Komplikasi penyakit jantung boleh mempengaruhi jantung anda. Antara komplikasinya termasuklah penyakit saluran darah, seperti penyakit arteri koronari, masalah irama jantung (arrhythmias) dan kecacatan jantung sejak lahir (kecacatan jantung kongenital), serta banyak lagi.
Setiap komponen ini memainkan peranan penting dalam kesihatan jantung seseorang. Apabila seseorang mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit jantung, ianya penting untuk membuat perubahan gaya hidup bagi melambatkan perkembangan penyakit-penyakit ini. Penyakit jantung boleh menyebabkan banyak komplikasi yang berpotensi membawa maut jika ia tidak dirawat.
Mari kita lihat komplikasi penyakit jantung apa yang boleh berlaku dengan pelbagai jenis penyakit jantung seperti di bawah.
1. Penyakit atherosclerotic (Atherosclerosis)
Atherosclerosis berlaku apabila saluran darah yang membawa oksigen dan nutrien dari jantung ke seluruh badan (arteri) menjadi tebal dan kaku. Kadangkala, ia menyekat aliran darah ke organ dan tisu anda. Arteri yang sihat adalah fleksibel dan elastik, tetapi dinding di arteri anda juga dapat mengeras dan disebut pengerasan arteri.
Komplikasi atherosclerosis bergantung pada arteri mana yang tersekat. Sebagai contoh:
- Penyakit arteri koronari. Apabila atherosclerosis menyempitkan arteri berdekatan dengan jantung anda, anda mungkin menghidap penyakit arteri koronari, yang boleh menyebabkan sakit dada (angina), serangan jantung atau kegagalan jantung.
- Penyakit arteri karotid. Apabila atherosclerosis menyempitkan arteri berdekatan dengan otak anda, anda mungkin menghidap penyakit arteri karotid, yang boleh menyebabkan serangan iskemia sementara (TIA) atau strok.
- Penyakit arteri periferal. Apabila atherosclerosis menyempitkan arteri di lengan atau kaki anda, anda mungkin mengalami masalah peredaran pada lengan dan kaki yang disebut penyakit arteri periferal. Ini boleh menjadikan anda kurang sensitif terhadap rasa panas dan sejuk, meningkatkan risiko anda mengalami kulit terbakar atau ‘frostbite’. Dalam kes yang jarang berlaku, peredaran yang lemah di lengan atau kaki boleh menyebabkan kematian tisu (gangren).
- Aneurisma. Atherosclerosisjuga juga boleh menyebabkan aneurisma, komplikasi serius yang boleh berlaku di mana-mana sahaja dalam badan anda. Ia adalah bonjolan di dinding arteri anda. Sebilangan besar individu dengan aneurisma tidak mempunyai gejala. Namun, kesakitan dan rasa berdenyut di kawasan aneurisma mungkin berlaku dan merupakan keadaan kecemasan perubatan.
- Penyakit buah pinggang kronik. Atherosclerosis boleh menyebabkan arteri yang menuju ke buah pinggang menjadi sempit, sehinggakan darah beroksigen tidak sampai ke sana. Lama kelamaan, ini boleh menjejaskan fungsi ginjal anda, mengelakkan kekotoran keluar dari badan anda.
2. Heart arrhythmias
Arrhythmia adalah masalah dengan kadar atau irama degupan jantung. Dengan keadaan ini, jantung anda boleh berdegup kencang, terlalu perlahan, atau dengan irama yang tidak teratur. Apabila jantung berdegup kencang, keadaan ini disebut tachycardia. Apabila jantung berdegup perlahan, keadaan ini disebut bradycardia.
Jika ia tidak dikesan atau tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi yang kadangkala mengancam nyawa kerana mempengaruhi jantung dan otak seperti:
- Kerosakan kognitif dan demensia. Penyakit Alzheimer dan demensia vaskular lebih kerap berlaku pada individu dengan masalah arrhythmias. Ini mungkin terjadi disebabkan pengurangan aliran darah ke otak dari masa ke masa.
