Badan kita mempunyai had yang tertentu dalam penggunaan sehari-hari. Seperti alat elektronik yang mempunyai bateri tersendiri, begitu jugalah badan kita ini. Anda pasti pernah melalui keadaan di mana bateri anda cepat habis apabila anda berterusan menggunakan alat elektronik anda tanpa henti bukan?
Jadi, perkara sama juga diaplikasikan kepada badan kita. Jika ia digunakan tanpa rehat yang mencukupi, ia boleh menyebabkan kepenatan melampau sehingga boleh menyebabkan kematian.
Dalam satu kes baru-baru ini, seorang bapa yang bekerja keras menjual ais krim maut semasa tidur di atas motornya kerana keletihan. Perkara ini dibincangkan dalam laman web ‘MCGILLMedia’ yang mengatakan individu bernama Misyanto dan berumur 66 tahun itu dijumpai telah meninggal dunia di atas motor yang digunakan untuk membantunya menyara keluarga.
Situasi ini yang berlaku di Timur Jawa ini mengundang rasa sedih memandangkan si bapa masih berusaha mencari nafkah buat keluarga walaupun dirinya sendiri sering sakit. Begitulah kasihnya seorang bapa demi kesejahteraan keluarganya.
Mencari nafkah bagi menyara diri dan keluarga
Dalam era yang semakin hari semakin membangun, kos sara hidup juga bertambah tinggi setiap hari. Ini memerlukan masyarakat bekerja keras untuk menyara diri sendiri dan keluarga agar dapat meneruskan kehidupan yang baik. Namun, ini juga bermakna terpaksa bekerja lebih masa atau membuat dua/ tiga kerja setiap hari.
Demi mendapatkan wang, kesihatan badan diabaikan. Walhal, badan kitalah yang patut diberi perhatian kerana jika kita sakit, bagaimana kita boleh keluar mencari rezeki?
Di Jepun, satu terma yang dikenali sebagai ‘Karōshi’ atau bermaksud kematian kerana terlebih kerja adalah satu fenomena yang biasa di negara itu. Masyarakat Jepun sememangnya kuat bekerja dan memberikan seluruh jiwa raga dalam pekerjaan yang dilakukan hingga membahayakan nyawa sendiri. Terma itu kini makin dilihat di seluruh dunia terutama di negara-negara yang pesat membangun.
Jadi, adakah kita menempah maut apabila menjadi terlalu penat?
Bagaimana kepenatan yang melampau boleh menyebabkan kematian?
Apabila anda terlalu penat, badan anda biasanya akan memberikan tanda-tanda awal yang memerlukan anda terlalu berehat. Ini termasuklah kesukaran untuk tidur dengan nyenyak, cepat tertekan dan degupan jantung yang pantas.
Kebiasaannya, individu tidak mengendahkan tanda-tanda ini dan meneruskan aktiviti mereka seperti biasa namun, itu adalah tindakan yang salah. Apabila badan anda terlalu penat dek kerana bekerja, bersukan mahupun melakukan apa-apa aktiviti dalam tempoh yang lama, ia memerlukan rehat yang secukupnya untuk mendapatkan tenaganya semula.
Keletihan yang melampau boleh memberi kesan negatif pada jantung kita. Apabila kita melakukan satu perkara secara berterusan tanpa tempoh rehat yang mencukupi, ini akan meningkatkan tekanan darah yang kemudiannya menyebabkan degupan jantung yang tidak normal.
Jika ini berlaku, risiko terjadinya serangan jantung adalah tinggi terutamanya dalam kalangan golongan muda yang kuat bekerja. Jantung memerlukan pengepaman darah dalam kadar yang normal bagi membolehkan ia menghantar darah kaya dengan oksigen ke seluruh badan. Jantung yang berdegup terlalu kencang mungkin boleh menjadi terlalu sesak sehingga akhirnya menyebabkan serangan jantung.
Bolehkah kita cegah keadaan ini?
Ya, sebagai seorang individu, langkah paling mudah yang anda boleh lakukan adalah berehat sekiranya anda berasa penat. Elakkan melengahkan perkara ini sebelum ia menjadi lebih serius. Selain itu, kenal pasti tanda-tanda tertentu pada badan anda yang mungkin menjurus kepada keletihan yang melampau.
Lakukanlah semua perkara dalam kadar yang sederhana mengikut kemampuan badan anda. Tidak semua individu mampu bertahan dengan aktiviti berterusan yang melampau, jadi ambillah tindakan yang betul segera.
KREDIT: Gambar diambil daripada sumber https://www.sinarharian.com.my/article/72337/GLOBAL/Demi-cari-rezeki-penjual-ais-krim-meninggal-dunia-atas-motosikal
SUMBER