Apabila anda mengalami masalah lemah kawalan kencing atau ‘urinary incontinence‘, pundi kencing anda tidak dapat menahan atau mengeluarkan air kencing dengan cara yang sepatutnya. Ini bermakna anda sering mengeluarkan air kencing secara tidak sengaja. Ini berlaku kerana:
- Otak anda tidak memberi isyarat dengan betul pada pundi kencing.
- Sistem kencing anda tersumbat.
- Otot di sekeliling pundi kencing anda tidak berfungsi dengan baik.
Terdapat pelbagai jenis masalah lemah kawalan kencing. Ada sesetengahnya dihidapi oleh golongan lelaki lelaki berbanding wanita. Ia juga berlaku lebih kerap pada individu yang berumur, tetapi biasanya masih boleh dirawat.
Jenis-Jenis Masalah Lemah Kawalan Kencing
Masalah lemah kawalan kencing biasanya dikaitkan dengan penyebab seperti:
– Masalah lemah kawalan kencing akibat tekanan (Stress incontinence):
Air kencing keluar tanpa sengaja semasa batuk, ketawa atau melakukan aktiviti seperti berlari atau melompat
– Masalah lemah kawalan kencing akibat dorongan yang kuat (Urge incontinence):
Dorongan yang mendadak dan kuat untuk membuang air kencing mengakibatkan pengeluaran air kencing tanpa sengaja pada masa yang sama atau selepas itu.
– Pundi kencing yang terlampau penuh (Overflow incontinence):
Ketidakupayaan untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya boleh mengakibatkan kebocoran.
– Masalah lemah kawalan kencing kerana faktor penyimpanan (Total incontinence):
Pundi kencing tidak dapat menyimpan air kencing.
– Menahan air kencing (Functional incontinence):
Pengeluaran air kencing kerana seseorang tidak ke tandas dengan segera pada masa yang sepatutnya. Ini biasanya terjadi kerana masalah pergerakan.
– Gabungan beberapa jenis masalah lemah kawalan kencing (Mixed incontinence):
Gabungan beberapa jenis masalah lemah kawalan kencing.
Punca Masalah Lemah Kawalan Kencing
Punca dan jenis masalah lemah kawalan kencing adalah berkait rapat.
– Masalah lemah kawalan kencing akibat tekanan (Stress incontinence)
Faktornya adalah:
- Kehamilan dan bersalin.
- Menopaus, kerana bilangan hormon estrogen yang menurun menyebabkan otot menjadi lemah.
- Histerektomi dan beberapa prosedur pembedahan lain.
- Umur.
- Obesiti.
– Masalah lemah kawalan kencing akibat dorongan yang kuat (Urge incontinence)
Punca-punca yang dikatakan dapat menggalakkan masalah lemah kawalan kencing jenis ini adalah seperti:
- Sistitis, keradangan pada lapisan pundi kencing.
- Keadaan neurologi, seperti kepelbagaian sklerosis, angin ahmar (stroke) dan penyakit Parkinson.
- Pembesaran prostat, yang boleh menyebabkan pundi kencing jatuh dan uretra meradang.
– Pundi kencing yang terlampau penuh (Overflow incontinence)
Ini berlaku apabila terdapat halangan atau penyumbatan pada pundi kencing. Berikut boleh menyebabkan halangan seperti:
- Kelenjar prostat yang membesar.
- Tumor yang menekan pundi kencing.
- Batu karang.
- Sembelit.
- Pembedahan masalah pundi kencing yang berlebihan
– Masalah lemah kawalan kencing kerana faktor penyimpanan (Total incontinence)
Ini boleh terjadi disebabkan:
- Kecacatan anatomi yang wujud sejak lahir.
- Kecederaan saraf tunjang yang merosakkan isyarat saraf antara otak dan pundi kencing.
- Fistula, apabila tiub atau saluran berkembang antara pundi kencing dan kawasan berdekatan seperti faraj.
