Kuih Talam menggabungkan rasa lemak dan manis yang tiada tandingannya. Pemanis mulut lembut ini sememangnya terkenal dalam kalangan orang kita.
Jika di hotel-hotel ternama negara pula, Kuih Talam sering dilihat menjadi salah satu menu kuih-muih tradisional yang tersedia di restoran dan kafeteriannya, buat dijamah mesra oleh pengunjung serta para penghuninya.
Ini sekaligus menjadikan Kuih Talam popular dalam kalangan pelancong asing yang gemar mencuba juadah asli asal Malaysia.
Untuk pengetahuan semua, Kuih Talam memiliki pelbagai perisa lain yang bukan sahaja terdiri daripada Kuih Talam Ubi dan Kuih Talam Pandan semata malah, ada juga Kuih Talam Cendol yang kedengaran sangat menarik untuk dimakan betul tak?
Khas buat para pembaca setia Ceria Sihat, ayuh kami kongsikan resepi Kuih Talam Cendol secara ringkas -dengan penerangan terprinci langkah demi langkah yang mudah difahami untuk kamu yang teringin membuatnya di rumah tanpa renyah.
Bahan-Bahan Lapisan Gula Melaka: –
- 360ml Air
- 140g Gula Melaka
- 75ml Santan
- 60g Tepung Beras
- 40g Tepung Ubi Kayu
- 25g Tepung Kacang Hijau
- 2 Helai Daun Pandan Segar
Bahan-Bahan Lapisan Cendol: –
- 265ml Santan Pekat
- 125ml Air Panas
- 150g Agar-Agar Cendol
- 50g Tepung Beras
- 25g Tepung Kacang Hijau
- 10g Tepung Ubi Kayu
- 2 Sudu Besar Gula Halus
- Garam
Cara-Cara Membuat Lapisan Gula Melaka: –
- Masukkan tepung beras, tepung ubi kayu dan tepung kacang hijau ke dalam mangkuk adunan. Kacau rata dan tambahkan 180ml air.
- Setelah adunan tepung sudah semakin mesra, tuangkan pula santan dan kacau lagi sehingga kesemua adunan diaduk rata bersama.
- Di dalam periuk yang ditempatkan di atas api perlahan, masukkan lebihan air 180ml tadi bersama 2 helai daun pandan yang sudah siap disimpul.
- Sementara itu, cincangkan bongkah gula melaka kecil-kecil (agar mudah larut) dan masukkan ke dalam periuk untuk direnihkan bersama. Kacau sentiasa dan pastikan gula larut dididih sepenuhnya.
- Apabila air gula pandan sudah benar-benar mendidih, tuangkan adunan tepung yang dibuat awal tadi dan kacau.
- Didihkan kesemua ini sehingga ia kelihatan memekat. Tutupkan api dan kacau lembut sekali lagi supaya adunan tidak berketul.
- Untuk mengukus, griskan loyang besi bersaiz 5 inci.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang lalu guriskan permukaan adunan tepung bersantan itu dengan garfu agar kandungan santannya tidak bercapuk.
- Kukus lapisan ini selama lebih 20 minit sehingga masak. Jangan lupa untk membuka penutup pengukus setiap 5 minit sekali agar asap kukusnya keluar dan tidak membasahi lapisan gula melaka tersebut. Siap!
Cara-Cara Membuat Lapisan Cendol: –
1. Di atas api perlahan, gabungkan kesemua campuran tepung, santan, dan air panas. Tambahkan gula dan garam.
2. Masak sehingga adunan menjadi pekat dan terlihat gebu. Padamkan api dan biar ia sejuk seketika. Masukkan agar-agar cendol dan pastikan supaya tidak terlalu mengacau ia takut-takut nanti agar-agar cendol menjadi hancur.
3. Tuangkan campuran ini di atas lapisan gula melaka yang telah siap dikukus awal tadi dan masukkan loyang kembali di dalam pengukus untuk dimasak hingga sempurna.
4. Boleh kukus lapisan cendol sehingga 15 minit sebelum mengalihkannya. Cuba cucuk dengan lidi untuk memastikan sama ada ia telah benar-benar masak. Jika terlihat tiada adunan yang melekat pada lidi bermakna Kuih Talam sudah sedia untuk dialihkan daripada pengukus.
5. Biarkan Kuih Talam Cendol sejuk dan direhatkan selama 5 jam sebelum memotong dan dihidang.
Kalau hendak dikirakan, telah banyak makanan moden hari ini yang telah diinspirasikan menggunakan resepi cendol. Ada ais krim cendol, kek cendol, smoothie cendol, penkek cendol dan banyak lagi!
Apa-apa pun, jika kamu adalah penggemar tegar sajian klasik, cadang penulis, cubalah resepi Kuih Talam Cendol ini dahulu. Apa yang boleh dikatakan adalah rasanya amatlah luar biasa berbanding Kuih Talam biasa.
Selamat mencuba!
SUMBER
https://asianfoodnetwork.com/en/recipes/cuisine/asian-desserts/cendol-kueh-talam.html
https://www.anncoojournal.com/kuih-talam-cendol/ https://www.hungrygowhere.my/recipe/nyonya-kuih-recipes-kuih-talam-cendol/5d843101/