Sebut tentang penyakit kencing manis, aspek makanan untuk diabetes antara yang penting untuk dikawal. Tetapi apakah sebenarnya senarai makanan untuk pesakit kencing manis?
Apa itu kencing manis?
Sebelum kita mengetahui mengenai makanan untuk pesakit kencing manis, apa kata kita ketahui dulu mengenai penyakit ini secara ringkas, okay?
Penyakit kencing manis atau dalam istilah perubatannya, Diabetes Melllitus (DM) ini, merupakan satu keadaan di mana sekumpulan penyakit metabolisma yang dicirikan dengan kandungan gula dalam darah yang tinggi untuk jangka masa panjang (kronik).
Masalah peningkatan paras gula dalam darah yang kronik ini juga boleh membawa kepada beberapa komplikasi seperti tekanan darah tinggi (hipertensi), gangguan saraf, katarak dan juga kegagalan fungsi buah pinggang.
Penyakit kencing manis juga cenderung untuk mengakibatkan komplikasi yang boleh membawa maut seperti serangan jantung dan pendarahan dalam otak. Umumnya, penyakit ini terbahagi kepada tiga subkategori utama, iaitu:
- Diabetes Mellitus jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus, T1DM)
- Diabetes Mellitus jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus,T2DM)
- Diabetes Mellitus ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus, GDM)
Kawalan senarai makanan untuk pesakit kencing manis
Objektif pengawalan pemakanan adalah untuk mengekalkan paras gula pada tahap normal, mengurangkan paras kolesterol dalam darah serta untuk mengelakkan sebarang komplikasi diabetes.
Ada tiga kumpulan makanan dalam pengawalan pemakanan untuk pesakit:
Kumpulan senarai makanan untuk pesakit kencing manis elakkan
- Semua jenis gula, seperti gula putih, gula perang, gula melaka, gula batu mahupun gula madu
- Minuman manis termasuk minuman berkarbonat dan kordial
- Sapuan roti seperti jem, kaya dan marmalad (jem limau)
- Makanan manis termasuklah seperti gula-gula, kuih manis, kek, coklat, aiskrim dan susu pekat manis
- Pencuci mulut, termasuk buah-buahan dalam tin yang ditambah sirap dan agar-agar
Kumpulan makanan yang diambil mengikut sukatan
- Bijirin dan hasil bijirin
- Nasi
- Roti, biskut, kuih yang tidak manis
- Pasta, makaroni, spageti, mi, bihun, kuetiau, laksa
- Capati, roti canai, tosai
- Ubi kentang, ubi kayu, keladi, keledek
- Kekacang
- Susu dan sebarang produk hasil tenusu
- Buah-buahan
Kumpulan makanan yang boleh diambil secara bebas
- Semua jenis sayur-sayuran seperti bayam, parsli, kailan, kubis, sawi, terung, kacang panjang, tomato dan timun
- Sayur-sayuran berkanji seperti lobak merah, lobak putih, dan labu boleh diambil mengikut sukatan
- Semua minuman tanpa gula, contohnya teh Cina, air kosong, barli dan kopi
- Rempah-ratus dan herba, antaranya serbuk cili, serbuk kari, kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia, serai, jintan, lada hitam, asam jawa, dan kunyit
- Semua daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan lemak, tauhu, telur, ikan serta ikan bilis
Senarai makanan untuk pesakit kencing manis
Berikut adalah cadangan komposisi pengambilan makanan untuk pesakit kencing manis:
1. Karbohidrat
Karbohidrat disyorkan untuk pesakit kencing manis adalah dalam jumlah 46 – 65% daripada jumlah pengambilan kalori harian.
Pesakit diabetes digalakkan untuk mengambil karbohidrat berserat tinggi tidak kurang daripada 130 gram sehari.
2. Lemak
Pengambilan lemak yang disyorkan dalam pengambilan makanan untuk pesakit kencing manis adalah antara 20-25% daripada keperluan kalori harian. Malahan pengambilannya tidak dibenarkan melebihi 30% daripada jumlah pengambilan tenaga.