– Punca lain
Punca lain termasuklah:
- Penggunaan ubat-ubatan, terutamanya beberapa jenis diuretik, ubat anti-hipertensi, pil tidur, ubat penenang dan ubat melegakan otot.
- Pengambilan minuman keras.
- Jangkitan pada saluran kencing.
Simptom Masalah Lemah Kawalan Kencing
Simptom utama adalah pengeluaran air kencing yang tidak disengajakan (kebocoran). Bila dan bagaimana keadaan ini berlaku bergantung pada jenis masalah lemah kawalan kencing yang dihidapi.
– Masalah lemah kawalan kencing akibat tekanan (Stress incontinence)
Ini adalah jenis masalah lemah kawalan kencing yang paling biasa terjadi, terutamanya dalam kalangan wanita yang telah melahirkan atau melalui fasa menopaus.
Dalam kes ini, “tekanan” merujuk kepada tekanan fizikal dan bukannya tekanan mental. Apabila pundi kencing dan otot yang terlibat dalam kawalan kencing diletakkan di bawah tekanan tambahan secara tiba-tiba, individu akan membuang air kencing secara tidak sukarela.
Tindakan seperti di bawah boleh mencetuskan masalah lemah kawalan kencing jenis ini termasuklah:
- Batuk, bersin atau ketawa.
- Angkat berat.
- Senaman.
– Masalah lemah kawalan kencing akibat dorongan yang kuat (Urge incontinence)
Ini juga dikenali sebagai ‘reflex incontinence’ atau “pundi kencing yang terlalu aktif” dan merupakan jenis masalah lemah kawalan kencing kedua yang lazim dihidapi. Terdapat pengecutan pada dinding otot pundi kencing secara tiba-tiba dan menyebabkan keinginan untuk membuang air kecil tidak dapat dihentikan.
Apabila keinginan untuk buang air kecil datang, individu mempunyai masa yang sangat singkat sebelum air kencing dilepaskan, tidak kira apa yang mereka cuba lakukan. Dorongan untuk membuang air kecil mungkin berlaku disebabkan oleh:
- Perubahan kedudukan yang mendadak.
- Mendengar bunyi air yang mengalir.
- Seks, terutamanya semasa klimaks.
Otot pundi kencing boleh diaktifkan secara tidak sukarela kerana kerosakan yang terjadi pada saraf pundi kencing, sistem saraf atau pada otot itu sendiri.
– Pundi kencing yang terlampau penuh (Overflow incontinence)
Ini lebih biasa terjadi pada lelaki dengan masalah kelenjar prostat, pundi kencing yang rosak atau uretra yang tersumbat. Pembesaran kelenjar prostat juga boleh menyebabkan halangan pada pundi kencing. Selain itu, pundi kencing yang tidak dapat menampung penghasilan air kencing yang banyak, atau pundi kencing yang tidak dapat membuang air kencing sepenuhnya boleh menyebabkan berlakunya sedikit kebocoran air kencing.
Kebiasaannya, pesakit perlu membuang air kencing secara kerap dan mereka mungkin mengalami “dribbling” atau air kencing yang menitis secara berterusan daripada uretra.
– Gabungan beberapa jenis masalah lemah kawalan kencing (Mixed incontinence)
Berlakunya tanda-tanda daripada kedua-dua jenis masalah lemah kawalan kencing akibat tekanan dan juga akibat dorongan yang kuat.
– Menahan air kencing (Functional incontinence)
Dalam keadaan masalah lemah kawalan kencing jenis ini, individu sedar dan peka akan rasa untuk membuang air kecil, tetapi tidak boleh ke tandas pada waktunya kerana masalah pergerakan.
Penyebab umum individu menahan air kencing adalah kerana:
- Kecelaruan.
- Demensia.
- Penglihatan atau pergerakan yang lemah.
- Kurang cekap menggunakan tangan sehingga sukar untuk menanggalkan seluar.
- Kemurungan, kebimbangan, atau kemarahan yang boleh mengakibatkan keengganan untuk pergi ke tandas.
Keadaan menahan air kencing ini lebih lazim berlaku dalam kalangan orang tua dan merupakan perkara biasa di rumah kebajikan.
