Masalah rambut gugur hanya boleh menjejaskan kulit kepala anda atau seluruh badan anda. Ia boleh berlaku kerana faktor keturunan, perubahan hormon, keadaan perubatan atau pengambilan ubat-ubatan. Sesiapa sahaja boleh mengalami keguguran rambut, tetapi ia lebih biasa terjadi pada golongan lelaki.
Rambut tumbuh di mana-mana sahaja permukaan kulit manusia kecuali di telapak tangan dan tapak kaki, tetapi banyak rambut adalah sangat halus sehingga tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Rambut terhasil daripada protein yang dipanggil keratin yang dihasilkan dalam folikel rambut di lapisan luar kulit. Oleh kerana folikel menghasilkan sel rambut baru, sel-sel lama ditarik keluar melalui permukaan kulit pada kadar kira-kira enam inci setahun. Rambut yang anda dapat lihat sebenarnya adalah rentetan sel keratin yang sudah mati. Purata bagi kepala orang dewasa mempunyai kira-kira 100,000 hingga 150,000 rambut dan mengalami keguguran rambut sebanyak 100 rambut sehari. Oleh itu, menjumpai beberapa helai rambut pada sikat rambut anda tidak semestinya dilihat sebagai amaran.
Pada satu masa, kira-kira 90% rambut tumbuh pada kulit kepala seseorang. Setiap folikel mempunyai kitaran hidup tersendiri yang boleh dipengaruhi oleh umur, penyakit, dan pelbagai faktor lain. Kitaran hidup ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu:
- Anagen – pertumbuhan rambut aktif yang berlangsung antara dua hingga enam tahun.
- Catagen – pertumbuhan peralihan rambut yang berlangsung dua hingga tiga minggu.
- Telogen – fasa rehat yang berlangsung selama dua hingga tiga bulan; pada akhir fasa ini, rambut akan mengalami keguguran dan rambut baru akan menggantikannya dan kitaran pertumbuhan bermula lagi.
Keadaan kepala botak biasanya merujuk kepada kehilangan rambut yang berlebihan dari kulit kepala anda. Keguguran rambut kerana keturunan ditambahkan dengan usia yang meningkat adalah penyebab keadaan kepala botak yang paling biasa. Sesetengah orang lebih suka membiarkan keguguran rambut mereka berjalan tanpa dirawat dan tidak dilindung. Namun, ada juga yang menutupinya dengan gaya rambut, solekan, topi atau selendang. Bagi yang lain pula, memilih salah satu rawatan yang tersedia dilakukan bagi mengelakkan rambut gugur dan memulihkan pertumbuhan rambut.
Jenis Rambut Gugur
Terdapat banyak jenis keguguran rambut, yang juga dikenali sebagai ‘alopecia’ seperti:
-
Alopesia involusional
Ini adalah keadaan semula jadi di mana rambut secara beransur-ansur menipis apabila usia meningkat. Lebih banyak folikel rambut masuk ke fasa rehat, dan rambut yang tinggal menjadi lebih pendek dan berkurangan.
-
Alopesia androgenik
Ini adalah keadaan genetik yang boleh menjejaskan kedua-dua lelaki dan wanita. Lelaki dengan keadaan ini yang dipanggil corak botak lelaki, boleh mula mengalami keguguran rambut seawal usia remaja atau awal 20-an. Ia dicirikan oleh garis rambut yang surut dan kehilangan rambut secara beransur-ansur dari mahkota dan bahagian hadapan kulit kepala. Bagi wanita dengan keadaan ini pula, ia dipanggil corak botak wanita dan tidak mengalami penipisan yang ketara sehingga umur 40 tahun atau lebih. Wanita yang terlibat akan mengalami penipisan umum di seluruh kulit kepala, dengan kehilangan rambut yang paling luas di mahkota.
-
Alopesia areata
Ia sering bermula secara tiba-tiba dan menyebabkan keguguran rambut pada kanak-kanak dan belia. Keadaan ini boleh mengakibatkan botak secara penuh (alopecia totalis). Tetapi, kira-kira 90% orang dengan keadaan itu mengalami pertumbuhan rambut kembali dalam masa beberapa tahun.
