Membuli sudah menjadi satu isu biasa walaupun dalam era yang moden ini. Zaman sekolah rendah, sekolah menengah, universiti mahupun zaman kerja, pasti ada sahaja cerita mengenai buli ini.
Apabila satu pihak mula merasakan bahawa dia lebih hebat dan ‘superior’ berbanding pihak satu lagi, ketika inilah segalanya bermula. Si pelaku akan terus membuli kerana ia memberi kepuasan apabila melihat si mangsa ketakutan dan mampu melakukan apa sahaja padanya.
Tidakkah anda berasa bimbang melihat kes-kes buli ini terutamanya yang melibatkan pelajar sekolah yang menendang dan menampar pelajar lain tanpa rasa bersalah? Namun, apa yang menghairankan adalah masih ada juga ibu bapa yang menidakkan keadaan itu terutamanya jika pesalah adalah anak mereka. Alasannya, anak mereka tidak sebegitu jika di rumah.
Bolehkah ia diterima begitu sahaja? Baru-baru ini, menurut laman web ‘World of Buzz’, terdapat seorang pelajar di Penang yang membunuh diri kerana tidak tahan dibuli oleh cikgunya sendiri. Bukankah ini sesuatu yang tidak masuk akal kerana seorang guru seharusnya memberikan tunjuk ajar yang baik bukan sebaliknya.
Terbaru, ada kes buli yang tular di media sosial melibatkan pelajar sekolah agama seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani. Si mangsa dibuli untuk menyiapkan kerja sekolah si pelaku dan disepak dan ditampar sekiranya tidak berbuat demikian. Jika pada umur muda sebegitu pun mereka sudah pandai membuli orang lain, apakah lagi yang boleh mereka lakukan pada masa hadapan?
Bagaimanakah perbuatan membuli memberi kesan pada kesihatan mental?
Jika anda dibuli, ia bukan sahaja boleh meninggalkan kecederaan fizikal sekiranya anda disepak ataupun ditampar, malah ia juga boleh menjejaskan kesihatan mental anda buat masa yang lama. Kesihatan mental yang terjejas adalah lebih berbahaya kerana ia tidak boleh dikesan dengan mata kasar begitu sahaja dan kebanyakannya tidak dirawat dan bertambah buruk.
Apakah proses psikologi yang berlaku jika anda dibuli?
- Berasa kecil dan sangat merendah diri – apabila dibuli, si mangsa selalu berasa bahawa keadaan dirinya sendiri menjadi punca yang membolehkan orang lain membulinya. Ketika ini, mangsa biasanya akan berasa sangat kerdil dan menurut apa sahaja yang dikatakan oleh si pelaku agar dirinya selamat.
- Sentiasa berada dalam ketakutan – mangsa yang dibuli biasanya akan berasa takut untuk berada di kawasan berhampiran dengan si pelaku. Contohnya seperti di sekolah mahupun di pejabat. Mereka biasanya akan memberi banyak alasan untuk tidak ke tempat-tempat itu untuk menghindari daripada berjumpa dengan si pelaku.
- Tidak mahu bergaul dengan orang lain – mangsa buli selalunya takut untuk bergaul dengan orang lain kerana takut akan dibuli oleh mereka juga. Walaupun tidak semua orang adalah pembuli, namun ianya masih menakutkan terutamanya jika mangsa sudah dibuli dalam tempoh yang lama.
- Fokus menjadi terganggu – apabila dibuli, anda biasanya akan mula tidak memberi perhatian dalam kelas mahupun ketika membuat kerja. Ini akan menyebabkan prestasi pelajaran atau pekerjaan merosot. Sebagai contoh, jika anda biasa dibuli di sekolah ketika waktu tamat persekolahan, anda pastinya akan berasa risau tentang apa yang akan berlaku nanti.
- Mempunyai pemikiran negatif – ini termasuklah mempunyai fikiran seperti ingin membunuh diri agar tidak lagi dibuli. Ia bukan sahaja dialami oleh golongan dewasa, malah ramai pelajar sekolah juga mempunyai pemikiran sama kerana sudah tidak tahan dibuli.
Jadi, apakah yang boleh kita lakukan?
Jika anda adalah seorang mangsa buli,
Tegakkan pendirian dan laporkan perkara itu kepada pihak yang lebih berkuasa. Jika di sekolah, laporkan ia pada guru disiplin atau pihak atasan sekolah. Jika di tempat kerja, laporkan ia pada pihak pengurusan syarikat anda.
Jika anda melihat kes buli,
Maklumkan tentang kes itu pada pihak yang betul. Jangan cuba untuk selesaikan ia dengan sendiri kerana ia mungkin mendatangkan bahaya buat diri anda. Ambil jalan yang betul agar anda boleh membantu si mangsa dan mengelakkan berlakunya kes buli lanjutan oleh si pelaku.
SUMBER