– Masalah lemah kawalan kencing kerana faktor penyimpanan (Total incontinence)
Jenis ini berlaku apabila individu merasakan keinginan untuk membuang air kencing secara kerap atau mengalami pembuangan air kencing dalam jumlah yang tidak terkawal secara berkala.
Pesakit mungkin mengalami masalah kongenital (lahir dengan kecacatan), kecederaan pada saraf tunjang atau sistem kencing, atau juga mungkin mempunyai lubang (fistula) di antara pundi kencing atau bahagian lain misalnya, faraj.
Diagnosis Masalah Lemah Kawalan Kencing
Cara untuk mendiagnosis masalah lemah kawalan kencing termasuklah:
- Diari pundi kencing: Individu boleh mencatat berapa banyak air yang diminum, berapa kali membuang air kencing, berapa banyak air kencing yang dihasilkan dan berapa banyak keadaan kebocoran air kencing yang berlaku.
- Ujian fizikal: Doktor boleh memeriksa faraj dan kekuatan otot pelvis. Selain itu, doktor juga boleh memeriksa rektum pesakit lelaki, untuk menentukan sama ada berlakunya pembesaran pada kelenjar prostat.
- Pengukuran ‘Postvoid Residual’: Ujian dilakukan untuk menilai berapa banyak air kencing yang tersisa dalam pundi kencing selepas individu kencing.
- Ultrabunyi pelvis: Ini akan memberikan imej yang boleh membantu mengesan apa-apa kelainan.
- Ujian ketegangan: Pesakit akan diminta untuk memberikan tekanan secara tiba-tiba sementara doktor mengenal pasti jumlah air kencing yang dilepaskan.
- Ujian urodinamik: Ini menentukan berapa banyak tekanan dapat ditampung pundi kencing dan otot ‘urethral sphincter’.
- Sistogram (Cystogram): Prosedur sinar-X boleh menyediakan imej pundi kencing.
- Sistoskopi (Cystoscopy): Tiub nipis dengan lensa di hujungnya dimasukkan ke dalam uretra. Doktor akan melihat jika ada sebarang kelainan dalam saluran kencing.
Faktor Risiko Masalah Lemah Kawalan Kencing
Berikut adalah faktor-faktor risiko yang berkaitan dengan masalah lemah kawalan kencing:
- Obesiti: Ini boleh memberikan tekanan tambahan pada pundi kencing dan otot-otot di sekitarnya. Selain itu, ia dapat melemahkan otot dan menghasilkan kebocoran yang lebih besar apabila individu bersin atau batuk.
- Merokok: Ini boleh mengakibatkan batuk yang kronik dan mungkin menyebabkan pengeluaran air kencing secara tidak sukarela yang berulang.
- Jantina: Wanita mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengalami masalah lemah kawalan kencing berbanding lelaki, terutama sekali jika mereka mengandung.
- Usia tua: Otot-otot dalam pundi kencing dan uretra mula menjadi lemah apabila usia meningkat.
- Sesetengah penyakit dan keadaan: Diabetes, penyakit buah pinggang, kecederaan saraf tunjang dan penyakit neurologi seperti strok boleh meningkatkan risiko penyakit ini.
- Penyakit prostat: Masalah lemah kawalan kencing boleh terjadi selepas pembedahan prostat atau terapi radiasi.
Rawatan Masalah Lemah Kawalan Kencing
Rawatan bergantung pada beberapa faktor, seperti jenis masalah lemah kawalan kencing, usia pesakit, keadaan kesihatan umum dan keadaan mental mereka.
– Latihan otot pelvis
Latihan otot pelvis, yang juga dikenali sebagai latihan Kegel membantu menguatkan ‘urethral sphincter’ dan otot pelvis. Otot inilah yang membantu mengawal pengeluaran air kencing.
– Latihan pundi kencing
- Menangguhkan kejadian: Matlamatnya adalah untuk mengawal rasa hendak terkencing. Pesakit akan belajar bagaimana untuk melambatkan pengeluaran air kencing apabila terdapat rasa untuk berbuat demikian.
