Now Reading
Khasiat Ulam Raja dan Kegunaannya!

Khasiat Ulam Raja dan Kegunaannya!

khasiat ulam raja dan kegunaannya

Pengambilan ulam bersama sambal belacan dan lauk lain mahupun dimakan begitu sahaja sudah menjadi satu kebiasaan sejak dahulu lagi terutama bagi masyarakat Melayu dan Jawa. Namun, ia juga disukai oleh kaum masyarakat lain kerana khasiat yang ditawarkan bagi kesihatan badan kita. Bagi individu yang kurang gemar makan sayur, ulam seperti pegaga, daun selom dan ulam raja mungkin adalah sedikit pahit buat mereka.

Seterusnya, ulam juga mempunyai pelbagai jenis dalam kalangan mereka juga. Menurut laman web UKM, terdapat lebih 120 ulam-ulaman tradisional di Malaysia yang merangkumi ulam-ulaman kecil yang tumbuh di pokok-pokok renek sehinggalah ke pokok lebih besar seperti petai dan jering.

Dalam artikel ini, kita akan memfokuskan pada ulam raja yang juga disebut ‘king salad’. Malah, ulam raja atau nama saintifiknya iaitu Cosmos Caudatus sebenarnya tergolong dalam jenis kosmos iaitu tumbuhan yang ditanam sebagai pokok hiasan kerana mempunyai bunga yang berwarna-warni.

Apakah khasiat ulam raja?

Sama seperti ulam-ulaman lain, ia juga sangat bermanfaat bagi tubuh kita selain dapat melancarkan peredaran darah, ia juga mampu menguatkan tulang dan menyingkirkan toksik dalam badan.

Jom lihat khasiatnya yang lain.

1. Membantu tingkatkan kandungan oksigen dalam darah

Penambahan ini dapat melancarkan peredaran darah dan memberi kesegaran pada seluruh tubuh. Jadi, secara ringkasnya, ia membantu anda menjadi lebih bertenaga tanpa sebarang kalori tersembunyi.

2. Mengatasi bau mulut

Mempunyai bau mulut pastinya satu hal yang memalukan dan tidak menyelesakan bagi anda serta pihak satu lagi.  Namun, masalah tersebut dikatakan dapat dikawal dan diatasi dengan mengunyah ulam raja. Aroma yang dimiliki oleh ulam raja dapat memberikan sensasi segar di mulut seperti daun pudina yang sering digunakan dalam gula-gula atau secara begitu sahaja.

3. Menghaluskan kulit

Kandungan dalam ulam raja dikatakan mampu mengekalkan kulit yang halus dan memberikan kesan awet muda kepada individu. Dengan kandungan vitamin E dan vitamin C yang ada padanya, ia sangatlah sesuai diambil bagi mereka yang ingin mendapatkan kesan kecantikan sebegini secara semulajadi serta tanpa penggunaan produk yang tidak diketahui keberkesanannya.

4. Menyekat aktiviti bakteria dalam badan

Bahan kimia yang terdapat dalam daun ulam raja mengandungi costunolide, stigmasterol, lutein dan bipyridine untuk menghalang aktiviti bakteria atau fungi seperti candida albicans, baciilus subtilis dan E.coli. Elakkan mencelurnya terlalu lama kerana ini boleh mengurangkan atau menghilangkan khasiatnya. Sebaiknya, ambil ulam raja secara mentah sahaja.

5. Mengatasi masalah alahan kulit dan dermatitis

Alahan boleh menyebabkan ruam merah pada kulit kita serta boleh menjadi sangat menjengkelkan terutama ketika jika ia sangat menggatalkan. Jadi, bagi mereka yang memiliki alergi kepada bahan tertentu, ataupun bekas luka yang susah hilang, cuba gosokkannya ke bahagian terjejas. Ia mungkin dapat membantu mengurangkan atau menghilangkan kesan pada kulit tersebut.

Cara Menggunakan Ulam Raja

Selain boleh dimakan secara mentah atau dicelur dalam air panas buat seketika, ulam ini juga boleh ditumbuk hingga menjadi pes untuk membantu merawat masalah tertentu.

Sebagai contoh, ia boleh ditumbuk dan dicampurkan bersama beberapa titik minyak kelapa dan digunakan sebagai ‘masker’ bagi tujuan kecantikan. Ia harus dilakukan sekerap mungkin untuk mendapatkan kesan yang efektif. Namun, jika anda melihat sebarang tanda alahan di kulit, berhenti serta merta dan dapatkan rawatan daripada pakar kulit. Jangan teruskannya lagi kerana ia mungkin mengganggu ketahanan kulit anda.

Di samping itu, jika anda lebih menyukainya sebagai makanan sampingan, cicahkannya bersama sambal belacan, budu, cencaluk, tempoyak dan sos lain mengikut selera anda. Ia pastinya sangat sesuai dimakan bersama nasi putih dan lauk lain.

SUMBER

https://kosass.upm.edu.my/artikel/ulam_raja-47843

https://www.ukm.my/monline/khasiat-ulam-ulaman.html

https://www.nona.my/ulam-raja-mahkota-segala-ulam-kalau-amalkan-selalu-boleh-sihat-luaran-dalaman-tau/

https://thepetridish.my/2018/11/02/spotlight-on-ulam-raja/

error: Content is protected !!