Terdapat berita yang membongkar cerita palsu mengenai kewujudan kandungan lilin meyalut mi segera. Memang berita ini tidak benar sama sekali. Mi segera tidak melekit antara satu sama lain bukan kerana disalut lapisan lilin, tetapi terjadi kerana ianya disalut minyak.
Walaupun begitu, adakah anda tahu bahawa mengambil mi segera atau juga lebih dikenali sebagai ‘maggi’ oleh orang ramai adalah tidak baik untuk kesihatan kita?
Makanan selalu menjadi makanan utama bagi individu yang tinggal berjauhan dari keluarga, ataupun pelajar yang duduk di asrama kerana ia mudah didapati di pasaran dan juga murah.
Ramai pakar kesihatan mengatakan bahawa mi segera mempunyai kandungan garam dan lemak yang tinggi serta kadar kalori yang tinggi. Adakah anda sanggup bersenam selama 30 minit atau berbasikal selama 45 minit hanya untuk membuang kalori yang telah anda dapat daripada makanan itu yang sedia dalam masa 2 minit itu? Pastinya tidak, bukan?
Jadi, mengapakah ia menjadi kegemaran ramai terutamanya bagi golongan remaja serta dewasa? Bukan sahaja ia mudah dibeli di mana-mana kedai runcit, ia juga dijual dengan pelbagai perasa seperti tomyam, kari, ayam atau asam laksa. Ia juga boleh dijual sebagai mi sup ataupun mi goreng. Makanan juga merupakan salah satu menu yang sering ada pada kebanyakan kedai makan terutamanya di kedai mamak.
Kini, trend memakan mi segera yang pedas seperti ‘Samyang’ semakin digilai ramai kerana rasanya yang pedas itu membuatkan kita hendak makan lagi dan lagi walaupun ia menyakitkan mulut kita. Mi segera juga disukai ramai sebagai makanan lewat malam atau semasa musim hujan kerana hirupan sup pada mi sup itu mampu menghangatkan badan kita.
Selain itu, makanan ini lebih banyak diambil oleh masyarakat di Asia seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand berbanding negara Barat. Apakah alasan pada kenyataan ini? Masyarakat di negara Barat lebih gemar mengambil mi seperti ‘pasta’ dan ia ternyata lebih menyihatkan berbanding mi segera. Bagi masyarakat di Asia pula, kebanyakan individu mengambilnya bagi menjimatkan duit terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Mi segera ini sebenarnya boleh menyebabkan keadaan malnutrisi kepada individu kerana ia tidak mengandungi apa-apa nutrien seperti vitamin dan mineral bagi tubuh kita dan hanya mengenyangkan perut kita buat masa yang sekejap sahaja. Selain itu, perencah yang terdapat dalam sup mi segera juga mengandungi MSG yang tidak baik kalau dimakan berlebihan.
Sekiranya anda mengambilnya sekali-sekala ataupun kerana teringin sahaja, ia tidak membahayakan tetapi sekiranya ada pilihan makanan yang lain, lupakan saja niat anda untuk makan ‘maggi’ ini. Makanlah makanan yang menyihatkan agar kita dapat manfaat daripadanya dalam jangka masa yang lama.
SUMBER
https://www.healthline.com/nutrition/ramen-noodles
https://food.ndtv.com/food-drinks/the-dark-side-of-instant-noodles-what-makes-them-harmful-766902
https://articles.mercola.com/sites/articles/archive/2014/09/03/eating-instant-noodles.aspx