Now Reading
Musim banjir di Malaysia: Bagaimanakah kesihatan anda boleh terjejas?

Musim banjir di Malaysia: Bagaimanakah kesihatan anda boleh terjejas?

musim banjir

Malaysia kini dilanda musim banjir di beberapa buah negeri sejak beberapa hari yang lalu. Ramai pihak yang terjejas kerana bencana ini terutamanya mereka yang tinggal di kawasan kampung atau pedalaman.

Namun begitu, musim inilah yang disukai oleh kanak-kanak kerana mereka boleh bermain dengan air seperti berada di kolam renang. Tahukah anda bahawa air banjir ini sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan kita? Walaupun ianya datang daripada air hujan, namun setelah ia bercampur dengan bahan-bahan lain, ia mampu mendatangkan kesan buruk terutamanya pada kanak-kanak yang gemar bermain air banjir.

Jadi, mari kita ketahui bagaimana air banjir boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Penyakit bawaan air dan makanan

Penyakit ini sering berlaku semasa dan selepas kejadian banjir. Antara penyakit bawaan air termasuklah Taun, Hepatitis A dan demam Kepialu (Typhoid). Gejala penyakit-penyakit ini adalah seperti cirit-birit, muntah, sakit perut dan sakit kepala. Biasanya, penyakit ini dijangkiti selepas meminum air atau makan makanan yang tercemar memandangkan sumber air bersih susah didapati semasa musim banjir ini.

Bagi mengelakkan keadaan sebegini, air yang diminum haruslah dimasak dahulu agar bakteria tidak dapat berkembang di dalamnya. Sentiasa basuh tangan dengan air yang bersih sebelum menyentuh makanan dan makan makanan yang baru dimasak dan masih panas. Elakkan makan makanan lebihan kerana bakteria mungkin sudah membiak tanpa kita sedari.

Leptospirosis

Penyakit Leptospirosis adalah sejenis penyakit serius dan boleh berjangkit. Ia berlaku disebabkan pendedahan kepada kuman dalam air yang tercemar dengan air kencing binatang tertentu terutamanya tikus. Antara simptom penyakit ini adalah demam, sakit kepala, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen serta sakit tekak.

Memandangkan ianya agak sukar untuk menjaga kawasan persekitaran anda semasa musim banjir, pastikan anda mencuba sedaya upaya untuk menjaga kawasan makanan dan minuman daripada tikus. Jangan bermain dengan air banjir dan pastikan anda sentiasa berada dalam keadaan kering kerana penyakit ini mudah berjangkit apabila individu bersentuhan secara langsung dengan air yang tercemar.

Konjunktivitis

Keradangan mata atau sakit mata selalunya berlaku kerana adanya jangkitan bakteria, virus atau alahan pada mata. Ia boleh menyebabkan mata anda menjadi merah dan berair selama hampir seminggu. Konjunktivitis juga boleh membuatkan mata anda berasa gatal dan mendorong anda untuk menggaru mata hampir setiap masa.

Sekiranya anda mendapat tanda sebegini, dapatkan rawatan doktor dengan cepat sekiranya terdapat khidmat doktor yang bertugas di kawasan-kawasan banjir ini. Sentiasa basuh tangan anda dengan air bersih sebelum menyentuh mata dan elakkan bergaul dengan mereka yang telah dijangkiti dengan penyakit ini.

Demam denggi

Biasanya, selepas banjir surut, banyak permukaan tidak tertutup berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Antaranya termasuklah lapik pasu bunga serta bekas air minuman bagi haiwan peliharaan. Apabila ia tidak ditukar dengan air bersih, nyamuk boleh mula membiak dengan cepat. Individu yang dijangkiti demam denggi pula selalunya akan mengalami demam yang tidak surut selama beberapa hari berserta dengan bintik-bintik merah di anggota badan. Simptom lain seperti badan lemah, sakit perut, mual dan muntah juga boleh dialami sekiranya individu itu sah dijangkiti demam denggi.

Bagi mengelakkan masalah ini, apabila anda sudah berkesempatan untuk mengemas rumah setelah banjir surut, gantikan air pada tempat-tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk dengan air bersih. Selain itu, tutup kawasan yang boleh ditutup seperti kolah mandi. Jangan biarkan ada tempat yang terdedah dengan air yang bertakung.

JADI,

Secara kesimpulannya, ibu bapa haruslah sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutamanya kanak-kanak kecil yang suka merayau dan bermain dengan air. Jauhkan mereka daripada kawasan sebegini dan pindah ke kawasan yang lebih selamat sekiranya boleh.

Musim banjir haruslah ditangani dengan betul bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Semua pihak juga harus bekerjasama membantu mereka yang terjejas untuk mendapatkan bantuan pakaian, makanan dan air yang bersih serta pusat penempatan yang sesuai.

SUMBER

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1118941

https://sciencing.com/how-are-people-affected-by-floods-12510012.html

https://www.euro.who.int/en/data-and-evidence/evidence-informed-policy-making/publications/hen-summaries-of-network-members-reports/what-are-the-human-health-consequences-of-flooding-and-the-strategies-to-reduce-them

error: Content is protected !!