Now Reading
Mitos Penyakit Jantung

Mitos Penyakit Jantung

Mitos tentang Penyakit Jantung

Setiap tahun, penyakit jantung telah membunuh lebih ramai orang di seluruh dunia berbanding semua jenis kanser setelah digabungkan. Sebilangan besar kematian ini terjadi disebabkan serangan jantung pada individu dengan penyakit arteri koronari. Lantaran itu, wujudlah pelbagai mitos penyakit jantung yang tersebar.

Sepanjang sedekad yang lalu, sejumlah kajian telah menemukan banyak perkara mengenai apa yang menyebabkan serangan jantung dan bagaimana untuk mencegahnya. Tetapi, kebanyakan individu mempunyai salah fahaman mengenai faktor risiko penyakit jantung, ataupun penyakit jantung itu sendiri kerana mitos-mitos tentangnya yang masih wujud hingga sekarang.

Antaranya seperti “Ini adalah penyakit yang menjejaskan lelaki sahaja” atau “Ia tidak akan mempengaruhi orang muda” adalah beberapa andaian yang mungkin anda pernah dengar sebelum ini. Tetapi, bergantung pada andaian palsu ini boleh mengorbankan nyawa anda terutama jika anda tidak mencari tahu mengenai kebenaran tentang penyakit jantung.

Jadi, dalam artikel ini kami menyenaraikan beberapa mitos mengenai penyakit jantung yang mungkin boleh membantu anda mendapatkan pemahaman lebih baik mengenai penyakit jantung.

1. Penyakit jantung adalah penyakit orang tua

Kini, semakin ramai orang muda yang berpendapat bahawa penyakit jantung hanya menjadi masalah bagi orang tua sahaja. Namun, kenyataannya adalah faktor gaya hidup boleh mempunyai pengaruh besar terhadap risiko seseorang untuk menghidapnya, sehinggakan orang muda juga boleh terkesan jika mereka mempunyai gaya hidup tidak sihat. Mengamalkan tabiat sihat sejak awal juga merupakan cara terbaik untuk menjaga kesihatan jantung anda, jadi berusahalah untuk mengurangkan risiko penyakit jantung sejak muda demi kesejahteraan anda di kemudian hari.

2. Pesakit jantung hanya terdiri daripada golongan lelaki sahaja

Sebenarnya, penyakit ini adalah pembunuh yang menyerang lebih banyak individu wanita berbanding lelaki, dan ia lebih berbahaya berbanding gabungan semua bentuk kanser. Penyakit ini adalah penyebab utama kematian bagi wanita berusia lebih dari 65 tahun, begitu juga dengan golongan lelaki. Pada usia persaraan, 70% lelaki dan wanita mempunyai penyakit kardiovaskular, yang merangkumi penyakit arteri koronari, kegagalan jantung, strok dan hipertensi. Risiko ini terus meningkat, dan pada usia 80 tahun, 83% lelaki dan peratusan wanita yang lebih tinggi iaitu 87% boleh terjejas dengannya.

3. Anda hanya akan mendapat penyakit jantung jika ia diwarisi dalam keluarga anda

Mitos tentang penyakit jantung seterusnya ialah berkaitan faktor genetik yang kadangkala berperanan untuk mengembangkan penyakit arteri koronari. Walau bagaimanapun, 90% penyakit jantung berpunca daripada pilihan gaya hidup tidak sihat, termasuk diet yang buruk, merokok dan sedikit atau tiada latihan yang dilakukan dalam seharian. Sekiranya anda cenderung mempunyai genetik dengan kadar kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi atau diabetes, ianya adalah sangat penting agar anda mengikuti gaya hidup sihat dan mengambil ubat bersesuaian untuk mengawal faktor risiko berbahaya ini bagi mengelakkan atau melambatkan serangan jantung.

4. Mempunyai kolesterol baik yang mencukupi dapat mengimbangi kadar kolesterol jahat

Berbanding melihat kolesterol secara keseluruhan yang merangkumi kolesterol lipoprotein berkepadatan tinggi (HDL) “baik” dan kolesterol lipoprotein berkepadatan rendah (LDL) “buruk”, doktor kini memberi tumpuan kepada kolesterol LDL. Walaupun tahap HDL yang tinggi sudah cukup bagus, namun ini masih bermakna bahawa tubuh anda mungkin masih menyimpan kolesterol di arteri yang boleh menyebabkan serangan jantung, strok dan masalah jantung lain.

5. Serangan jantung sentiasa melibatkan simptom sakit dada

Ianya memang benar bahawa kebanyakan individu merasakan sakit dada sebelum berlakunya serangan jantung, tetapi itu tidak selalu berlaku. Mual, ketidakselesaan di rahang, lengan, punggung, atau leher, serta sesak nafas juga dapat menunjukkan masalah jantung. Gejala lain seperti rasa pening, sesak nafas dan berpeluh juga merupakan gejala serangan jantung yang biasa.

6. Menjadi aktif boleh mengelakkan anda daripada mendapat masalah jantung

Walaupun melakukan aktiviti fizikal secara berkala dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, anda masih berkemungkinan mengalami masalah jantung. Mitos tentang penyakit jantung ini mengambil kira beberapa keadaan seperti kadar kolesterol tinggi dan penyakit otot jantung yang dapat diwarisi dalam keluarga. Jadi tidak kira seberapa sesuai aktifnya anda, anda mungkin masih berisiko mendapat penyakit berbahaya ini. Justeru itu, mengetahui sejarah keluarga anda dan membuat temu janji dengan doktor adalah bahagian penting dalam mengetahui kesihatan keseluruhan anda dengan baik.

7. Mengawal penyakit diabetes tidak akan mengancam jantung

Mitos penyakit jantung yang terakhir pula ialah dengan merawat penyakit diabetes dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung atau menunda perkembangan penyakit kardiovaskular. Walaupun tahap gula dalam darah terkawal, tetapi anda masih berisiko tinggi mendapat penyakit jantung dan strok. Ini adalah kerana faktor risiko yang menyebabkan timbulnya diabetes juga membuatkan anda lebih cenderung menghidap penyakit ini. Faktor risiko yang bertindih ini termasuklah tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan dan obesiti, tidak aktif secara fizikal dan merokok.

SUMBER

https://www.goredforwomen.org/en/about-heart-disease-in-women/facts/common-myths-about-heart-disease

https://www.health.harvard.edu/heart-health/5-myths-about-heart-disease

https://www.heart.org/en/health-topics/consumer-healthcare/what-is-cardiovascular-disease/top-10-myths-about-cardiovascular-disease

https://health.clevelandclinic.org/10-heart-disease-myths-you-shouldnt-believe/

https://www.slma.cc/myths-about-heart-disease/

https://share.upmc.com/2017/01/heart-disease-myths-facts/

error: Content is protected !!