Komplikasi kelahiran dan bersalin boleh menjadi suatu perkara yang menakutkan. Namun begitu, doktor telah dilatih bagi menangani sebarang kecemasan yang boleh berlaku. Beberapa komplikasi yang biasa terjadi termasuklah kelahiran pramatang, kelahiran yang berlanjutan (prolonged labor), bayi songsang (bayi menghadap arah bertentangan), masalah tali pusat, preeclampsia dan banyak lagi.
Kadangkala dalam keadaan kecemasan, doktor akan melakukan prosedur ‘C-section’ kecemasan untuk membantu mengelakkan perkara buruk berlaku pada bayi. Justeru itu, anda perlu membincangkan sebarang kebimbangan dengan doktor anda.
Simptom Komplikasi Kelahiran dan Bersalin
Simptom kelahiran dan bersalin pramatang termasuk:
- Pengecutan sebelum minggu ke-37 kehamilan, dengan kesempitan dan pengerasan otot rahim selama 10 minit atau kurang (ini mungkin tidak menyakitkan).
- Kekejangan yang sama seperti kekejangan haid (tidak boleh dikelirukan dengan pengecutan Braxton Hicks, yang biasanya tidak berlaku pada masa yang tetap dan tidak membuka laluan serviks).
- Sakit belakang.
- Merasakan tekanan pada pelvis.
- Kekejangan abdomen, berangin atau cirit-birit; kombinasi dengan pengecutan yang mungkin menandakan kelahiran pramatang.
- Tekanan atau pendarahan pada vagina.
- Perubahan kualiti atau kuantiti pelepasan cecair daripada vagina, terutamanya sebarang semburan atau kebocoran bendalir (fluid).
Komplikasi Kelahiran dan Bersalin
Kehamilan yang berjalan dengan lancar masih mempunyai kemungkinan berlakunya sebarang masalah atau komplikasi kelahiran apabila tiba masanya untuk melahirkan bayi. Doktor dan hospital anda akan bersedia untuk mengendalikan kes sebegini. Berikut adalah beberapa kebimbangan yang paling umum:
– Kelahiran dan bersalin secara pramatang
Salah satu bahaya yang paling besar adalah sekiranya bayi dilahirkan terlalu awal, sebelum tubuhnya cukup dewasa untuk bertahan di luar rahim. Paru-paru, misalnya, mungkin tidak dapat menghirup udara, atau badan bayi tidak dapat menghasilkan haba yang cukup untuk memanaskan badannya.
Kehamilan jangka panjang (full-term) berlangsung selama 40 minggu. Mengalami pengecutan sebelumminggu ke-37 kehamilan dipanggil sebagai kelahiran pramatang. Selain itu, bayi yang dilahirkan sebelum tempoh minggu itu dianggap sebagai bayi pramatang yang mempunyai risiko untuk menghadapi komplikasi pramatang, seperti paru-paru yang belum matang, susah bernafas dan masalah pencernaan.
– Kelahiran yang berlarutan dan tertahan
Sebilangan kecil wanita, kebanyakannya yang pertama kali menjadi ibu mungkin mempunyai kelahiran yang bertahan terlalu lama. Kedua-dua ibu dan bayi berisiko mendapat beberapa komplikasi, termasuklah jangkitan sekiranya kantung amniotik telah pecah buat masa yang lama dan bayi masih tidak dikeluarkan.
– Kedudukan bayi tidak normal
Ini merujuk kepada bahagian bayi yang akan muncul dahulu daripada rahim. Dalam beberapa minggu sebelum tarikh bersalin anda, janin biasanya jatuh lebih rendah di bahagian rahim. Kelahiran yang ideal adalah apabila bayi berada pada posisi kepala di bawah, menghadap belakang ibu, dengan dagu terselip di dada dan belakang kepala bersedia untuk memasuki pelvis. Dengan cara itu, bahagian kecil kepala bayi mampu melalui serviks hingga ke rahim. Kelahiran normal ini dipanggil vertex (head down) occiput anterior.
Memandangkan kepala adalah bahagian terbesar dan paling fleksibel pada bayi, ianya lebih baik sekiranya kepala yang keluar daripada rahim dahulu. Ini akan mengurangkan risiko kepala bayi akan tersangkut walaupun badan bayi telah melepasi rahim ibunya.
Sesetengah bayi pula keluar dengan punggung atau kaki mereka yang berada dalam posisi ke arah rahim. Ini dipanggil sebagai kelahiran songsang (breech presentation). Kelahiran sebegini sering dilihat semasa pemeriksaan ultrasound lama sebelum tarikh melahirkan, tetapi kebanyakan bayi akan beralih ke posisi kepala di bawah yang normal apabila semakin dekat dengan tarikh kelahiran yang sepatutnya.
