Now Reading
Keunikan Labu, Lihat Cara Masyarakat Dunia Menikmatinya

Keunikan Labu, Lihat Cara Masyarakat Dunia Menikmatinya

Labu

Tak sangka yang labu sebenarnya boleh digunakan untuk pelbagai hidangan menarik seperti yang dimasak masyarakat dunia.

Di Malaysia umpamanya, ia sangat popular sebagai bahan utama dalam masakan gulai sebagai hidangan lauk-pauk orang Melayu. Isinya yang empuk dan manis berserat itu sememangnya membuatkan ramai jatuh hati, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menggemari masakan kampung.

Namun, pernah tak kamu terfikir akan bagaimana masyarakat dunia memasak serta menikmati hidangan labu secara khusus? Maklum sahajalah, lain negera lain seleranya.

Kalau berkenan hendak tahu dan menambah ilmu am kamu tentang masakan, ayuh Ceria Sihat senaraikan 10 cara unik masyarakat dunia memakan hidangan labu.

  • China: Kek Labu Goreng

Hidangan manisan yang bersaiz kecil ini memiliki rasa unggul yang dipamerkan menerusi gabungan labu bersama tepung beras pulut.

Lazimnya ia berisi inti pes kacang merah atau gula perang dan sering dihidangkan semasa sambutan Pertengahan Musim Luruh di China.

  • Armenia: Ghapama

Jangan terkejut! Di Armenia, kelongsong buah gergasi yang bijinya sudah dikorek keluar akan digunakan sebagai periuk bagi memasak sejenis hidangan nasi yang dipanggil “Ghapama”.

Kelongsong diisi dengan nasi yang sudah separa masak, kemudian ditambah dengan taburan buah-buahan kering, kekacang, dan madu.

Ia dibakar sehingga isi labu lembut, sebelum dipotong dan dinikmati lazimnya pada hari keraian serta perayaan istimewa.

  • Guyana, Amerika Selatan: Labu Lenyek Bersama Udang

Meski ia kedengaran agak pelik, ini adalah hidangan normal bagi masyarakat Guyana. Buah gergasi berkenaan akan dipotong kecil sebelum digoreng bersama bawang merah, bawang putih, cili dan udang putih sehingga benar-benar empuk.

Kemudian, dilenyek hancur sehinggalah memiliki konsistensi pes. Hidangan unik ini kebiasaannya akan dimakan bersama roti.

  • Korea Selatan: Bubur Labu Pekat (Hobakjuk)

Sering dihidang untuk sarapan atau sebagai pencuci mulut, bubur labu pekat atau lebih dikenali dengan panggilan “Hobakjuk” asal Korea Selatan ini sering dinikmati masyarakatnya ketika musim sejuk yang dimakan bersama ketulan kek beras kenyal dan taburan bijan hitam.

  • Rusia: Lempeng Labu

Lempeng yang sering dinikmati masyarakat Rusia dipanggil “Olad’yi” ini adalah versi lempeng atau penkek bersaiz mini berasaskan labu sebagai bahan utama.

Bancuhan tepung lempeng ini diperbuat menggunakan campuran sejenis susu peram (Kefier) dan puri labu. Dimasak sehingga naik gebu.

  • India: Kaddu Ka Halwa

Manisan asal India ini adalah gabungan labu parut yang digoreng dengan minyak sapi bersama campuran badan, gajus dan pistachio. Gula dan susu kepal (Khoya) turut dimasak bersama. Ianya merupakan menu manisan istimewa yang sering dihidang semasa musim perayaan Diwali.

  • Thailand: Kastard Labu

Campuran kastard adalah terdiri daripada santan dan gula melaka yang dituang ke dalam kelongsong labu.

Ia kemudian akan dikukus sehinggalah campuran kastard masak sebelum dipotong dan dinikmati seperti puding.

  • Afrika Selatan: Cucur Labu

Merupakan hidangan kuih manis yang berupa cucur. Labu yang ranum akan dilenyek halus sebelum dicampur bersama serbuk kayu manis, tepung dan serbuk buah pala. Kemudian, ia akan digoreng dalam minyak penuh sehingga garing.

  • Jepun: Labu Celur (Kabocha)

Kabocha adalah sejenis labu yang digemari orang Jepun. Akan dipotong kecil dan dicelur bersama campuran kicap Jepun, sake dan stok ikan (dashi). Hidangan ini akan menjadi luar biasa apabila turut ditabur dengan hirisan halia.

  • Brazil: Stew Udang Berkeju (Camarao Na Moranga)

Hidangan stew udang asal Brazil ini dihidangkan di dalam kelongsong labu. Stew udang akan dimasak berasingan terlebih dahulu sebelum ia dituang masuk ke dalam kelongsong yang sudah disapu dengan sejenis keju dipanggil “Catupiry”.

Menarik bukan?

Pokoknya, jika kamu suka mengembara, memang seronok mempelajari budaya masyarakat dunia selain berpeluang merasa sendiri aneka makanan mereka. Ini mungkin antara pengalaman yang paling berharga untuk tidak dilepaskan seandainya kamu itu adalah kaki melancong yang tegar.

Ada yang manis, pedas, tetapi menurut kamu, hidangan mana yang kamu paling teringin hendak cuba? Kongsikan pendpat kamu bersama kami menerusi bahagian komen dibawah okay?!

SUMBER

https://www.insider.com/how-pumpkin-dishes-are-eaten-around-the-world-2019-10

https://www.chowhound.com/food-news/209204/international-pumpkin-recipe-ideas/

error: Content is protected !!