Kecederaan diri yang tidak membunuh, sering kali dipanggil sebagai kecederaan diri sendiri. Ia berlaku apabila anda secara sengaja mencederakan diri sendiri dengan menoreh atau membakar diri sendiri. Ia biasanya tidak dimaksudkan sebagai percubaan untuk bunuh diri. Sebaliknya, jenis kecederaan diri ini adalah cara berbahaya untuk mengatasi kesakitan emosi, kemarahan dan kekecewaan yang mendalam.
Walaupun kecederaan diri mungkin menyebabkan anda rasa tenang dan boleh melepaskan tekanan, ia biasanya diikuti dengan perasaan bersalah dan memalukan serta kembalinya emosi yang menyakitkan itu. Selain itu, kecederaan diri sendiri ini mungkin boleh meragut nyawa sekiranya ia dilakukan dengan tindakan yang agresif.
Simptom Mencederakan diri sendiri
Jika anda merasakan bahawa rakan atau saudara anda mencederakan diri mereka sendiri, perhatikan tanda-tanda berikut:
- Luka yang tidak dapat dijelaskan, lebam atau luka daripada puntung rokok, biasanya pada pergelangan tangan, lengan, paha dan dada mereka.
- Sentiasa berpakaian bertutup secara sepenuhnya, walaupun dalam cuaca panas.
- Tanda-tanda kemurungan, seperti tiada ‘mood’, cepat menangis atau kekurangan motivasi atau minat dalam apa-apa perkara.
- Meluat dan menyatakan hasrat untuk menghukum diri sendiri.
- Tidak mahu meneruskan kehidupan dan ingin mengakhiri segalanya.
- Mengasingkan diri dan tidak bercakap dengan orang lain.
- Tanda-tanda merendah diri, seperti menyalahkan diri mereka untuk sebarang masalah atau berfikir bahawa mereka tidak cukup baik.
- Tanda-tanda seperti mereka telah menarik rambut mereka.
Individu yang membahayakan diri sendiri boleh mencederakan diri mereka dengan serius, jadi ianya penting bagi mereka untuk bercakap dengan pakar seperti pakar psikologi tentang isu asas dan meminta rawatan atau terapi yang dapat membantu menangani masalah tersebut.
Punca Mencederakan diri sendiri
Individu yang mencederakan diri biasanya melaporkan bahawa mereka berasa kosong, lebih atau kurang dirangsang, tidak dapat menyatakan perasaan mereka, kesepian, tidak difahami oleh orang lain dan takut akan hubungan intim serta tanggungjawab menjadi orang dewasa. Jadi, mencederakan diri adalah cara bagi mereka untuk mengatasi atau melepaskan perasaan yang menyakitkan atau susah untuk diekspresikan. Namun, kecederaan ini biasanya bukanlah satu usaha untuk membunuh diri.
Kelegaan yang dirasai adalah sementara, dan kitaran mencederakan diri sendiri ini sering terjadi tanpa rawatan yang sewajarnya. Perasaan mahu mencederakan diri sendiri juga boleh menjadi cara untuk mengawal tubuh badan anda apabila anda tidak lagi dapat mengawal perkara lain dalam kehidupan ini. Kebayakan orang yang mencederakan diri juga mempunyai gangguan makan.
Apabila terlibat dalam proses ingin mencederakan diri sendiri, individu biasanya berhasrat untuk:
- Dapatkan kelegaan daripada perasaan negatif atau keadaan mental.
- Menyelesaikan kesukaran interpersonal, seperti perselisihan dengan rakan atau orang yang disayangi.
- Berurusan dengan masalah intrapersonal, seperti rasa kebosanan.
- Menggalakkan perasaan positif.
Diagnosis Mencederakan diri sendiri
Walaupun sesetengah orang mungkin meminta pertolongan, kadangkala kecederaan diri boleh dikesan oleh ahli keluarga atau rakan-rakan. Seorang doktor yang melakukan pemeriksaan perubatan rutin juga mungkin dapat melihat tanda-tanda tertentu, seperti parut atau kecederaan baharu.
Tiada ujian diagnostik bagi mengesan masalah mencederakan diri sendiri ini. Diagnosis hanya dapat dibuat berdasarkan penilaian fizikal dan psikologi. Anda boleh dirujuk kepada seorang pakar kesihatan mental yang berpengalaman dalam merawat masalah kecederaan diri untuk diberi penilaian.
Selain itu, pakar kesihatan mental juga boleh menilai anda untuk gangguan kesihatan mental lain yang mungkin dikaitkan dengan keinginan untuk mencederakan diri sendiri, seperti kemurungan atau gangguan personaliti. Dalam proses sedemikian, penilaian yang dibuat boleh termasuk prosedur tambahan, seperti soal selidik atau ujian psikologi.
