Now Reading
Mi segera boleh menyebabkan kanser perut?

Mi segera boleh menyebabkan kanser perut?

mi segera boleh menyebabkan kanser perut

Adakah anda penggemar mi segera yang sememangnya sudah menjadi satu makanan ruji terutamanya bagi pelajar serta individu yang sibuk bekerja? Walaupun ia tidak boleh diambil dengan kerap kerana kesan negatif yang boleh memberi kesan kepada tubuh kita, namun itu masih tidak menghalang kita untuk mengambilnya bukan? Berkuah mahupun tidak berkuah, inilah makanan paling mudah untuk disediakan tanpa kos yang tinggi.

Menghirup supnya semasa musim hujan sahaja sudah menyenangkan walaupun ia tidaklah begitu mengenyangkan perut. Namun, tahukah anda akan kekurangan mi segera yang dikatakan boleh membawa maut?

Terbaru, seorang remaja berusia 18 tahun di Taiwan meninggal dunia kerana penyakit kanser perut yang dialami. Namun, apa yang mengejutkan adalah kanser perut tersebut berpunca daripada pengambilan makanan mi segera secara kerap setiap malam.

Menurut laman web ‘The Reporter’, remaja itu mula mengamalkan pemakanan tidak itu sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Jadi, bayangkan berapa tahun ia telah berlangsung tanpa kawalan yang betul. Mangsa dikatakan selalu mengalami perut kembung, loya dan sakit perut menyebabkan keluarganya membawa si mangsa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Setelah diperiksa, doktor mengesahkan bahawa remaja ini menghidap kanser perut tahap kritikal dan mempunyai peluang yang tipis untuk bertahan. Selepas hampir setahun bertarung dengan penyakit ini, remaja tersebut akhirnya meninggal dunia.

Jadi, benarkah pengambilan mi segera tanpa kawalan boleh membawa maut?

Apa pandangan pakar mengenai hal ini?

Artikel di laman web ‘theAsianparent’ ada menyentuh hal ini dan memaklumkan bahawa satu kajian yang dijalankan oleh Dr. Braden Kuo dari Universiti Harvard mendapati bahawa mi segera sukar untuk dicerna oleh tubuh badan. Ini berlaku kerana mi segera biasanya ditambah dengan bahan pengawet.

Isu ini juga mendapat perhatian seorang doktor di laman sosial Twitter iaitu Dr. Hafizah Zaharah yang membuat satu bebenang khas tentang hal ini. Belia mengatakan bahawa makan yang bergaram, salai atau dipelihara sememangnya meningkatkan faktor risiko bagi kanser perut. Namun, dalam kes kematian remaja Taiwan itu, ianya adalah suatu hal yang luar biasa sekiranya kematian itu hanya terjadi kerana pemakanan mi segera semata-mata.

Menurutnya lagi, kanser perut boleh tercetus oleh pelbagai faktor termasuklah jangkitan pada perut dan gangguan genetik. Memang tidak dinafikan bahawa pemakanan tidak sihat ini juga boleh menyumbang kepada kanser perut, namun itu bukanlah punca utamanya.

Panduan bagi penggemar mi segera

Anda tidak perlulah menghentikan pengambilan makanan itu secara terus namun cuba kurangkannya kepada beberapa kali sahaja sebulan. Terdapat banyak lagi pilihan makanan yang berkhasiat dan boleh didapati di luar sana.

Jika anda tiada pilihan lain atas faktor kewangan yang tidak mengizinkan, cuba cari makanan alternatif lain yang murah dan bersesuaian. Memandangkan mi segera sukar dicerna, pastikan anda mengambilnya lebih awal sebelum waktu tidur agar ia mempunyai masa yang agak lama untuk dicerna secara perlahan-lahan.

TUNTASNYA,

Jika anda berasa tidak sedap perut atau mengalami tanda-tanda asing pada bahagian badan, segeralah berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan. Penyakit kanser bukanlah satu perkara yang boleh dibiarkan sahaja kerana sel-sel kanser boleh merebak dengan cepat tanpa kita jangka. Oleh itu, jaga pemakanan anda dari sekarang agar anda tidak menyesal di kemudian hari. Ambil langkah pencegahan lain yang bersesuaian dan sentiasa dapatkan nasihat perubatan daripada doktor anda.

SUMBER

  1. https://www.thereporter.my/2018/10/remaja-18-tahun-meninggal-dunia-kerana.html
  2. https://my.theasianparent.com/keburukan-mee-segera
  3. https://twitter.com/ZaharahHafizah/status/1236879698405117952
error: Content is protected !!