Jenis kelahiran songsang (breech presentation) termasuk:
- ‘Frank breech’. Bagi jenis ini, punggung bayi akan mendahului keluar ke rahim; pinggul dibengkokkan, lutut dipanjangkan.
- ‘Complete breech’. Bagi jenis ini, kedua-dua lutut dan pinggul dibengkokkan, dan punggung atau kaki bayi boleh memasuki saluran kelahiran terlebih dahulu.
- ‘Incomplete breech’. Bagi jenis, satu atau kedua-dua kaki akan keluar terlebih dahulu.
‘Tranverse lie’ adalah satu lagi masalah kelahiran yang boleh berlaku. Beberapa bayi berbaring secara mendatar pada rahim dipanggil ‘tranverse lie’, yang biasanya bermaksud bahu bayi akan mendahului keluar rahim berbanding kepala.
Dalam ketidakseimbangan ‘cephalopelvic’, kepala bayi adalah terlalu besar untuk dimuatkan melalui pelvis ibu, sama ada kerana saiz atau kerana kedudukan bayi yang tidak sesuai. Kadangkala, bayi tidak menghadap ke belakang ibu, tetapi sebaliknya berpaling ke arah perutnya (occiput atau posterior cephalic). Ini boleh meningkatkan risiko berlakunya kelahiran dalam tempoh yang lama dan menyakitkan. Ia juga sering disebut sebagai ‘kelahiran pintu belakang (back labor)’ atau koyakan rahim.
Dalam kelahiran yang salah, bayi itu tidak berada atau diletakkan secara normal. Bagi keadaan sebegini, kepala bayi berada pada posisi yang salah, iaitu dengan dahi, bahagian atas kepala atau muka yang memasuki rahim berbanding belakang kepalanya. Kadangkala, plasenta previa (apabila plasenta menghalang serviks) boleh menyebabkan kelahiran yang tidak normal. Namun begitu, kebanyakan punca bagi keadaan ini masih tidak diketahui.
Seterusnya, kelahiran yang tidak normal meningkatkan risiko wanita berlakunya kecederaan saluran kelahiran atau rahim serta kelahiran tidak normal. Bayi yang lahir dengan cara ini lebih berisiko mengalami kecederaan dan tersangkut tali pusat yang memotong bekalan darah bayi. ‘Tranverse lie’ adalah kelahiran tidak normal yang paling serius, dan ia boleh membawa kepada kecederaan rahim, serta kecederaan pada janin.
Doktor anda akan menentukan kelahiran dan kedudukan janin melalui ujian fizikal. Kadangkala, kaedah sonogram membantu menentukan kedudukan janin. Apabila bayi berada dalam posisi songsang (breech) sebelum enam hingga lapan minggu kehamilan, kemungkinan besar bayi akan berubah kedudukannya sebelum waktu kelahiran. Namun begitu, bagi bayi yang lebih besar dan semakin dekat dengan tarikh kelahiran, semakin kurang ruang di uterus bagi bayi itu mengubah kedudukannya.
Di samping itu, doktor menganggarkan bahawa kira-kira 90% janin yang dalam posisi songsang sebelumminggu ke-28 akan berubah posisi semasa minggu ke-37, manakala lebih daripada 90% bayi yang dalam posisi songsang selepas minggu ke-37 berkemungkinan besar akan kekal seperti itu.
Diagnosis dan Rawatan Komplikasi Kelahiran dan Bersalin
– Kelahiran berlarutan
Kelahiran berlarutan merujuk kepada pembesaran serviks yang tidak normal atau penurunan janin yang tidak normal. Ini bermakna kelahiran tidak berlaku secepat seperti sepatutnya.
Ini boleh terjadi pada bayi yang besar, bayi dalam posisi songsang (punggung bawah), kelahiran yang tidak normal atau sekiranya rahim tidak cukup kuat. Selalunya, tiada punca khusus mengapa kelahiran berlarutan ini berlaku.
Jika kelahiran berlanjutan dengan terlalu lama, doktor mungkin memberikan cecair IV untuk menghalang anda daripada menjadi kering. Jika rahim tidak cukup mengecut, doktor boleh memberikan anda oxytocin, ubat yang menggalakkan kontraksi dengan lebih kuat. Selain itu, sekiranya serviks berhenti berkembang walaupun kontraksi rahim yang kuat, prosedur ‘C-section’ mungkin diperlukan.
