Bagi setiap penyakit, sudah tentu ada perkara yang boleh dilakukan dan ada juga yang perlu dielakkan. Ini juga sama buat penyakit Hernia. Ia terjadi apabila terdapat tisu yang menonjol keluar dari tempat asalnya. Satu fakta menarik adalah angin pasang inguinal biasa berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Antara rawatan yang sesuai untuk merawat Hernia adalah pembedahan laparoskopi, terutamanya bagi golongan bayi kerana ini boleh mengurangkan risiko berlakunya jangkitan.
Simptom Angin Pasang
Hernia cenderung menjadi lebih serius dan membesar dari hari ke hari. Anda mungkin berfikir bagaimana ingin mengetahui jika anda mempunyai angin pasang atau tidak. Satu cara mudah adalah memerhatikan sekiranya anda mempunyai benjolan pada pangkal paha terutamanya apabila berdiri atau duduk tegak. Jika ada, anda mungkin mempunyai Hernia.
Selain itu beberapa gejala yang boleh berlaku semasa angin pasang adalah:
- Sakit
- Sensasi membakar di bahagian pangkal paha
- Benjolan di sekitar kawasan pangkal paha
- Loya
- Muntah
- Rasa lemah
Apakah yang boleh meningkatkan risiko Hernia?
Individu yang berisiko mendapat angin pasang termasuklah:
- Perokok
- Berumur lebih daripada 60 tahun
- Dilahirkan dengan keadaan otot yang lemah
- Menderita penyakit sembelit kronik
- Kehamilan
Jika anda didiagnosis dengan Hernia, ianya adalah penting agar anda mengikuti arahan doktor atau pakar perubatan anda supaya keadaan tidak memburuk sebelum dan selepas pembedahan dijalankan.
Berikut merupakan senarai perkara yang perlu anda perlu lakukan dan elakkan sewaktu mengalami angin pasang.
Perkara yang perlu dilakukan jika anda mengalami Hernia
Jika anda mengalami angin pasang, anda harus:
- Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sangat bagus dan mengandungi pelbagai kandungan nutrien yang diperlukan badan. Biasanya, pengambilan sayur-sayuran adalah sedikit bermasalah terutamanya bagi mereka yang kurang gemar mengambil sayur-sayuran dalam makanan harian. Namun, ubah hal itu kerana ia boleh membantu mengurangkan masalah Hernia anda. Seperkara lagi, kedua-dua ini adalah lebih murah berbanding anda membeli suplemen lain di pasaran.
- Ubah pemakanan anda
Punca utama angin pasang termasuklah sembelit kronik, batuk yang berpanjangan, mengangkat berat atau pelan pemakanan yang tidak sihat.
Anda boleh mengelakkan sembelit dengan memakan makanan yang kaya dengan serat dan minum banyak air sebagai sebahagian daripada diet anda. Pastikan anda:
- Minum sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter air setiap hari
- Meningkatkan pengambilan cecair untuk mengelakkan sembelit
- Berpeluh dan menghilangkan toksin yang berlebihan tanpa paksaan
Makanan serat tinggi termasuklah:
- Bijirin penuh. Makanan seperti roti gandum, pasta, dll.
- Beras perang. Beras putih tidak menawarkan banyak serat, jadi tukarlah makanan ruji ini dengan menggunakan beras perang.
- ‘Popcorn’. Makanan ringan ini mengandungi banyak serat dan merupakan sumber yang terbaik (tanpa pemanis tambahan).
- Kacang. Kacang badam, ‘pecan’ dan walnat mempunyai lebih banyak serat berbanding jenis kacang yang lain.
- Buah beri. Semua jenis buah beri, jika dimakan bersama kulitnya boleh memberikan serat yang banyak kepada anda.
Di samping itu, anda juga boleh terapkan makanan sebegini dalam rutin diet anda:
- Tingkatkan pengambilan protein dengan memakan makanan seperti telur, keju kotej, soya, ikan, daging, tenusu atau kacang.
- Tingkatkan pengambilan vitamin C dengan memakan kentang, buah sitrus seperti limau, lemon atau sayur-sayuran seperti kobis bunga, bayam atau tomato.
- Tingkatkan pengambilan vitamin D dengan mengambil jus oren, bijirin atau susu badam (almond milk).
- Tingkatkan pengambilan kalsium dengan mengambil makanan tenusu seperti keju, susu dan yogurt.
Satu lagi faktor penting yang meningkatkan risiko Hernia adalah berat badan berlebihan atau masalah obesiti. Apabila anda mempunyai berat badan berlebihan, tekanan pada perut anda juga akan meningkat. Bukan itu sahaja, menjadi obes juga boleh melambatkan proses pemulihan angin pasang dan meningkatkan kemungkinan berlakunya Hernia berulang. Oleh itu, kawal berat badan anda dengan hanya makan makanan yang sihat dan bernutrisi sahaja. Makan dalam kuantiti yang sedikit setiap beberapa jam berbanding satu bahagian yang besar sekali gus.