Faktor Risiko Mencederakan diri sendiri
Kebanyakan orang yang mencederakan diri sendiri adalah golongan remaja dan individu yang baru meningkat dewasa. Namun, golongan umur yang lain juga cenderung untuk mencederakan diri mereka sendiri. Seterusnya, kecederaan diri sendiri ini sering kali bermula pada usia sebelum remaja atau semasa remaja, ketika emosi mereka sedang tidak menentu dan mengalami tekanan daripada rakan sebaya, kesunyian ataupun mempunyai konflik dengan ibu bapa atau individu lain.
Faktor tertentu boleh meningkatkan risiko kecederaan diri, termasuk:
- Mempunyai rakan-rakan yang mencederakan diri sendiri. Individu yang mempunyai rakan-rakan yang sengaja membahayakan diri mereka lebih cenderung untuk mula mencederakan diri.
- Isu kehidupan. Sesetengah orang yang mencederakan diri mereka telah diabaikan secara seksual, fizikal atau emosional atau mengalami kejadian traumatik yang lain. Mereka mungkin sedang membesar dan masih berada dalam persekitaran keluarga yang tidak stabil, atau mungkin merupakan remaja yang mempersoalkan identiti peribadi atau seksualiti mereka. Di samping itu, sesetengah orang yang mencederakan diri adalah individu yang tidak suka bersosial dengan orang lain.
- Isu kesihatan mental. Orang yang mencederakan diri lebih cenderung menjadi kritikal dengan diri sendiri dan sukar menyelesaikan masalah. Di samping itu, mencederakan diri sendiri biasanya dikaitkan dengan gangguan mental tertentu seperti gangguan personaliti, kemurungan, gangguan kebimbangan, gangguan tekanan selepas trauma dan gangguan makan.
- Pengambilan minuman keras atau dadah. Orang yang membahayakan diri sendiri sering melakukannya ketika berada di bawah pengaruh minuman keras atau dadah yang terlarang.
Rawatan Mencederakan diri sendiri
Sekiranya seseorang menunjukkan tanda-tanda dan gejala mencederakan diri mereka sendiri, seorang pakar kesihatan mental yang mahir dalam aspek perlu dirujuk. Pemeriksaan atau penilaian adalah langkah pertama, diikuti dengan kursus rawatan yang disyorkan untuk mengelakkan kitaran merosakkan diri daripada semakin berterusan.
Pilihan rawatan kecederaan diri sendiri termasuklah terapi pesakit luar, pesakit separa (6-12 jam sehari) dan kemasukan ke hospital. Apabila tingkah laku ini mengganggu kehidupan harian seperti pekerjaan dan hubungan, serta boleh mengancam kesihatan atau nyawa, program hospital berkaitan masalah mencederakan diri yang khusus dengan kakitangan berpengalaman akan disyorkan.
Tambahan pula, rawatan bagi masalah kecederaan diri yang berkesan adalah gabungan ubat-ubatan, terapi kognitif/ tingkah laku serta terapi interpersonal, ditambahkan dengan perkhidmatan rawatan lain yang diperlukan.
- Penggunaan ubat sering digunakan untuk menguruskan masalah kemurungan, kegelisahan, kelakuan obsesif-kompulsif serta pemikiran pelik yang mungkin mendorong individu untuk mencederakan diri sendiri.
- Terapi kognitif/ tingkah laku boleh membantu individu memahami dan menguruskan fikiran serta tingkah laku mereka yang salah. Kontrak, jurnal dan log tingkah laku adalah cara yang berguna untuk mendapatkan kawalan diri anda semula.
- Terapi interpersonal dapat membantu individu mendapatkan wawasan dan kemahiran mengembangkan dan memelihara hubungan.
Perkhidmatan bagi gangguan makan, minuman keras/ penyalahgunaan bahan, trauma, penderaan dan terapi keluarga harus tersedia dan dimasukkan ke dalam pelan rawatan, bergantung kepada keperluan individu.
Kursus rawatan yang berjaya boleh ditandakan dengan:
- Penglibatan aktif dan komitmen daripada individu terhadap rawatan yang dibuat.
- Mempunyai pelan penjagaan dengan sokongan untuk kemahiran dan tingkah laku diri sendiri yang baharu.
- Kerjasama antara semua pakar yang terlibat (perubatan dan lain-lain).
SUMBER
https://www.webmd.com/anxiety-panic/guide/self-injuring-hurting
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/self-injury/symptoms-causes/syc-20350950