Bagi kebanyakan individu, COVID-19 adalah penyakit yang singkat dan ringan tetapi ada juga yang bergelut dengan gejala seperti keletihan berpanjangan, kesakitan berterusan dan sesak nafas selama berbulan-bulan.
Walaupun ianya masih belum jelas berapa ramai individu di seluruh dunia yang terpengaruh dengan simptom daripada keadaan ‘long Covid’ ini, data daripada aplikasi ‘COVID Symptom Study’ menunjukkan bahawa “satu dari 10 orang masih mengalami gejala COVID-19 setelah 3 minggu”.
Memandangkan spektrum keparahan penyakit, pemulihan boleh berbeza-beza.
Apakah sebenarnya maksud ‘Long Covid’?
Tiada definisi perubatan atau senarai gejala yang dikongsi oleh semua pesakit, justeru itu setiap individu dengan masalah ‘long Covid’ boleh mengalami pengalaman yang sangat berbeza. Walau bagaimanapun, ciri yang paling biasa adalah keletihan yang melumpuhkan.
Gejala lain termasuk sesak nafas, batuk yang tidak akan hilang, sakit sendi, sakit otot, masalah pendengaran dan penglihatan, sakit kepala, kehilangan deria bau dan rasa serta kerosakan pada jantung, paru-paru, buah pinggang dan usus.
Masalah kesihatan mental juga telah dilaporkan termasuk kemurungan, kegelisahan dan perjuangan untuk berfikir dengan jelas.
‘Long Covid’ bukan tempoh masa yang diambil untuk pulih setelah mendapatkan rawatan intensif. Bahkan individu dengan jangkitan yang agak ringan juga boleh mendapat masalah kesihatan yang berpanjangan dan teruk.
Apa yang harus anda lakukan jika anda berfikir bahawa anda memilikinya?
Menurut laman web NHS, ia mengesyorkan “3 P” untuk menjimatkan tenaga serta agar segala simptom yang dialami tidak mengganggu aktiviti harian anda dengan begitu serius:
- ‘Pace’ – Lakukan aktiviti dengan kadar perlahan supaya anda tidak terlalu keras dengan diri anda, dan pastikan anda banyak berehat.
- ‘Plan’ – Rancang hari-hari anda agar aktiviti paling memenatkan disebarkan sepanjang minggu bukannya dalam satu hari sahaja.
- ‘Prioritise’ – Fikirkan apa yang anda perlu lakukan dengan segera dan apa yang dapat ditangguhkan.
Adakah anda akan kembali ke keadaan normal?
COVID-19 adalah penyakit baru dan semua pakar masih belajar tentang bagaimana individu boleh pulih dari penyakit itu. Pemulihan anda akan bergantung pada perkara-perkara seperti betapa sakitnya anda semasa dijangkiti virus tersebut, sama ada anda mempunyai masalah kesihatan lain atau sama ada anda masuk ke hospital dan sama ada anda berada dalam rawatan intensif.
Sebilangan gejala anda mungkin hilang dengan cepat, sementara yang lain mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk dirawat. Bersabarlah dengan diri sendiri, fikirkan cara untuk bergerak maju secara beransur-ansur dan stabil, serta minta sokongan daripada orang sekeliling jika anda memerlukannya.
Sekarang, berikut adalah 3 perkara yang perlu diketahui setelah pulih dari COVID-19
Memandangkan jalan menuju ke arah pemulihan menjadi lebih jelas, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana “keadaan normal baru” anda setelah gejala tersebut reda. Tidak seperti penyakit biasa lain seperti selesema atau demam, penyakit COVID-19 penuh dengan tanda tanya yang belum mempunyai jawapannya.
Antaranya seperti berapa lama saya akan berjangkit dengan virus ini? Perlukah saya bimbang dengan gejala yang berlarutan ini? Adakah ini bermakna saya tidak perlu memakai topeng lagi?
Pasti banyak persoalan yang bermain di minda anda bukan, jadi sekarang mari kita ambil langkah berjaga-jaga dan ikuti langkah-langkah di bawah ini.
1. Jangan tinggalkan rumah semasa anda masih berjangkit
Seseorang yang menghidap COVID-19 dianggap paling mudah menyebarkan jangkitan pada hari-hari yang boleh menyebabkan timbulnya gejala segera (atau dikenali sebagai tempoh pra-simptomatik) dan sepanjang beberapa hari pertama selepas mendapat gejalanya.
Tetapi, beberapa hari diperlukan bagi membersihkan virus dari sistem imun seseorang. Ini bermakna, walaupun gejala anda hilang dan anda telah berasa lebih baik, anda mesti terus mengikuti garis panduan untuk melakukan kuarantin kendiri untuk memastikan anda tidak menyebarkan COVID-19 secara tidak sengaja kepada orang lain.
2. Beberapa gejala mungkin bertahan lebih lama daripada yang lain
COVID-19 dilengkapi dengan senarai simptom yang cukup panjang – yang paling biasa adalah demam, batuk kering dan sesak nafas. Kedua-dua tahap keparahan dan jangka masa gejala ini adalah berbeza bagi setiap orang, tetapi beberapa gejala cenderung bertahan lebih lama sehinggalah tempoh pemulihan anda.
Ini khususnya melibatkan keletihan dan kehilangan deria rasa dan bau yang dapat berlanjutan di luar jangka masa penularan.
3. Kekebalan mungkin tidak bertahan lama
Dengan beberapa penyakit, anda mungkin akan kebal terhadap jangkitan semula untuk beberapa waktu selepas pemulihan anda. Namun, berbeza dengan COVID-19, ianya masih terlalu awal untuk mengetahui adakah imuniti jangka panjang boleh diperoleh semasa mendapat jangkitan.
Walaupun setelah pulih dari COVID-19, anda harus terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang melindungi diri anda dan orang lain dari virus itu, termasuk melakukan penjarakan sosial, memakai topeng pelitup muka dan mencuci tangan anda secara berkala.
JADI,
Walaupun istilah ‘long Covid’ mungkin tidak banyak memberi kesan kepada individu, tetapi sekarang sudah ada pengakuan yang semakin meningkat bahawa ada individu yang mengalami kesan jangka panjang dari jangkitan Covid.
Oleh itu, ianya adalah penting untuk meminta pertolongan jika diperlukan dan pastikan bahawa anda masih mengikuti peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan jangkitan semula. Ini sangat sesuai dikaitkan dengan pepatah Inggeris yang mengatakan ‘Better be safe than sorry’.
SUMBER