Minum air kelapa ketika hamil menjadi satu isu kesahihannya sama ada mitos atau fakta ia baik untuk bayi di dalam kandungan. Terbaru, di media sosial Twitter, terdapat pertikaian yang berlaku apabila seorang pengguna Twitter mengatakan bahawa isterinya yang mengamalkan minum air kelapa ketika hamil seminggu sekali melahirkan bayi yang bersih dan cerah.
Ada yang membantah dan ada juga yang menyokong pendapat individu tersebut. Malah, ‘post’ tersebut mendapat perhatian pakar perubatan hingga menjadi satu topik perbincangan hangat di Twitter ketika itu.
Jadi, adakah benar minum air kelapa ketika hamil boleh menjadikan bayi anda lebih cerah dan bersih?
Apakah pendapat pakar?
Memandangkan ‘tweet’ tersebut dibalas kepada status asal Dr. Amalina, seorang pakar perubatan yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia, status itu kemudiannya menerima sambutan daripada individu lain yang mengesahkan mitos tersebut.
Namun, lain pula yang dikatakan dari sudut pakar perubatan di mana Dr. Amalina mengatakan bahawa “Minum air kelapa bukan penyebab baby keluar jadi bersih”. Tambahnya lagi, kulit bayi yang sihat itu sebenarnya merupakan selaput putih ‘Vernix caseosa’ yang menjadi pelincir semasa proses kelahiran dan melindungi si bayi daripada terkena jangkitan dalam kandungan.
Jadi, secara ringkasnya, Dr. Amalina menegaskan bahawa pengambilan air kelapa ketika hamil tidak berkaitan dengan kulit bayi yang putih bersih semasa dilahirkan seperti yang selalu kita dengari.
Perkaitan air kelapa dan kehamilan?
Minum air kelapa ketika hamil sememangnya bermanfaat tetapi tidaklah mengikut mitos yang diwar-warkan itu. Air kelapa bukan sahaja bermanfaat buat golongan ibu mengandung malah boleh juga diambil oleh mana-mana individu.
Menurut artikel daripada ‘MomJunction’, pengambilan air kelapa haruslah diambil secara bersederhana sahaja kerana ia mengandungi kandungan potassium yang boleh menyebabkan keadaan ‘Hyperkalemia’ (terlalu banyak potassium dalam darah).
Antara kebaikan minum air kelapa ketika hamil termasuklah:
- Berpontesi menjadi diuretik semulajadi yang boleh mencegah jangkitan saluran kencing.
- Mengandungi elektrolit yang diperlukan untuk menggantikan cecair yang hilang pada ibu mengandung.
- Melegakan simptom pedih ulu hati dan sembelit.
- Meningkatkan kadar cecair amniotik yang boleh melancarkan pergerakan darah.
- Membantu mengekalkan berat badan yang sihat kerana ia tidak mengandungi lemak dan rendah kalori.
Walaupun kesemua kebaikan ini sangatlah bermanfaat bagi ibu mengandung, namun pastikan ia diambil dari sumber yang segar berbanding air kelapa yang telah dibungkus dan diproses. Khasiat aslinya mungkin sudah berkurangan apabila anda meminumnya.
Malah, tiada juga kajian saintifik yang boleh membuktikan bagaimana minum air kelapa ketika hamil boleh menjadikan kulit bayi anda lebih cerah dan elok. Ia mungkin berlaku secara kebetulan sahaja dan tidak dapat dipastikan dengan tepat.
Berbanding mempercayai mitos sebegini, sebaiknya pastikan anda (sekiranya anda hamil) atau isteri anda mendapatkan kadar nutrien yang mencukupi buat dirinya dan si bayi.
Elakkan terlalu mempercayai mitos-mitos sebegini kerana takut ia boleh memudaratkan keadaan sedia ada. Pastikan anda cari tahu sumber bagi sesuatu mitos dahulu sebelum mengamalkannya. Dapatkan juga nasihat daripada pakar perubatan sekiranya anda berasa ragu-ragu akan sesuatu perkara.
SUMBER