Kuih Koci adalah kuih tradisional yang berasal daripada masyarakat peranakkan. Ia diperbuat daripada tepung pulut dan berinti kelapa manis.
Umumnya, kuih yang berinti kelapa parut manis ini adalah diperbuat dariapda tepung beras pulut yang kemudian dibalut dengan hamparan daun pisang. Bukan sahaja enak, tetapi juga berbau harum dek kerana aroma yang hadir dariapda balutan daun pisang.
Umumnya bagi masyarakat peranakan, Kuih Koci memiliki simbol yang tersendiri iaitu, warna hitam pulutnya dianggap sebagai simbol kematian manakala rasa kemanisan pada inti kelapanya pula adalah merupakan simbol kebangkitan.
Sesuai benar dijadikan minum petang atau sebagai snek jamuan di majlis-majlis keramaian, ini resepi mudah cara membuat Kuih Koci dengan cuma menggunakan beberapa bahan ringkas sahaja. Mesti jadi punyalah!
Bahan-Bahan: –
- 120g Gula Melaka
- 150ml Air
- 30g Gula Putih
- 3 Helai Daun Pandan Segar
- 120g Kelapa Parut Segar
- 100g Tepung Beras Pulut (biasa)
- 150g Tepung Beras Pulut Hitam
- 250ml Santan
- Garam (secukupnya)
- 1 Sudu Tepung Gandum
- Minyak
- Daun Pisang
Cara-Cara: –
- Mula-mula, cairkan gula melaka dan gula putih di dalam periuk di atas api perlahan.
- Masukkan pula air serta pintalan 3 helai daun pandan segar tadi. Teruskan mengacau campuran gula tersebut agar ianya tidak menjadi hangus.
- Seterusnya masukkan kelapa prut segar. Kacau lagi sehingga semuanya sebati. Angkat dan asingkan.
- Di dalam mangkuk yang bersih, campurkan bahan utama seperti tepung beras pulut biasa, tepung beras pulut hitam, air, garam serta santan. Uli sebati dengan tangan sehingga menjadi doh lembut.
- Setelah menjadi doh, bahagikan doh kepada beberapa bahagian bebola (sebesar saiz bola golf) dan leperkan. Pastikan tidak terlalu nipis supaya inti tidak bocor kemudian.
- Untuk mengelakkan doh menjadi melekat pada tangan, boleh sapukan sedikit minyak pada telapak tangan.
- Leperkan bebola doh tadi di atas tangan dan letakkan satu sudu inti kelapa gula melaka tadi di tengah-tengah. Tutupkan inti dengan lebihan doh di telapak tangan. Bulatkan doh yang sudah berinti dengan kemas.
- Beruskan minyak masak pada bahagian permukaan daun pisang (untuk elak doh beras pulut melekat) dan balut ia menjadi seperti bentuk kon.
- Kukus Kuih Koci selama 10 minit sehingga masak atau boleh juga bekukan ia di dalam peti sejuk jika mahu memasaknya kemudian. Tetapi harus diingat, Kuih Koci yang telah dibeku perlu dikukus lebih lama iaitu sekitar 15 ke 18 minit untuk masak dengan sempurna.
Lepas ni kalau teringin hendak makan Kuih Koci original dah tak perlu lagi beli atau bersusah-payah cari gerai lagi dah. Buat sendiri je, senang. Untung-untung, boleh jimat dan kawal bahan yang digunakan.
Adakalanya, Kuih Koci yang dijual tu tdak mempunyai inti yang banyak sebaliknya, ramai peniaga ‘kedekut’ dan menjual secara serkap jarang. Bak kata pepatah, “Indah khabar dari rupa”.
Resepi kuih koci ini adalah resepi yang paling mudah dengan menggunakan kurang lebih cuma 10 bahan utama je.
Apa yang penting, rasanya lebih mantap dan tak mengecewakan. Seperti menikmati Kuih Koci asli di Melaka yang dibuat air tangan Nyonya.
Selamat mencuba semuanya!
SUMBER
https://www.nyonyacooking.com/recipes/kuih-koci-black-glutinous-rice~Hk34uvoPf5bX