Semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, antara makanan yang terkenal termasuklah lemang dan rendang, kuih raya, ketupat dan banyak lagi. Jika dulu, ianya mudah sahaja untuk mendapatkan lemang terutama jika anda pulang ke kampung untuk beraya. Ia biasanya dijual di tepi-tepi jalan dan memeriahkan lagi suasana perayaan.
Malah, anda juga boleh membuatnya sendiri bersama dengan ahli keluarga memandangkan ia hanya memerlukan barangan yang mudah dicari terutama di kampung iaitu buluh.
Tetapi kini, memandangkan kita tidak dapat beraya seperti biasa tahun ini kerana wabak COVID-19, pastinya ia agak sukar untuk mendapatkan lemang terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Bukan sahaja ianya sukar untuk membeli lemang, malah mencari buluh di kawasan sebegini juga boleh jadi menyusahkan. Jadi, apa yang boleh kita lakukan?
Jangan bimbang kerana dalam artikel ini, anda boleh mempelajari cara mudah untuk membuat lemang anda sendiri tanpa perlu bersusah payah mencarinya di merata tempat.
Sekarang, jom kita lihat resepi mudah untuk menyediakan lemang di rumah.
Bahan yang diperlukan:
- Cawan kertas
- Santan kotak
- Beras pulut
- Daun pisang
Cara penyediaan:
- Basuh pulut dengan bersih dan tapiskannya.
- Masukkan daun pisang ke dalam cawan kertas dan bentukkannya mengikut bentuk cawan tersebut.
- Kemudian masukkan beras pulut yang telah ditapis ke dalam cawan tapi pastikan ia tidak terlalu penuh.
- Perasakan sedikit garam ke dalam santan sebelum dituangkan ke dalam cawan kertas tersebut.
- Jika anda mahukan ia rasa lebih berlemak, pastikan santan anda pekat dan letak lebih sedikit dari paras beras pulut mengikut kesukaan anda.
- Jangan ketuk cawan kertas untuk menjadikan ia mampat.
- Kukus cawan kertas tersebut selama 2 jam.
- Apabila pulut sudah masak, guntingkan cawan kertas tersebut dan keluarkan lemang anda.
- Potong lemang setelah ia sedikit sejuk dan ia sedia dihidangkan bersama rendang ataupun serunding.
Anda boleh melihat banyak percubaan untuk menyediakan lemang dalam cawan di media sosial seperti di Facebook dan Instagram untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang resepi ini.
SUMBER