- Kegagalan jantung. Arrhythmias berulang boleh menyebabkan penurunan kemampuan ruang bawah untuk mengepam darah dengan cepat. Kerosakan jantung kemungkinan besar akan berkembang atau bertambah buruk akibat keadaan ini apabila anda sudah menghidap penyakit jantung.
- Strok. Ini boleh berlaku pada beberapa pesakit yang mengalami fibrilasi atrium. Dengan arrhythmia, darah boleh berkumpul di atria dan menyebabkan pembekuan darah. Sekiranya gumpalan tersebut pecah dan bergerak ke otak, ia boleh menyebabkan strok.
- Serangan jantung secara tiba-tiba. Jantung boleh berhenti berdegup dengan tiba-tiba dan tanpa disangka akibat fibrilasi ventrikel.
- Sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS). SIDS boleh dikaitkan dengan gangguan konduksi keturunan yang menyebabkan arrhythmia.
- Arrhythmia yang semakin teruk. Beberapa kes arrhythmia boleh mencetuskan jenis arrhythmia lain atau bertambah buruk dari masa ke masa.
3. Kecacatan jantung kongenital
Kanak-kanak dan orang dewasa dengan penyakit jantung kongenital berisiko untuk menghadapi masalah lebih lanjut. Komplikasi penyakit jantung kongenital yang mungkin timbul bertahun-tahun setelah anda menerima rawatan termasuk:
- Denyutan jantung yang tidak teratur (arrhythmia). Arrhythmia berlaku apabila isyarat elektrik yang menyelaraskan degupan jantung anda tidak berfungsi dengan baik. Jantung anda mungkin berdegup kencang, terlalu perlahan atau tidak teratur. Pada sesetengah orang, arrhythmia yang teruk boleh menyebabkan strok atau kematian jantung secara tiba-tiba jika tidak dirawat. Tisu parut di jantung anda dari pembedahan sebelumnya juga boleh menyebabkan komplikasi ini.
- Jangkitan jantung (endokarditis). Endokarditis adalah jangkitan pada lapisan dalam jantung (endokardium). Ia biasanya berlaku apabila bakteria atau kuman lain memasuki aliran darah dan bergerak ke jantung anda. Jika ia tidak dirawat, endokarditis boleh merosakkan atau menghancurkan injap jantung atau mencetuskan strok. Sekiranya anda berisiko tinggi terhadap endokarditis, anda disarankan agar mengambil antibiotik satu jam sebelum pembersihan gigi. Pemeriksaan gigi secara berkala adalah penting kerana gusi dan gigi yang sihat boleh mengurangkan risiko bakteria memasuki aliran darah.
- Strok. Kecacatan jantung kongenital dapat menyebabkan gumpalan darah melalui jantung dan bergerak ke otak anda, di mana ia mengurangkan atau menyekat bekalan darah.
- Hipertensi paru. Ini adalah sejenis tekanan darah tinggi yang mempengaruhi arteri di paru-paru anda. Beberapa kecacatan jantung kongenital menghantar lebih banyak darah ke paru-paru, menyebabkan tekanan bertambah. Ini akhirnya menyebabkan otot jantung menjadi lemah dan kadangkala gagal.
- Kegagalan jantung. Kegagalan jantung (kegagalan jantung kongestif) bermaksud jantung tidak dapat mengepam darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan badan. Beberapa jenis penyakit jantung kongenital boleh menyebabkan kegagalan jantung.
- Masalah perkembangan. Ramai kanak-kanak dengan penyakit jantung kongenital yang lebih serius mengalami kelewatan perkembangan. Sebilangan kanak-kanak dengan penyakit jantung kongenital juga ada yang mengalami masalah pembelajaran. Ini dikatakan berlaku disebabkan bekalan oksigen yang buruk semasa awal kehidupan, dan justeru mempengaruhi perkembangan otak.