– Kelahiran tidak normal
Menjelang tempoh akhir trimester ketiga anda, doktor akan menyemak keadaan dan kedudukan bayi dengan menyentuh perut anda atau menggunakan ultrabunyi (ultrasound). Sekiranya janin dalam posisi songsang (breech) beberapa minggu sebelum tarikh kelahiran, doktor akan cuba “mengubah” kedudukan bayi ke kedudukan yang betul dalam prosedur yang dipanggil “versi luaran”.
Satu cara untuk mengubah kedudukan bayi selepas minggu ke-36 adalah versi ‘cephalic’ luaran yang melibatkan doktor secara manual memutar bayi dengan meletakkan tangannya pada perut ibu dan mengubah kedudukan bayi. Kaedah ini berhasil kira-kira hampir 50% hingga 60% dan biasanya lebih berjaya bagi wanita yang pernah melahirkan sebelum ini kerana uterus mereka meregang dengan lebih mudah. Prosedur ini biasanya dilakukan di hospital, sekiranya prosedur ‘C-section’ kecemasan diperlukan. Bagi membuatkan prosedur lebih mudah untuk dilakukan, lebih selamat untuk bayi dan lebih baik buat bakal ibu, doktor kadangkala akan memberikan penenang otot rahim dan kemudian menggunakan ultrabunyi (ultrasound) dan monitor janin elektronik sebagai panduan.
Jika percubaan pertama gagal, mengubah posisi bayi boleh dicuba lagi dengan ubat sakit epidural untuk membantu menenangkan otot-otot rahim. Memandangkan tidak semua doktor telah dilatih untuk melakukan prosedur ini, anda mungkin akan dirujuk kepada pakar obstetrik lain. Terdapat risiko yang sangat kecil bahawa ’manuver’ boleh menyebabkan tali pusat bayi menjadi terikat atau plasenta terpisah dari rahim.
Terdapat juga peluang (kira-kira 4%) bahawa bayi mungkin kembali ke posisi songsang sebelum bersalin, jadi sesetengah doktor akan mempercepatkan kelahiran dengan segera. Semakin dekat tarikh kelahiran anda, semakin rendah risiko bayi akan kembali ke posisi songsang. Namun, bagi bayi yang lebih besar, semakin sukar untuknya berubah posisi.
Prosedur ini boleh menjadi tidak selesa untuk ibu, tetapi jika ia berjaya, ia boleh mengelakkan prosedur ‘C-section’ yang perlu dilakukan jika bayi tidak dapat dipindahkan ke kedudukan yang tepat.
– Pecahan membran yang pramatang
Sekiranya bayi itu cukup matang untuk dilahirkan, doktor anda akan mempercepatkan kelahiran atau melakukan prosedur ‘C-section’ jika perlu. Namun, jika bayi tidak cukup matang, anda mungkin diberi antibiotik untuk mencegah jangkitan serta ubat-ubatan lain bagi mencegah atau memperlahankan berlakunya masalah ini.
– Prolaps tali pusat
Prolaps tali pusat lebih kerap berlaku apabila bayi kecil, pramatang, dalam kedudukan songsang, atau jika kepalanya belum memasuki pelvis ibu. Ia juga boleh berlaku jika kantung amniotik pecah sebelum bayi berpindah ke kedudukan pada pelvis.
Keadaan ini dikira sebagai satu kecemasan. Sekiranya anda tidak berada di hospital apabila ia berlaku, hubungi ambulans untuk membawa anda ke sana. Pastikan tangan dan lutut di lantai, dengan dada di lantai dan punggung anda dinaikkan sehingga bantuan tiba. Dalam kedudukan ini, graviti akan membantu menjaga bayi dari menekan tali dan memotong bekalan darah dan oksigennya. Sebaik sahaja anda sampai ke hospital, prosedur ‘C-section’ akan dilakukan.
– Mampatan tali pusat
Mampatan tali pusat boleh berlaku jika tali itu terjerut pada leher bayi atau anggota badan, tali ditekan di antara kepala bayi dan tulang pinggul ibu. Anda mungkin diberikan oksigen untuk meningkatkan kadar oksigen untuk bayi anda. Doktor mungkin sibuk sepanjang kelahiran dengan menggunakan bantuan ‘forceps’ atau vakum, atau dalam beberapa kes, melahirkan bayi melalui prosedur ‘C-section’.
SUMBER
https://www.healthline.com/health/pregnancy/delivery-complications
https://www.medicalnewstoday.com/articles/307462
https://www.webmd.com/baby/understanding-labor-delivery-complications-basics