Komposisi yang disyorkan untuk lemak tepu tidak lebih daripada 7% keperluan kalori.
Bagi lemak tak tepu pula seharusnya tidak melebihi 10%. Pengambilan makanan berkolesterol yang disyorkan tidak kurang daripada 200 miligram sehari.
Anda disarankan untuk mengehadkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu dan lemak trans, seperti daging berlemak.
3. Protein
Keperluan kalori dalam menu untuk pesakit kencing manis adalah antara 10 – 20% daripada jumlah pengambilan kalori.
Semak cara mengira kalori menggunakan kalkulator BMR kami di sini.
Sumber protein yang baik adalah ikan, udang, sotong, daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit, produk tenusu rendah lemak, kacang-kacangan, tauhu, dan tempe.
4. Natrium
Pengambilan natrium yang disyorkan untuk pesakit diabetes tidak kurang daripada 2,000 miligram sehari. Pesakit kencing manis yang juga mempunyai tekanan darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan natrium.
Sumber natrium termasuk garam, soda dan pengawet, seperti natrium benzoat dan natrium nitrit.
Makan terlalu banyak garam untuk pesakit kencing manis boleh meningkatkan risiko pelbagai komplikasi kesihatan, seperti masalah jantung.
5. Serat
Pesakit kencing manis digalakkan mengambil serat dari kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran serta sumber karbohidrat yang tinggi.
Pengambilan serat yang disarankan dalam diet untuk pesakit kencing manis adalah sekitar 20 – 35 gram sehari, diperolehi dari pelbagai sumber makanan.
Serat dapat membantu anda untuk berasa kenyang lebih lama, mengurangkan lemak dalam darah, membantu menurunkan gula darah, dan mengurangkan rintangan insulin.
6. Gula
Pengambilan gula dalam menu harian bukanlah perkara yang buruk untuk pesakit kencing manis. Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting ialah mengetahui had selamat setiap hari.
Had pengambilan gula yang disyorkan untuk setiap individu dalam sehari adalah antara 50 gram.
Anda juga boleh menggantikan gula anda dengan pemanis rendah kalori dan mengandungi kromium untuk meningkatkan fungsi insulin dalam badan serta membantu mengawal gula dalam darah.
Tukar diet makanan untuk diabetes perlahan-lahan
Apabila disahkan menghidap diabetes, sudah tentu anda perlu menukar gaya hidup, terutama diet. Sangat penting bagi pesakit diabetes untuk memahami pentingnya pengawalan pemakanan, jenis makanan dan jumlah kandungan kalori.
Prinsip paling utama makanan untuk diabetes perlu diambil dengan kerap tetapi dalam saiz hidangan yang kecil. Ini juga boleh membantu tahap gula darah lebih stabil.
Untuk tidak berasa terbeban, anda boleh mengubah tabiat pemakanan secara beransur-ansur. Anda disarankan untuk memulakan dengan menukar tabiat pemakanan yang paling mudah untuk dilakukan.
Sekiranya berjaya, teruskan untuk menukar kebiasaan pemakanan anda yang paling sukar anda lakukan. Tetapi jika berasa sukar, anda boleh bertanyakan kepada pakar pemakanan di klinik atau hospital.
Sebenarnya tidak terdapat sebarang isu yang berbangkit mengenai makanan untuk pesakit kencing manis. Makanlah seperti individu sihat lain, cuma anda perlu menitikberatkan aspek saiz hidangan makanan diambil. Selamat mencuba!
Sumber:
1) https://hellodoktor.com/kencing-manis/diabetes-jenis-dua/makanan-untuk-pesakit-kencing-manis/
2) https://hellodoktor.com/pemakanan/resipi-sihat/contoh-menu-makanan-untuk-diabetes/
3) https://thediagnosa.com/16-jenis-makanan-untuk-pesakit-kencing-manis/