Now Reading
Limfoma sel-T Kulit (Skin T-cell lymphoma) – Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan

Limfoma sel-T Kulit (Skin T-cell lymphoma) – Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan

Limfoma sel T kulit

Limfoma sel-T kulit adalah sejenis kanser yang jarang berlaku dan bermula dengan sel darah putih yang dipanggil sel T (limfosit T). Sel-sel ini biasanya membantu sistem imun yang melawan kuman dalam badan anda. Sel dalam limfoma sel-T kulit, menimbulkan keabnormalan yang membuatkan mereka menyerang kulit.

Keadaan ini boleh menyebabkan kemerahan kulit seperti ruam, kulit yang sedikit timbul atau tompok-tompok bersisik pada kulit dan kadang kala juga menyebabkan tumor kulit.

 

Simptom Limfoma sel-T Kulit

Tanda-tanda dan simptom limfoma sel-T kulit termasuk:

  • Tompokan bulat pada kulit yang boleh membesar atau timbul dan mungkin gatal.
  • Kulit yang bertampal-tampal dan kelihatan lebih terang dari warna kulit sekitar.
  • Ketulan yang terbentuk pada kulit dan boleh pecah.
  • Nodus limfa yang membesar.
  • Keguguran rambut.
  • Penebalan kulit di telapak tangan dan tapak kaki.
  • Kemerahan kulit seperti ruam di seluruh badan yang sangat gatal.

 

Punca Limfoma sel-T Kulit

Penyebab sebenar limfoma sel-T kulit masih tidak diketahui.

Secara umum, kanser bermula apabila sel-sel membuat perubahan (mutasi) dalam DNA mereka. Sel DNA mengandungi arahan yang memberitahu sel apa yang perlu dilakukan. Jadi, mutasi pada DNA membantu sel-sel untuk berkembang dan membiak dengan cepat, mewujudkan banyak sel yang tidak normal.

Dalam limfoma sel-T kulit, mutasi menyebabkan terlalu banyak sel-T yang tidak normal menyerang kulit. Sel-T adalah sebahagian daripada sistem imun anda dan biasanya, ia membantu tubuh anda melawan kuman. Doktor-doktor belum mengenalpasti sebab mengapa sel-sel ini menyerang kulit.

 

Diagnosis Limfoma sel-T Kulit

Ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis limfoma sel-T kulit termasuk:

  • Ujian fizikal. Doktor anda akan memeriksa kulit anda di kawasan yang tebal, bersisik atau timbul. Anda juga akan diperiksa untuk tanda-tanda sekiranya nodus limfa atau organ-organ lain mungkin terjejas.

 

  • Ujian darah. Ujian darah seperti kiraan darah lengkap mungkin digunakan untuk memahami keadaan anda dengan lebih baik. Selalunya, sel-sel kanser terdapat dalam darah terutamanya bagi sindrom Sezary.

 

  • Biopsi kulit. Prosedur untuk mengambil sampel kulit yang kecil (biopsi kulit) biasanya diperlukan untuk mendiagnosis limfoma sel-T kulit. Kulit mungkin dipotong dengan alat berbentuk bulat (biopsi punch). Bagi luka dan tumor yang lebih besar, biopsi mungkin dilakukan dengan pisau kecil (biopsi excisional).

Seorang doktor yang pakar dalam menganalisis darah dan tisu (ahli patologi) akan mengkaji sampel di makmal untuk menentukan sama ada ia mengandungi sel-sel kanser atau tidak. Kadang kala, biopsi kulit dilakukan berkali-kali untuk mengesahkan diagnosis anda. Ujian makmal lanjutan untuk menganalisis tisu mungkin mendedahkan petunjuk tentang kanser anda. Ini akan membantu doktor memahami ramalan anda dan menentukan pilihan rawatan anda.

 

  • Ujian pengimejan. Jika ada kebimbangan bahawa sel-sel kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain, doktor anda mungkin mencadangkan ujian pengimejan, seperti tomografi berkomputer (CT) atau tomografi pelepasan positron (PET).

 

Rawatan Limfoma sel-T Kulit

  • Krim kulit dan minyak. Ubat-ubatan boleh digunakan untuk kulit anda dalam bentuk krim, gel dan minyak. Kortikosteroid boleh membantu mengawal kemerahan kulit dan gatal-gatal. Ia boleh digunakan pada kulit untuk menyerang sel kanser.
  • Terapi cahaya (fototerapi). Fototerapi melibatkan pendedahan kulit kepada gelombang cahaya yang berbeza seperti ultraviolet B atau ultraviolet A. Pelbagai mesin digunakan dalam fototerapi, termasuk bilik yang mendedahkan kebanyakan badan anda kepada cahaya. Kadang kala, fototerapi dilakukan selepas penggunaan ubat yang menjadikan sel kulit lebih sensitif terhadap cahaya (terapi photodynamic). Sel-sel yang sihat berkembang semula dengan cepat, tetapi sel-sel kanser tidak.
  • Terapi radiasi. Terapi radiasi menggunakan sinaran tenaga untuk membunuh sel-sel kanser. Jika anda mempunyai satu kawasan limfoma sel-T kulit, terapi radiasi standard dengan sinaran-X mungkin disyorkan. Bagi orang yang mempunyai lebih banyak kawasan kanser, terapi radiasi mungkin dilakukan dengan sinaran elektron yang menyasarkan kulit dan tidak menjejaskan organ dalaman. Sinaran elektron pula biasanya digunakan untuk semua kulit.
  • Ubat-ubatan. Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat limfoma sel-T kulit termasuk rawatan untuk mengawal sistem imun seperti ubat steroid dan interferon. Ubat kemoterapi menyerang sel-sel yang berkembang dengan cepat, termasuk sel-sel kanser. Bagi ubat terapi yang disasarkan, ia akan menyerang sel-sel kanser dengan mensasarkan kelemahan spesifik sel.
  • Mendedahkan sel darah kepada cahaya. Prosedur yang dipanggil ‘photopheresis extracorporeal’ melibatkan pengambilan ubat yang menjadikan sel-sel anda lebih sensitif terhadap cahaya. Kemudian, darah anda ditapis melalui mesin yang mendedahkannya kepada cahaya ultraviolet sebelum mengembalikan darah tersebut ke tubuh anda.
  • Pemindahan sumsum tulang. Pemindahan sumsum tulang yang juga dikenali sebagai pemindahan stem adalah satu prosedur untuk menggantikan sumsum tulang berpenyakit dengan sumsum tulang yang sihat dari penderma yang sesuai (transplantasi sum-sum tulang allogeneic). Semasa pemindahan, anda akan menerima ubat kemoterapi untuk memberi tekanan kepada sumsum tulang berpenyakit anda. Kemudian, sel donor yang sihat dimasukkan ke dalam badan anda yang mana mereka akan pergi ke tulang anda dan membina semula sumsum tulang anda.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/t-cell-lymphoma

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cutaneous-t-cell-lymphoma/symptoms-causes/syc-20351056

https://www.webmd.com/cancer/lymphoma/non-hodgkins-lymphoma-types

https://www.medicalnewstoday.com/articles/146136

error: Content is protected !!