MyCensus Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 adalah projek yang akan dijalankan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia pada tahun 2020 dan adalah banci yang keenam dilaksanakan semenjak penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Ia juga merujuk kepada peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969). Akta ini turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang diperolehi adalah sulit dan tidak boleh didedahkan.
MyCensus atau pengumpulan maklumat banci secara atas talian diperkenalkan selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia yang semakin moden. MyCensus memerlukan penduduk Malaysia melengkapkan borang e-Census secara atas talian. Poskad yang mengandungi panduan mengisi dan pautan e-Census di Portal akan dihantar ke kediaman masing-masing.
Aplikasi mudah alih juga diperkenalkan untuk digunakan oleh pembanci untuk mengisi maklumat semasa sesi temu ramah diadakan dengan menggunakan tablet atau telefon pintar.
Tarikh Pelaksanaan Banci 2020
Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (Department Of Statistics Malaysia) iaitu organisasi kerajaan yang bertanggungjawab menyelaras Banci 2020, pelaksanaan program ini telah dibahagikan kepada dua fasa dan akan dijalankan pada tarikh berikut:
Fasa Pertama Banci 2020 (secara online) :
- 7 Julai 2020 hingga 30 September 2020 dan telah disambung semula pada 7 Oktober 2020 sehingga 21 Disember 2020.
- Tarikh Penghantaran Poskad Banci Rumah ke Rumah : 6 Julai hingga 24 Julai 2020
- Tarikh Pra Pendaftaran e-Census : 6 Julai hingga 23 September 2020
- Tarikh Pengisian e-Census : 7 Julai hingga 30 September 2020
Fasa Kedua (secara temu ramah bersemuka) :
- 7 Oktober 2020 hingga 24 Oktober 2020 dan akan dijadualkan semula kepada 20 Januari 2021 sehingga 6 Februari 2021
Prosedur Banci 2020
Berikut adalah proses atau prosedur bagi Banci 2020 Mod e-Census:
Poskad Mengandungi Invitation Code
Bermula 6 Julai 2020, poskad Banci 2020 akan diedarkan ke rumah masing-masing yang mengandungi Invitation Code seperti gambar di bawah:
Poskad Tidak Diterima Atau Gagal Terima
Invitation Code menerusi Pra Pendaftaran e-Cencus 2020 boleh didapatkan melaui pautan ini jika penduduk tidak menerima poskad tersebut
Responden akan menerima kod jemputan menerusi emel yang didaftarkan setelah mengisi Pra Pendaftaran e-Census dan boleh login terus ke sistem e-Census
Cara Log Masuk Sistem e-Census untuk Jawab Soalan Banci 2020
Berikut merupakan cara untuk Login ke Sistem e-Census untuk menjawab soal selidik Banci 2020:
Layari laman Web e-Cencus: https://ecensus.mycensus.gov.my/landing
Klik pada pilihan Butang Pengguna Kali Pertama
Masukkan nama penuh, alamat emel serta nombor telefon
- Masukkan juga Invitation Code yang diperolehi serta klik pada check box saya bukan robot dan klik butang Daftar
- One Time Password (OTP) akan dihantar secara SMS ke no. telefon yang didaftarkan dan klik Log Masuk
- Masukkan Nombor Pengenalan Diri yang sah dan klik butang Seterusnya
- Anda perlu menjawab SEMUA soalan dan klik butang Seterusnya dan SAHKAN
- Notifikasi akan dihantar menerusi Emel kepada responden.
Soalan-soalan Lazim Yang Biasa Ditanya
Adakah saya perlu melengkapkan banci?
Ya. Berdasarkan Akta Banci 1960 (disemak 1969) mewajibkan semua orang awam untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan yang diberikan.
Mengapa kami melaksanakan Banci?
Objektif pelaksanaannya adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil sebagai penanda aras bagi ciri-ciri demografi dan sosio-ekonomi penduduk. Data yang terkini dan komprehensif akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan Negara.
Mengapa saya perlu mengambil bahagian dalam Banci 2020?
Ia adalah penting bagi mengenalpasti saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia. Maklumat yang diperoleh akan digunakan untuk merancang, menggubal dan melaksanakan polisi Kerajaan Malaysia untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan. Maklumat dari ini juga menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan yang bernilai berbilion ringgit Malaysia akan dibelanjakan di seluruh negara. Penghasilan profil yang terperinci ini akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya, dan pengangkutan awam. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga menggunakan maklumat ini membantu memenuhi keperluan-keperluan teras di kawasan mereka.
Selamat menjalankan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia.
Sumber:
https://www.mysumber.com/mycensus-e-census-banci.html
https://www.mycensus.gov.my/index.php/ms/info-banci/mengenai-banci/apa-itu-banci