-
Alopesia universal
Ia menyebabkan semua rambut pada tubuh gugur, termasuklah bulukening, bulu mata, dan bulu kemaluan.
-
Trichotillomania
Keadaan yang paling banyak dilihat pada kanak-kanak iaitu sejenis gangguan psikologi di mana seseorang menarik rambutnya sendiri.
-
Telogen effluvium
Ia adalah penipisan rambut sementara di kulit kepala yang berlaku kerana perubahan dalam kitaran pertumbuhan rambut. Sebilangan besar rambut memasuki fasa rehat pada masa yang sama, menyebabkan rambut mereput dan menjadi nipis.
-
Alopesia berparut
Ia menyebabkan kehilangan rambut secara kekal. Keadaan kulit yang keradangan (selulitis, folikulitis, jerawat), dan gangguan kulit yang lain (seperti beberapa bentuk lupus dan lichen planus) sering meninggalkan parut yang menghalang keupayaan rambut untuk tumbuh semula. Rambut yang terdedah pada panas dan rambut diikat terlalu ketat dan ditarik juga boleh menyebabkan kehilangan rambut secara kekal.
Punca Rambut Gugugr
Biasanya, individu kehilangan sekitar 100 rambut setiap hari. Ini biasanya tidak menyebabkan penipisan rambut ketara pada kepala kerana rambut baru tumbuh pada masa yang sama. Keguguran rambut berlaku apabila kitaran pertumbuhan rambut dan pengguguran rambut terganggu atau apabila folikel rambut dimusnahkan dan diganti dengan tisu parut.
Keguguran rambut biasanya berkaitan dengan satu atau lebih faktor berikut:
- Hormon seperti tahap androgen yang tidak normal (hormon lelaki yang biasanya dihasilkan oleh lelaki dan wanita).
- Gen daripada kedua ibu bapa lelaki dan wanita dan mungkin boleh mempengaruhi kecenderungan seseorang terhadap pola kebotakan lelaki atau perempuan.
- Tekanan, penyakit dan kelahiran boleh menyebabkan kehilangan rambut sementara. Kurap yang disebabkan oleh jangkitan kulat juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
- Dadah termasuk ubat kemoterapi yang digunakan dalam rawatan kanser, penipisan darah, penghalang beta-adrenergik yang digunakan untuk mengawal tekanan darah, dan pil kawalan kelahiran juga boleh menyebabkan kehilangan rambut sementara.
- Kesan terbakar, kecederaan, dan X-ray boleh menyebabkan kehilangan rambut sementara. Dalam kes sedemikian, pertumbuhan rambut biasa biasanya kembali apabila kecederaan sembuh melainkan parut dihasilkan. Jadi, rambut tidak akan tumbuh semula.
- Penyakit Autoimun boleh menyebabkan alopesia Dalam keadaan alopesia areata, sistem imun akan ditingkatkan untuk sebab yang tidak diketahui dan mengganggu folikel rambut. Bagi kebanyakan individu dengan keadaan sebegini, rambut itu akan tumbuh semula, walaupun ia hanya elok buat sementara dan berkemungkinan berwarna lebih cerah daripada warna rambut biasa dan sama tebal.
- Prosedur kosmetik seperti mencuci rambut menggunakan ‘shampoo’ terlalu kerap, perm, pelunturan, dan mewarnakan rambut boleh menyumbang kepada penipisan rambut keseluruhan dengan membuat rambut jadi lemah dan rapuh. Ikatan rambut terlalu ketat, menggunakan ‘roller’ atau ‘curlers’ panas, dan menyikat rambut dalam keadaan kerinting ketat juga boleh merosakkan rambut. Walau bagaimanapun, prosedur ini tidak menyebabkan kebotakan. Dalam kebanyakan keadaan, rambut tumbuh seperti biasanya apabila sumber masalah dicegah. Namun, kerosakan teruk pada rambut atau kulit kepala kadang-kadang menyebabkan kawasan botak yang kekal.
