Leukemia adalah kanser tisu pembentuk darah dalam tubuh, termasuklah sumsum tulang dan sistem limfa. Terdapat banyak jenis leukemia dan beberapa bentuknya lebih kerap berlaku pada kanak-kanak manakala ada juga yang lebih banyak menjejaskan orang dewasa.
Selain itu, kanser ini melibatkan sel darah putih yang merupakan pejuang jangkitan yang kuat. Sel ini biasanya tumbuh dan membahagi secara teratur, seperti yang diperlukan oleh badan. Tetapi, bagi individu dengan penyakit leukemia, sumsum tulang menghasilkan sel darah putih tidak normal, yang tidak berfungsi dengan baik.
Jenis Leukemia
Permulaan leukemia boleh menjadi akut (terjadi tiba-tiba) atau kronik (terjadi secara perlahan). Dalam kes leukemia akut, sel kanser membiak dengan cepat. Sebaliknya, bagi keadaan leukemia kronik, penyakit ini berkembang dengan perlahan dan gejala awalnya mungkin adalah sangat ringan.
Leukemia juga dikelaskan mengikut jenis sel. Jika ia melibatkan sel-sel myeloid, ia disebut sebagai leukemia myelogenous. Sel myeloid adalah sel darah yang belum matang dan biasanya menjadi granulocytes atau monocytes. Leukemia yang melibatkan limfosit disebut leukemia limfositik. Terdapat empat jenis leukemia utama:
- Leukemia myelogenous akut (AML)
Leukemia myelogenous akut (AML) boleh berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa. Ini adalah bentuk leukemia yang paling bias dan kadar kelangsungan hidup selama lima tahun untuk jenis ini adalah 26.9 peratus.
- Leukemia limfositik akut (ALL)
Leukemia limfositik akut (ALL) kebanyakannya berlaku pada golongan kanak-kanak. Kadar kelangsungan hidup selama lima tahun untuk jenis ini adalah 68.2 peratus.
- Leukemia myelogenous kronik (CML)
Leukemia myelogenous kronik (CML) mempengaruhi kebanyakan orang dewasa. Kadar kelangsungan hidup selama lima tahun untuk jenis ini adalah 66.9 peratus.
- Leukemia limfositik kronik (CLL)
Leukemia limfositik kronik (CLL) berkemungkinan besar mempengaruhi individu berumur lebih 55 tahun. Ia jarang sekali dilihat memberi kesan pada kanak-kanak. Kadar kelangsungan hidup selama lima tahun bagi jenis ini adalah 83.2 peratus.
- Leukemia sel berbulu
Ini adalah subjenis CLL yang sangat jarang berlaku. Namanya berasal dari kemunculan limfosit kanser di bawah mikroskop.
Simptom Leukemia
Jenis leukemia yang berlainan boleh menyebabkan masalah yang berbeza. Anda mungkin tidak melihat tanda-tanda pada peringkat awal bagi beberapa bentuk leukemia. Apabila anda mempunyai simptom, ia mungkin termasuk:
- Kelemahan atau keletihan.
- Lebam atau pendarahan yang mudah.
- Demam atau menggigil.
- Jangkitan yang teruk atau berterusan.
- Sakit pada tulang atau sendi.
- Sakit kepala.
- Muntah.
- Kejang.
- Pengurangan berat badan.
- Berpeluh pada waktu malam.
- Sesak nafas.
- Kelenjar nodus limfa yang membengkak.
Punca Leukemia
Penyebab sebenar leukemia masih tidak diketahui, tetapi ia dikatakan melibatkan gabungan faktor genetik dan persekitaran. Sel-sel leukemia memperoleh mutasi dalam DNA yang menyebabkannya mereka tumbuh secara tidak normal dan kehilangan fungsi sel darah putih khas. Namun, ianya tidak jelas apa yang menyebabkan mutasi ini.
Seterusnya, salah satu jenis perubahan DNA sel yang biasa terjadi dalam kes leukemia dikenali sebagai translokasi kromosom. Dalam proses ini, satu bahagian kromosom terputus dan melekat pada kromosom yang berbeza. Satu translokasi yang dilihat pada hampir semua kes jenis leukemia myelogenous kronik (CML) dan kadangkala pada jenis leukemia lain adalah pertukaran DNA antara kromosom 9 dan 22. Ini kemudian menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai kromosom Philadelphia. Ia menghasilkan onkogen (gen yang mempromosikan kanser) yang dikenali sebagai BCR-ABL. Perubahan DNA ini tidak diwarisi tetapi kadangkala berlaku dalam kehidupan individu yang terkesan.
