Now Reading
Obsesi Seksual (Sexual obsession) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Obsesi Seksual (Sexual obsession) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

obsesi seksual

Obsesi seksual adalah tingkah laku seksual yang kompulsif kadangkala dipanggil hiperseksualiti, gangguan hiperseksual atau ketagihan seksual. Ia adalah keasyikan yang berlebihan dengan fantasi seksual, dorongan atau tingkah laku yang sukar dikawal dan menyebabkan anda tertekan, atau menjejaskan kesihatan anda, pekerjaan, hubungan intim atau aspek lain dalam hidup anda.

Selain itu, tingkah laku seksual sebegini mungkin melibatkan pelbagai pengalaman seksual yang lazim. Contohnya termasuklah melancap, siber seks, pelbagai pasangan seksual, penggunaan pornografi atau seks berbayar. Apabila tingkah laku seksual menjadi tumpuan utama dalam hidup anda, sukar untuk dikawal dan mengganggu atau membahayakan anda atau orang lain, ia mungkin akan dianggap sebagai tingkah laku seksual yang kompulsif.

Tidak kira apa yang dipanggil atau bagaimanakah sifat sebenar tingkah laku ini, obsesi seksual yang tidak dirawat dapat merosakkan harga diri, hubungan intim, kerjaya, kesihatan dan orang lain. Namun, dengan rawatan dan bantuan diri, anda boleh belajar untuk menguruskan masalah obsesi seksual ini.

Simptom Obsesi Seksual

Sesetengah tanda-tanda yang anda mungkin alami dengan tingkah laku seksual yang kompulsif termasuk:

  • Anda mempunyai fantasi seks yang berulang dan dahsyat, desakan dan tingkah laku yang mengambil banyak masa dan berasa seolah-olah berada di luar kawalan anda.
  • Anda berasa terdorong untuk melakukan kelakuan seksual tertentu, merasai pelepasan tekanan selepas itu, tetapi juga berasa bersalah atau menyesal.
  • Anda telah cuba untuk mengurangkan atau mengawal fantasi, dorongan atau tingkah laku seksual anda tetapi tidak berjaya.
  • Anda menggunakan tingkah laku seksual yang kompulsif sebagai cara untuk melarikan diri dari masalah lain, seperti kesunyian, kemurungan, kegelisahan atau tekanan.
  • Anda terus melibatkan diri dalam tingkah laku seksual yang mempunyai akibat yang serius, seperti potensi untuk mendapatkan atau memberi orang lain jangkitan seksual, kehilangan hubungan yang penting, masalah di tempat kerja, tekanan kewangan atau masalah undang-undang.
  • Anda mempunyai masalah untuk menjalin dan mengekalkan hubungan yang sihat dan stabil.

Punca Obsesi Seksual

Sebab-sebab berlakunya tingkah laku seksual yang kompulsif masih tidak jelas.

Beberapa kajian menganggap bahawa kejadian obsesi seksual berkongsi sistem ganjaran dan rangkaian yang sama di otak sebagai bahan ketagihan. Walau bagaimanapun, tiada bukti empirikal yang boleh menyokongnya. 

Di samping itu, keadaan kesihatan mental yang mendasari, seperti kemurungan juga boleh mencetuskan tingkah laku seksual yang kompulsif. Keadaan emosi yang berbeza, termasuk kesedihan, kesepian dan kebahagiaan mungkin juga mengakibatkan ketidakmampuan untuk mengawal tingkah laku seksual individu dengan masalah ini.

Diagnosis Obsesi Seksual

Perdebatan sedang berlangsung mengenai kriteria diagnostik bagi masalah obsesi seksual ini. Terdapat set kriteria yang berbeza untuk mendiagnosis keadaan.

Tingkah laku seksual yang kompulsif bukanlah satu diagnosis rasmi. Pakar psikologi Amerika (APA) mencadangkan bahawa ini terjadi disebabkan kekurangan bukti yang menyokong daya majunya untuk diklasifikasikan sebagai suatu keadaan perubatan. Walau bagaimanapun, ‘World Health Organization (WHO) telah meletakkan tingkah laku seksual yang kompulsif ke dalam kelompok ICD-11.  