4. Kardiomiopati melebar (Dilated cardiomyopathy)
Kardiomiopati melebar (DCM) berlaku ketika ruang jantung membesar dan kehilangan keupayaan untuk melakukan kontraksi. Ia selalunya bermula di ruang bawah kiri (ventrikel). Apabila penyakit semakin teruk, ia boleh merebak ke ventrikel kanan dan ke ruang atas (atria).
Selain itu, DCM boleh menyebabkan komplikasi penyakit jantung tambahan seperti:
- Kegagalan jantung. Ini berlaku apabila jantung tidak berfungsi dengan berkesan dan ‘gagal’ mengepam darah yang cukup pada tekanan yang tepat untuk memenuhi keperluan tubuh. Ia menunjukkan sekumpulan gejala yang terjadi disebabkan jantung sedang berusaha untuk berfungsi dengan berkesan, seperti kenaikan berat badan (kerana pengekalan cairan), sesak nafas, batuk, edema, rasa berdebar-debar, pening dan letih.
- Sekatan jantung. Aktiviti elektrik yang mengawal degupan jantung diperlahankan atau dihentikan, dan menghentikan kontraksi jantung secara normal. Perentak jantung (pacemaker) mungkin diperlukan jika jantung tidak dapat mengikuti irama normal.
- Kematian jantung mendadak (SCD). Keadaan ini boleh berlaku kerana arrhythmia berbahaya, seperti fibrilasi ventrikel (VF), di mana penguncupan ventrikel tidak terkoordinasi, dan mereka seperti ditahan daripada berkontraksi secara normal. Ini menyebabkan darah tidak dapat dipam keluar dari jantung dengan berkesan. Walaupun ia agak jarang berlaku, jika VF tidak dikendalikan (menggunakan defibrillator untuk mengejutkan jantung kembali ke irama normal), ia boleh menyebabkan jantung berhenti (serangan jantung).
5. Endokarditis (Jangkitan injap jantung)
Komplikasi penyakit jantung mungkin timbul akibat kerosakan yang terjadi disebabkan jangkitan anda. Ini termasuklah irama jantung tidak normal, seperti fibrilasi atrium, pembekuan darah, kecederaan organ lain dan hiperbilirubinemia dengan penyakit kuning. Darah yang dijangkiti juga boleh menyebabkan emboli, atau gumpalan yang pergi ke bahagian lain badan anda.
Akibatnya, endokarditis boleh menyebabkan beberapa komplikasi besar, termasuk:
- Masalah jantung, seperti bunyi jantung tidak normal, kerosakan injap jantung dan kegagalan jantung
- Strok
- Kejang
- Kehilangan keupayaan untuk menggerakkan bahagian seluruh badan anda (lumpuh)
- Poket nanah terkumpul (abses) yang berkembang di jantung, otak, paru-paru dan organ lain
- Emboli pulmonari yang bergerak ke paru-paru dan menyekat arteri paru-paru
- Kerosakan buah pinggang
- Pembesaran limpa
6. Penyakit jantung valvular
Penyakit jantung valvular dicirikan oleh kerosakan atau kecacatan pada salah satu daripada empat injap jantung: mitral, aorta, tricuspid atau pulmonari. Selain itu, penyakit ini boleh menyebabkan banyak komplikasi, termasuk:
- Kegagalan jantung
- Strok
- Pembekuan darah
- Kelainan irama jantung
- Kematian
SUMBER
https://www.healthline.com/health/heart-disease/complications
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-disease/symptoms-causes/syc-20353118
https://www.nhlbi.nih.gov/health-topics/arrhythmia
https://www.nhs.uk/conditions/congenital-heart-disease/complications/
https://www.cedars-sinai.org/health-library/diseases-and-conditions/d/dilated-cardiomyopathy.html
https://www.cardiomyopathy.org/dilated-cardiomyopathy/intro
https://www.healthline.com/health/endocarditis#complications
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-valve-disease/symptoms-causes/syc-20353727