Ikan patin merupakan antara hidangan ikan penuh khasiat yang digemari ramai. Dengan isinya yang lembut dan kenyal, ia pastinya menarik perhatian anda terutamanya jika anda memang menggemari hidangan berasaskan ikan. Biasanya, ia boleh dijumpai di kawasan sungai dan lombong tetapi ada juga yang dipelihara dalam kolam ikan tersendiri.
Dengan kandungan yang menyihatkan, jadi tidak hairanlah mengapa ikan ini sememangnya menempa nama dalam masyarakat kita. Jadi, jom kita lihat khasiat ikan ini seperti di bawah.
1. Kaya dengan nutrisi yang baik buat badan
Jika dibuat perbandingan antara ikan ini dengan jenis ikan lain, ikan ini sememangnya adalah antara ikan berkhasiat kerana kandungan nutrisinya yang banyak. Ia bukan sahaja mempunyai kandungan lemak yang rendah, malah juga mengandungi kandungan omega-3 seperti yang biasa ditemui bagi ikan laut seperti ikan salmon, tuna dan sardin. Jika dibandingkan harganya dengan ikan-ikan laut sebegitu, ikan patin pastinya jauh lebih murah.
2. Mencegah penyakit kardiovaskular
Dengan kandungan lemak tidak tepu yang tinggi dalam ikan patin, ia membantu individu untuk mencegah penyakit yang berkaitan dengan sistem kardiovaskular kita seperti penyakit jantung, kegagalan jantung dan lain-lain lagi.
3. Mengurangkan kadar kolesterol
Ikan patin adalah sejenis ikan dengan kadar kolesterol yang rendah. Jadi, ianya adalah sangat baik bagi mereka dengan masalah kolesterol tinggi serta sedang melakukan diet tertentu yang mengehadkan pengambilan kolesterol.
4. Membantu dalam pertumbuhan janin
Biasanya, ibu hamil digalakkan untuk mengambil ikan ini kerana manfaatnya kepada janin. Ia dikatakan sangat baik kerana mengandungi DHA serta omega 3 yang berfungsi untuk:
- Mengekalkan kesihatan janin dalam rahim
- Mengekalkan pertumbuhan janin pada kadar normal
- Meningkatkan kesihatan janin
- Membantu pertumbuhan otot
Bagi kandungan protein di dalamnya pula, ia membantu:
- Meningkatkan jisim otot
- Menguatkan otot
- Meningkatkan kekuatan badan
- Meningkatkan imuniti
5. Menjaga kesihatan tulang
Kandungan kalsium dan phosphorus dalam ikan patin boleh membantu meningkatkan dan menguatkan kesihatan tulang anda. Ini adalah sangat bagus diambil bagi individu yang mungkin mengalami masalah tulang rapuh serta dapat mencegah terjadinya osteoporisis bagi golongan berisiko.
6. Meningkatkan metabolisme badan
Ikan ini dipercayai boleh meningkatkan metabolisme badan kerana kandungan vitamin dan mineral yang tinggi di dalamnya. Ia banyak disyorkan oleh pakar perubatan terutama bagi mereka yang telah menjalani pembedahan kerana dikatakan membantu mempercepat proses penyembuhan gara-gara peningkatan metabolisme yang berlaku. Ianya amat penting untuk memastikan sistem metabolisme badan dalam keadaan baik kerana ia boleh mempengaruh proses penyembuhan individu setelah dibedah.
Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://travelingyuk.com/tempoyak-ikan-patin/198249/
SUMBER
https://steemit.com/jjangjjangman/@mhdrijal-74/benefits-and-advantages-of-patin-fish?sort=votes
https://www.sehatq.com/artikel/manfaat-ikan-patin-untuk-kesehatan
https://doktersehat.com/ikan-patin-turunkan-kolesterol/