- ‘Double voiding’: Ini melibatkan individu untuk kencing pada pertama kali, kemudian menunggu selama beberapa minit, kemudian akan kencing sekali lagi.
- Jadual waktu tandas: Individu boleh menjadualkan untuk pergi ke tandas pada waktu yang ditetapkan pada siang hari, sebagai contoh setiap 2 jam sekali.
Latihan pundi kencing membantu pesakit mengembalikan kawalan ke atas pundi kencing mereka secara beransur-ansur.
– Penggunaan ubat-ubatan
Penggunaan ubat biasanya digabungkan dengan teknik atau latihan yang lain. Ubat-ubatan berikut ditetapkan untuk merawat masalah lemah kawalan kencing seperti:
- Anticholinergics dapat menenangkan pesakit yang terlalu aktif dan boleh membantu pesakit yang mengalami dorongan kuat untuk membuang air kencing.
- Estrogen topikal boleh menguatkan tisu di kawasan uretra dan faraj serta mengurangkan beberapa simptom.
- Imipramine (Tofranil) adalah ubat anti-depresan.
– Peranti perubatan
Peranti perubatan berikut direka khas untuk wanita.
- Sisipan Urethral: Seorang wanita boleh memasukkan peranti itu sebelum melakukan sebarang aktiviti dan mengeluarkannya semula apabila dia mahu membuang air kecil.
- ‘Pessary’: Cincin yang tidak bergerak dimasukkan ke dalam faraj dan dipakai sepanjang hari. Ia dapat membantu memegang pundi kencing dan mencegah daripada berlaku kebocoran.
- Terapi frekuensi radio (radiofrequency therapy): Tisu pada bahagian bawah saluran kencing akan dipanaskan. Apabila tisu itu sudah sembuh, ia biasanya menjadi lebih teguh dan memberikan kawalan kencing yang lebih baik.
- Botox (botulinum toxin type A): Bahan tertentu disuntik ke dalam otot pundi dan boleh membantu pundi yang terlalu aktif.
- Agen pembesaran (bulking agent): Bahan tertentu disuntik ke dalam tisu sekitar uretra agar uretra dapat kekal dalam posisi tertutup.
- Perangsang saraf ‘sacral’ (sacral nerve stimulator): Perangsang ini ditanam di bawah kulit bahagian punggung. Wayar akan menghubungkannya kepada saraf yang melalui saraf tunjang untuk ke bahagian pundi. Seterusnya, wayar itu akan mengeluarkan denyutan elektrik yang akan merangsang saraf untuk mengawal pundi tersebut.
– Pembedahan
Pembedahan merupakan satu pilihan sekiranya rawatan lain tidak berkesan. Wanita yang berhasrat untuk mempunyai anak haruslah berbincang dengan pakar perubatan sebelum membuat sebarang keputusan.
- Prosedur ‘sling’: ‘Mash’ dimasukkan di bawah bahagian pundi untuk menyokong uretra dan menghalang air kencing daripada menitis keluar.
- ‘Colposuspension’: Bahagian pundi yang diangkat sedikit boleh melegakan masalah lemah kawalan kencing yang berlaku kerana tekanan yang dialami.
- ‘Sphincter’ buatan: ‘Sphincter’ buatan atau injap boleh dimasukkan untuk mengawal aliran air kencing daripada pundi ke dalam uretra.
– Rawatan lain
- Kateter urin (Urinary Catheter): Tiub daripada pundi yang melalui uretra dan keluar daripada badan melalui beg boleh digunakan untuk mengumpulkan air kencing.
- Pad penyerap (Absorbent pads): Terdapat banyak jenis pad penyerap yang boleh didapati di farmasi, pasar raya atau di Internet.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/urinary-incontinence/symptoms-causes/syc-20352808
https://www.healthline.com/health/urinary-incontinence
https://www.webmd.com/urinary-incontinence-oab/types-of-urinary-incontinence