muridnya, kata-kata nasihat acapkali diberikan. Antara kata-kata nasihat yang diberikan oleh beliau adalah agar tidak menunjukkan perbuatan baik  kepada sesiapa pun, malahan mereka diharuskan untuk  menutup  perbuatan baik itu sebagaimana mereka menutup perbuatan jahat mereka.

Kesufian Rabiatul Adawiyah

Rabiatul Adawiyah merupakan orang pertama yang mengalunkan irama cintai Ilahi. Hal ini kerana generasi sebelumnya merintis aliran Islam berdasarkan rasa takut (khauf) dan pengharapan (raja’) kepada Allah (zuhud) seperti yang diajarkan oleh Hasan al-Basri.

Manakala, beliau mempelopori rasa tulus ikhlas serta cinta kepada Allah swt. Sikap dan pandangan beliau tentang cinta dapat difahami dari kata-katanya, baik yang langsung mahupun yang disandarkan kepadanya. Beliau memperkayakan penulisan Islam dengan kisah-kisah pengalaman sufinya dalam sajak-sajak yang tinggi nilai bahasanya.

Rabiatul Adawiyah juga mempopularkan konsep Mahabbah dalam kalangan ahli sufi, Konsep ini dibahagikan kepada berikut:

  • Memeluk kepatuhan kepada Allah dan membenci sikap melawannya.
  • Menyerahkan seluruh diri kepada yang dikasihi
  • Mengosongkan hati dari segala-galanya kecuali yang dikasihi

Sifat Rabiatul Adawiyah R.A Yang Boleh Diteladani Oleh Kaum Hawa

  • Sentiasa bersyukur kepada Allah SWT
  • Membiasakan bertaubat kepada Allah SWT
  • Berserah diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya
  • Bersikap Zuhud, iaitu lebih cintakan akhirat (tidak pentingkan kekayaan dunia)

Kesimpulannya, kita sebagai manusia biasa yang penuh kelemahan, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Namun, pengajaran yang besar dari kisah Rabiatul Adawiyah adalah perlunya kita untuk sentiasa bertaubat dan mencari keredaan Allah SWT dengan penuh kesungguhan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayayang akan hamba-hambaNya.

SUMBER

http://sesuci-jiwa.blogspot.com/2011/05/kisah-rabiatul-adawiyah.html

https://today.salamweb.com/ms/rabiatul-adawiyah-wajar-jadi-aspirasi-muslimah/

https://bidadari.my/rabiatul-adawiyah/

https://tzkrh.com/10-sifat-rabiatul-al-adawiyah-untuk-diteladani/

error: Content is protected !!