Now Reading
Mana Nak Makan Sedap di KL?

Mana Nak Makan Sedap di KL?

Makan Sedap di KL

Nak makan sedap di KL? Tapi tak tahu di mana restoran yang menyediakan makanan sedap dan lazat?

Jangan risau, ada banyak restoran di KL yang menawarkan pelbagai jenis makanan yang sedap dan menarik. Pendek kata jika anda berkunjung ke Kuala Lumpur jangan hanya makan di satu tempat saja, cubalah pelbagai jenis makanan yang tersedia di kota besar KL ini.

Di Kuala Lumpur tidak ada makanan signature atau makanan tradisi orang KL. Di sini ibarat lubuk makanan untuk semua jenis masakan, dari Utara hingga Selatan hingga membawa ke Pantai Timur. Tidak ketinggalan juga menu masakan dari Asian, Western, European dan Middle East yang rata-rata restoran mamak pun ada menawarkan hidangan antarabangsa ini.

Saya pun tak faham kenapa mamak perlu menghidangkan makanan selain makanan dari India.

Tapi bagi memastikan anda tidak tersilap langkah memasuki restoran yang rasanya biasa-biasa je tapi harganya boleh buatkan mulut anda ternganga.

Kali ini saya akan sarankan beberapa restoran melayu yang berasaskan nasi putih yang mungkin anda boleh pertimbangkan dan mungkin sedikit sebanyak dapat membantu anda semua untuk membuat pilihan.

Samudra Anjung Patin Ville

Destinasi pertama yang mungkin anda boleh berkunjung untuk makan tengah hari adalah di SAMUDRA Anjung PATIN Ville yang terletak di Kampung Bahru, KL.

Di restoran ini mereka menghidangkan pelbagai jenis masakan kampung yang berasaskan ikan sungai yang terkenal dengan kesedapan isi ikannya.

Anda sebut saja ikan sungai apa yang anda mahu makan. Jika anda gemarkan ikan talapia, mereka ada masakan istimewa untuk anda. Jika anda inginkan rasa yang lebih premium, ikan patin buah yang berharga RM22 bagi seratus gram juga tersedia untuk dipesan anda, dan masakan yang sedap untuk ikan ini adalah gulai tempoyak. Memang premium rasa dan harganya!

Nasi Lemak Wanjo

Masih di Kampung Bahru, jika tadi menu masakan ikan sungai, yang ini pula menunya lebih mudah tetapi sedap, dan merupakan makanan tradisi orang Malaysia, apalagi kalau bukan nasi lemak.

Restoran Nasi Lemak Wanjo telah beroperasi lebih 55 tahun, dan kebiasaannya kedai mereka dikunjungi pada waktu pagi dan malam.

Boleh dikatakan kesemua lauk tambahan yang ada adalah berasaskan sambal, seperti sambal sotong, sambal kerang, sambal udang, sambal ayam, dan juga ayam goreng kunyit yang memang sedap.

Mat Teh Ikan Bakar

Lokasi seterusnya yang saya cadangkan untuk anda menikmati makan sedap di KL adalah di Kampung Dato Keramat, di mana anda boleh menikmati ikan bakar yang lazat.

Nama restoran atau gerai ini adalah Mat Teh Ikan Bakar, dan agak terkenal bagi penduduk di sekitar KL.

Mereka menawarkan pelbagai jenis ikan laut yang biasa kita lihat di mana-mana restoran ikan bakar seperti kembong, cencaru, pari dan makanan laut yang lain.

Bersebelahan dengan station LRT Dato Keramat, restoran ini mudah untuk ditemui. Cuma yang mungkin menjadi sedikit masalah untuk anda yang memandu kenderaan sendiri adalah tempat meletak kenderaan.

Sambal Hijau

Kita biasa lihat restoran nasi campur yang menghidangkan di antara 10 hingga ke 20 jenis lauk dan gulai untuk pelanggan mereka, tetapi di restoran Sambal Hijau Masjid Jamek, KL ini mereka menyediakan lebih dari 70 jenis lauk dan gulai termasuk masakan Minang untuk anda menjamu selera.

Restoran yang memang sudah lama dikenali ramai orang ini juga memiliki cawangannya di Sungai Penchala.

Bagi saya harga makanan mereka sedikit mahal dari restoran nasi campur yang lain, tetapi mungkin kerana rasa makanannya yang sedap, ramai yang tetap datang untuk makan di sana.

Mereka juga ada meletakkan tanda harga untuk setiap lauk yang ada, selain telus dalam perniagaan, ia juga memudahkan pelanggan untuk membuat kira-kira untuk makanan mereka.

Di sini anda harus datang lebih awal kerana kebanyakkan lauk mereka akan habis menjelang pukul 2 petang.

Raso Omak Den

Senarai makan sedap di KL yang terakhir ini adalah restoran yang menawarkan hidangan masakan asli dari Negeri Sembilan.

Bagi anda yang betul-betul teringin untuk menikmati hidangan asli negeri Sembilan seperti masak lemak cili api ini, saya memang mencadangkan Restoran Raso Omak Den yang beroperasi di Taman Melawati.

Pelbagai hidangan masak lemak yang anda boleh cuba seperti daging salai, ayam, udang dan bermacam-macam gulai lemak yang lain lagi.

Kalau anda dah muak dengan masak lemak pun tak mengapa, boleh saja datang ke restoran ini, sebab mereka juga ada menghidangkan bermacam lauk dan gulai masakan selain gulai lemak.

Kami harap dengan senarai pendek restoran makan sedap di KL ini dapat membantu anda sekeluarga untuk membuat pilihan yang terbaik. Semoga bermanfaat!

https://www.maisinggah.com/tempat-makan-menarik-di-kuala-lumpur/

error: Content is protected !!