Perkara yang perlu dielakkan dalam angin pasang
Bagi mencegah Hernia daripada menjadi lebih parah, anda perlu elakkan:
- Jangan kurangkan jumlah pengambilan makanan anda
Sekiranya anda makan terlalu banyak makanan, ia akan meningkatkan tekanan di dalam perut dan menyebabkan sensasi tidak selesa yang boleh menjejaskan angin pasang anda. Tetapi, jika anda mengurangkan jumlah makanan yang diambil, anda lebih berisiko mengalami kekurangan zat kerana pengambilan nutrien yang kurang dalam diet anda. Jadi, apa yang anda perlu lakukan adalah makan makanan dalam bahagian yang kecil pada satu masa. Jika anda masih berasa lapar, jangan bimbang kerana anda boleh sahaja makan seperti sebelumnya.
Makan makanan dalam bahagian yang kecil pada satu masa boleh memberikan usus anda masa untuk mencerna makanan, tanpa menyebabkan perut menjadi penuh dan kembung. Perut yang kembung atau usus yang bekerja terlalu kerasa akan meningkatkan tekanan pada abdomen dan justeru memberi kesan kepada Hernia. Selain itu, anda juga akan mendapatkan jumlah nutrien yang mencukupi makan pelbagai jenis makanan walaupun dalam kuantiti yang kecil secara berkala.
- Elakkan meneran (straining) semasa pergerakan usus
Meneran dalam pergerakan usus boleh mengakibatkan beberapa masalah yang mungkin berlaku seperti prolaps rektum dan buasir. Ini juga termasuklah angin pasang. Tindakan meneran memberikan tekanan yang tidak diperlukan di sekitar rektum dan abdomen (lokasi Hernia), justeru menjejaskan rektum dan abdomen anda. Malah, ia juga meningkatkan risiko angin pasang atau memburukkan lagi keadaan Hernia sedia ada.
Oleh itu, anda dinasihatkan agar mengelakkan perbuatan meneran semasa pergerakan usus. Terdapat beberapa penyelesaian untuk mencegah meneran sewaktu membuang air besar termasuklah menukar diet anda dan mengamalkan pengambilan serat dalam makanan seharian atau menggunakan pelembut najis bagi memudahkan pergerakan najis.
- Elakkan atau berhenti merokok
Merokok secara jelas tidak mempunyai manfaat buat jangka panjang, selain memenuhi kepuasan yang hanya bertahan dalam jangka masa singkat. Ia berkait rapat dengan kesihatan dan merupakan punca yang menyebabkan komplikasi kesihatan yang teruk.
Bagi perokok yang mengalami angin pasang, merokok boleh menjejaskan Hernia anda dalam dua cara:
– Batuk perokok
Batuk jenis ini sering terjadi di kalangan perokok. Ia menyebabkan anda batuk dalam masa yang lama dan berulang kali. Batuk yang panjang dan kerap akan menimbulkan tekanan kepada perut anda yang merupakan lokasi utama angin pasang. Sekiranya anda mempunyai Hernia dan merokok, keadaan ini akan memburukkan angin pasang sedia ada sehingga menyebabkan kesakitan. Bagi mereka yang telah menjalani pembedahan Hernia sebelum ini, jahitan pembedahan tersebut mungkin boleh terbuka semula.
– Jangkitan
Terdapat laporan mengenai beberapa kes perokok yang mengalami angin pasang mendapat jangkitan di kawasan pemotongan Hernia selepas pembedahan dijalankan. Keadaan ini boleh membawa kepada pelbagai komplikasi lain yang lebih bahaya.
- Elakkan berbaring selepas makan
Selepas makan, usus anda akan melakukan kerjanya tanpa henti untuk memproses makanan yang diambil. Sebaiknya, berada dalam posisi tegak selama 30 minit agar makanan itu turun dengan mudah melalui esofagus ke usus anda. Selepas tempoh tersebut, anda boleh melakukan apa sahaja seperti berbaring semasa menonton televisyen atau sebagainya.
- Jangan pakai pakaian yang ketat
Angin pasang yang kecil biasanya tidak menjejaskan penampilan anda tetapi Hernia yang bersaiz lebih besar boleh membentuk benjolan yang dapat dilihat dari luar. Oleh itu, elakkan memakai pakaian ketat yang mungkin akan memburukkan lagi keadaan angin pasang anda. Ia boleh menyebabkan anda mengalami ketidakselesaan dan menyakitkan apabila pakaian ketat bergeser pada Hernia dengan kuat.
- Elakkan amalan diet dengan kalori tinggi kerana ia sukar dihadam
Diet tinggi kalori mengambil masa yang lebih lama untuk dicerna oleh usus. Ia juga boleh menyebabkan masalah kepada keadaan angin pasang anda di dalam perut. Sebaliknya, anda harus makan lebih banyak makanan serat seperti epal, keledek, coklat gelap dan sebagainya. Serat boleh dicerna dengan mudah berbanding makanan yang mengandungi jumlah kalori yang tinggi.
- Jauhkan diri daripada mengangkat beban yang berat
Mengangkat berat atau melakukan sebarang aktiviti yang boleh meningkatkan tekanan ke atas tisu di dinding abdomen dan otot anda boleh menyebabkan atau memperbesarkan Hernia. Namun ia tidak terhad kepada mengangkat berat sahaja kerana perbuatan lain juga boleh menambah tekanan pada dinding abdomen anda. Ini termasuklah meneran semasa membuang air kecil atau semasa pergerakan usus, mempunyai berat badan berlebihan dan batuk atau bersin yang kronik.
SUMBER
https://www.webmd.com/diet/features/really-hungry#1
https://www.healthline.com/health/is-red-tide-harmful-to-humans