Pengenalan
Mulut kering adalah keadaan yang terjadi disebabkan penurunan jumlah air liur di dalam mulut yang dipanggil sebagai xerostomia. Xerostomia boleh menyebabkan masalah seperti kesukaran bercakap, makan dan mencerna makanan serta boleh menyebabkan individu mengalami kekurangan zat makanan. Mulut kering yang melampau dan kelenjar air liur yang tidak berfungsi boleh menyebabkan kebimbangan yang ketara, gangguan mulut dan tekak secara kekal, serta juga boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang.
Penerangan
Sekiranya anda tidak menghasilkan air liur yang mencukupi, anda mungkin dapat melihat tanda dan gejala ini bagi sepanjang atau kebanyakan masa:
- Kekeringan atau rasa melekit di mulut anda.
- Air liur yang kelihatan tebal dan berurat.
- Nafas yang busuk.
- Kesukaran mengunyah, bercakap dan menelan.
- Tekak kering atau sakit serta suara serak.
- Lidah kering atau beralur.
- Perubahan deria rasa.
- Masalah memakai gigi palsu.
Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan gincu melekat pada gigi.
Penyebab yang berkemungkinan
Mulut kering berlaku apabila kelenjar air liur di mulut tidak menghasilkan air liur yang mencukupi untuk memastikan mulut anda kekal basah. Kelenjar ini tidak boleh berfungsi dengan baik disebabkan faktor seperti:
- Ubat-ubatan. Ratusan ubat, termasuk ubat-ubatan tanpa preskripsi boleh menyebabkan mulut kering sebagai kesan sampingan. Antara jenis yang lebih berkemungkinan untuk menimbulkan masalah adalah beberapa ubat yang digunakan untuk merawat masalah kemurungan, tekanan darah tinggi dan kebimbangan, serta beberapa ubat antihistamin, melegakan kahak, penenang otot dan ubat sakit.
- Penuaan. Ramai individu yang lebih tua mengalami mulut kering kerana semakin berusia. Faktor penyumbangnya termasuklah penggunaan ubat-ubatan tertentu, perubahan terhadap keupayaan tubuh untuk memproses ubat, nutrien yang tidak mencukupi dan masalah kesihatan jangka panjang.
- Terapi kanser. Ubat kemoterapi boleh mengubah sifat air liur dan jumlah yang dihasilkan. Ini mungkin bersifat sementara, dengan aliran biasa yang kembali selepas rawatan selesai. Rawatan radiasi pada kepala dan leher anda boleh merosakkan kelenjar air liur, seterusnya menyebabkan penurunan pengeluaran air liur yang ketara. Ini mungkin bersifat sementara atau kekal, bergantung kepada dos radiasi dan kawasan yang dirawat.
- Kerosakan saraf. Kecederaan atau pembedahan yang menyebabkan kerosakan saraf di bahagian kepala dan leher anda boleh mengakibatkan mulut kering.
- Keadaan kesihatan yang lain. Mulut kering boleh terjadi disebabkan keadaan kesihatan tertentu, seperti kencing manis, strok, jangkitan yis (thrush) di mulut atau penyakit Alzheimer. Selain itu, masalah ini juga boleh berlaku kerana penyakit autoimunisasi, seperti sindrom Sjogren atau HIV/ AIDS. Berdengkur dan bernafas dengan mulut terbuka juga boleh menyumbang kepada mulut kering.
- Penggunaan tembakau dan alkohol. Mengambil alkohol dan merokok atau mengunyah tembakau boleh meningkatkan gejala mulut kering.
- Penggunaan ubat penenang. Penggunaan methamphetamin boleh menyebabkan mulut kering yang teruk dan kerosakan pada gigi, suatu keadaan yang juga dikenali sebagai “mulut meth.” Ganja juga boleh menyebabkan mulut kering.
Komplikasi
Sekiranya anda tidak menghasilkan air liur yang mencukupi dan mulut kering, ini boleh menyebabkan:
- Peningkatan plak, kerosakan gigi dan penyakit gusi.
- Sakit mulut.
- Jangkitan yis di mulut anda (thrush).
- Sakit atau kulit terbelah di sudut mulut anda, atau bibir merekah.
- Nutrisi yang kurang baik disebabkan masalah mengunyah dan menelan.
Bila perlu menghubungi doktor
Jika anda telah melihat tanda-tanda dan gejala mulut kering yang berterusan, buat temujanji dengan doktor anda dengan segera.
Apa yang boleh diharapkan di klinik
Apabila mulut kering diperhatikan, doktor gigi boleh membantu dalam menentukan punca mulut kering dan mendapatkan diagnosis yang betul. Diagnosis akan membantu dalam menetapkan pelan pengurusan dan rawatan. Selain itu, doktor gigi juga akan memeriksa kelenjar liur utama dan saluran untuk mengenal pasti sekiranya berlaku penyumbatan serta menilai kedua aliran air liur yang dirangsang dan tidak dirangsang. Bibir, lidah dan tisu mulut kesemuanya akan diperiksa untuk melihat masalah kekeringan.
Kadangkala, pesakit masih akan mengadu berlakunya mulut kering walaupun aliran air liur mencukupi. Memandangkan gejala adalah sangat berbeza bagi setiap individu, rawatan juga adalah berbeza-beza. Rawatan biasanya diberikan untuk aduan berkekalan dan mulut kering kronik, walaupun tanpa tanda-tanda perubahan klinikal dalam mulut. Doktor gigi boleh menjadi sumber penting untuk mendapatkan maklumat khusus tentang cara menguruskan mulut kering.
Rawatan
Rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti sama ada pesakit mempunyai keadaan atau penyakit lain yang menjadi punca, atau sekiranya id terjadi disebabkan pengambilan ubat tertentu.
Sekiranya punca asas dijumpai, langkah perlu diambil untuk meminimumkan kesannya seperti:
- Ubat-ubatan: Jika mulut kering dianggap berlaku kerana pengambilan ubat tertentu, doktor cenderung akan mengubah dos atau menetapkan ubat lain yang kurang berpotensi boleh menyebabkan mulut kering.
- Merangsang pengeluaran air liur: Ubat tertentu mungkin diberikan untuk merangsang penghasilan air liur, seperti pilokarpine (Salagen) atau cevimeline (Evoxac).
Pakar mengatakan bahawa rawatan simptomatik untuk mulut kering biasanya merangkumi empat aspek:
- Meningkatkan aliran air liur.
- Menggantikan rembesan yang hilang.
- Mengawal karies gigi.
- Mengambil langkah-langkah tertentu, seperti merawat jangkitan.
Seseorang yang mempunyai mulut kering harus memberi perhatian khusus kepada kebersihan mulut/ pergigian. Ini termasuk penyingkiran plak dan rawatan jangkitan gusi, keradangan dan karies gigi. Memberus gigi dan flossing secara berkala adalah penting.
Sumber:
https://www.webmd.com/oral-health/guide/dental-health-dry-mouth
https://www.healthline.com/health/dry-mouth