Diagnosis Leukemia
Leukemia mungkin disyaki jika anda mempunyai faktor risiko atau gejala tertentu. Doktor akan memulakan diagnosis dengan mengambil sejarah anda secara lengkap dan melakukan pemeriksaan fizikal. Tetapi, leukemia tidak dapat didiagnosis sepenuhnya dengan pemeriksaan fizikal sahaja. Jadi, doktor akan menggunakan ujian darah, biopsi dan ujian pencitraan untuk membantu dalam proses diagnosis.
- Ujian
Terdapat sejumlah ujian berbeza yang dapat digunakan untuk mendiagnosis leukemia. Kiraan darah lengkap boleh menentukan bilangan sel darah merah (RBC), sel darah putih (WBC) dan platelet dalam darah. Melihat darah anda di bawah mikroskop juga dapat menentukan sekiranya sel-sel itu kelihatan tidak normal.
Imbasan biopsi tisu boleh diambil daripada sumsum tulang atau kelenjar nodus limfa bagi mencari bukti leukemia. Sampel kecil ini dapat mengenal pasti jenis leukemia serta kadar pertumbuhannya. Biopsi organ lain seperti hati dan limpa pula dapat menunjukkan jika kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain atau tidak.
- Pementasan (Staging)
Setelah leukemia didiagnosis, peringkatnya akan ditentukan pula. Proses pementasan ini membantu doktor untuk menentukan keadaan keseluruhan anda.
Leukemia myelogenous akut(AML) dan leukemia limfositikakut(ALL) dipentaskan berdasarkan bagaimana sel-sel kanser kelihatan di bawah mikroskop dan jenis sel yang terlibat. Selain itu, leukemia limfositikakut(ALL) dan leukemia limfositik kronik (CLL) pula dipentaskan berdasarkan kiraan sel darah putih (WBC) pada masa diagnosis. Kehadiran sel darah putih yang belum matang, atau myeloblas dalam darah dan sumsum tulang juga digunakan untuk melakukan pementasan leukemia myelogenous akut(AML) dan leukemia myelogenous kronik(CML).
Faktor Risiko Leukemia
Ianya tidak diketahui dengan tepat apa yang menyebabkan leukemia. Individu yang memilikinya mempunyai kromosom yang tidak normal, tetapi perubahan kromosom ini tidak menyebabkan leukemia. Anda tidak dapat mencegah leukemia, tetapi perkara tertentu boleh mencetuskannya. Individu mungkin berisiko lebih tinggi untuk mendapatkan leukemia jika anda:
- Merokok.
- Terdedah kepada banyak sinaran atau bahan kimia tertentu.
- Pernah melakukan terapi radiasi atau kemoterapi untuk merawat kanser.
- Mempunyai sejarah keluarga dengan leukemia.
- Mempunyai gangguan genetik seperti sindrom Down.
- Mempunyai gangguan darah seperti sindrom myelodysplastic, yang kadangkala disebut “preleukemia”.
- Terdedah kepada bahan kimia seperti benzene.
Rawatan Leukemia
Leukemia biasanya dirawat oleh pakar hematologi-onkologi. Ini adalah golongan doktor yang pakar dalam penyakit darah dan kanser. Rawatan yang dilakukan juga bergantung pada jenis dan tahap kanser pada seseorang individu. Beberapa bentuk leukemia tumbuh secara perlahan dan tidak memerlukan rawatan segera. Walau bagaimanapun, rawatan untuk leukemia biasanya melibatkan satu atau lebih perkara berikut:
- Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel leukemia. Bergantung pada jenis leukemia, anda mungkin perlu mengambil satu ubat atau gabungan ubat yang berbeza.
- Terapi radiasi menggunakan sinaran bertenaga tinggi untuk merosakkan sel leukemia dan menghalang pertumbuhannya. Radiasi juga dapat digunakan pada kawasan tertentu atau ke seluruh tubuh anda.
- Transplantasi sel induk boleh menggantikan sumsum tulang yang berpenyakit dengan sumsum tulang sihat dan baik iaitu daripada sumsum tulang anda sendiri (yang disebut transplantasi autologous) atau daripada penderma (disebut transplantasi allologous). Prosedur ini juga dipanggil pemindahan sumsum tulang.
- Terapi biologi atau imun menggunakan rawatan yang membantu sistem imun anda mengenali dan menyerang sel kanser.
- Terapi yang disasarkan menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyerang sel kanser. Sebagai contoh, imatinib (Gleevec) adalah ubat yang disasarkan dan biasanya digunakan untuk melawan leukemia myelogenous kronik(CML).
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/leukemia/symptoms-causes/syc-20374373
https://www.webmd.com/cancer/lymphoma/understanding-leukemia-basics#1