- Keadaan perubatan seperti penyakit tiroid, lupus, diabetes, anemia yang kekurangan zat besi, gangguan makan, dan anemia boleh menyebabkan keguguran rambut. Pada kebanyak masa, apabila keadaan tersebut dirawat, rambut akan kembali kecuali jika terdapat parut seperti dalam beberapa bentuk lupus, lichen planus atau gangguan folikel.
- Diet yang rendah protein atau diet yang sangat terhad kalori juga boleh menyebabkan kehilangan rambut sementara.
Simptom Rambut Gugur
Tanda-tanda dan gejala keguguran rambut mungkin termasuk:
- Penipisan secara berperingkat di atas kepala.
Ini adalah jenis keguguran rambut yang paling biasa, yang menjejaskan kedua-dua lelaki dan wanita semakin mereka berumur. Pada lelaki, rambut mula berkurangan daripada kawasan dahi dalam barisan yang menyerupai huruf M. Wanita pula biasanya mengekalkan garis rambut di dahi tetapi mempunyai bahagian luas rambut mereka.
- Bahagian botak yang bulat atau jarang.
Sesetengah orang mengalami bahagian botak yang licin dan berkilat. Ini meruapakan jenis keguguran rambut yang biasanya hanya mempengaruhi kulit kepala, tetapi boleh juga berlaku di bahagian janggut atau kening. Dalam sesetengah kes, kulit anda mungkin menjadi gatal atau menyakitkan sebelum rambut gugur.
- Rambut longgar dari akarnya.
Kejutan fizikal atau emosi boleh menyebabkan rambut menjadi longgar. Segenggam rambut boleh gugur apabila menyikat atau mencuci rambut anda atau selepas penarikan lembut. Ini merupakan keguguran rambut yang biasanya menyebabkan penipisan rambut secara keseluruhan dan bukannya botak.
- Kerosakan rambut penuh.
Sesetengah keadaan dan rawatan perubatan, seperti kemoterapi untuk kanser, boleh mengakibatkan kehilangan rambut di seluruh badan anda. Rambut biasanya akan tumbuh kembali.
- Tompokan besar yang merebak di atas kulit kepala.
Ini adalah tanda penyakit kurap. Ia mungkin disertai oleh rambut yang rosak, kemerahan, bengkak dan kadang kala, berkudis.
Faktor Risiko Rambut Gugur
Beberapa faktor boleh meningkatkan risiko kehilangan rambut, termasuklah:
- Sejarah keluarga botak, sama ada dari keluarga ibu atau bapa anda.
- Umur.
- Kehilangan berat badan yang ketara.
- Keadaan perubatan tertentu, seperti diabetes dan lupus.
- Tekanan.
Langkah Pencegahan Rambut Gugur
Kebanyakan masalah botak berlaku kerana genetik (corak botak lelaki dan corak botak bagi wanita). Jenis rambut gugur ini tidak boleh dicegah.
Petua di bawah ini boleh membantu anda mengelakkan pengguguran rambut seperti:
- Elakkan gaya rambut yang ketat, seperti ‘braids’, ‘buns’ atau’ponytail’.
- Elakkan bermain, menggosok atau menarik rambut anda secara paksa.
- Rawat rambut anda perlahan-lahan ketika mencuci dan memberus rambut. Sikat lebar bergigi boleh membantu mencegah rambut gugur.
- Elakkan rawatan kasar seperti penggelek panas, besi lencong, rawatan minyak panas dan ‘perms’.
- Elakkan daripada mengambil ubat-ubatan dan suplemen yang boleh menyebabkan keguguran rambut.
- Lindungi rambut anda dari cahaya matahari dan sumber cahaya ultraviolet lain.
- Berhenti merokok. Sesetengah kajian menunjukkan hubungan antara merokok dan botak pada lelaki.
- Sekiranya anda dirawat dengan kemoterapi, tanya doktor anda mengenai topi penyejuk. Topi ini boleh mengurangkan risiko kehilangan rambut semasa kemoterapi.
Sumber
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hair-loss/symptoms-causes/syc-20372926
https://www.healthline.com/health/hair-loss