Memandangkan bukti yang ada tidak mencukupi untuk menyokong hubungan antara tingkah laku seksual kompulsif dan rangkaian psikologi ketagihan, kriteria ini tidak mempunyai penerapan yang lebih luas dalam masalah ini.

Seterusnya, peningkatan masalah obsesi seksual dan akibatnya telah memperluaskan perbincangan mengenai gangguan itu sebagai keadaan mental yang sah. Walau bagaimanapun, lebih banyak bukti empirikal diperlukan sebelum pihak perubatan utama meletakkan tingkah laku seksual ini sebagai diagnosis sendiri.

Faktor Risiko Obsesi Seksual

Masalah obsesi seksual boleh berlaku dalam kalangan lelaki dan wanita, walaupun ia mungkin lebih biasa terjadi pada lelaki. Malah, ia juga boleh mempengaruhi sesiapa sahaja, tanpa mengira orientasi seksual. Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko tingkah laku seksual kompulsif termasuk:

  • Kemudahan akses kepada kandungan seksual. Kemajuan dalam teknologi dan media sosial membolehkan akses kepada imej dan maklumat seksual yang semakin intensif.
  • Privasi. Rahsia dan privasi tentang aktiviti seksual yang kompulsif lebih cenderung untuk menjadikan masalah ini bertambah parah dari masa ke masa.

Di samping itu, peningkatan risiko tingkah laku seksual yang kompulsif mungkin berlaku pada orang yang mempunyai:

  • Masalah penyalahgunaan minuman keras atau dadah.
  • Satu lagi keadaan kesihatan mental, seperti gangguan emosi (seperti kemurungan atau kegelisahan) atau ketagih dengan perjudian.
  • Konflik keluarga atau ahli keluarga dengan masalah seperti ketagihan.
  • Sejarah penderaan fizikal atau seksual.

Rawatan Obsesi Seksual

Orang yang menderita masalah obsesi seksual digalakkan mendapatkan rawatan daripada penyedia rawatan kesihatan mental yang mengkhususkan diri dalam rawatan ini. Pakar masalah tingkah laku ini dilengkapi dan bersedia untuk merawat pelbagai jenis masalah ini, termasuklah obsesi seksual. Seperti semua jenisnya, tingkah laku seksual yang kompulsif dapat dirawat dengan terapi kognitif-perilaku (cognitive-behavioral therapy – CBT), khususnya dengan pendekatan rawatan yang disebut sebagai “Pendedahan dengan Pencegahan Tindak Balas (ERP)” dan terapi kognitif-perilaku berdasarkan keprihatinan.

Terapi kognitif-perilaku berasaskan keprihatinan untuk mengajar pesakit bahawa semua orang boleh mengalami gangguan pemikiran. Individu juga akan belajar bahawa gangguan pemikiran tidak mempunyai kuasa terhadap mereka dan dengan bertindak balas terhadap pemikiran mereka melalui tingkah laku yang kompulsif, pemikiran mereka sebenarnya diberi kekuatan, kredibiliti dan ketakutan serta obsesi yang akan diperkuatkan dan diperkukuhkan.

Seterusnya, terapi kognitif-perilaku berasaskan keprihatinan adalah rawatan yang sangat berkesan, terutamanya apabila digabungkan dengan terapi “Pendedahan dengan Pencegahan Tindak Balas – ERP”.

ERP akan mendedahkan pesakit kepada situasi yang berkaitan dengan pemikiran yang mengganggu mereka dan boleh menyebabkan kebimbangan. Matlamat rawatan ini adalah untuk mencegah pesakit daripada melakukan tingkah laku kompulsif apabila dicetuskan oleh gangguan pemikiran.  Situasi yang dihadapi akan meningkat dari semasa ke semasa, sehingga pesakit boleh menghadapi dan mengatasi senario yang paling ditakuti. Sebaik sahaja mereka dapat menghentikan diri mereka daripada bertindak balas terhadap gangguan sedemikian, mereka dapat mengalami kelegaan yang luar biasa daripada gejala itu.

Namun, sekiranya pesakit mengalami tahap kegelisahan yang teruk akibat masalah ini, mereka mungkin akan mendapat manfaat dengan menyertai rawatan di program rawatan OCD Intensif Pesakit Luar (IOP). Gejala-gejala ini biasanya akan bertambah serius dari semasa ke semasa dan boleh mengambil alih kehidupan seseorang, jadi ianya adalah sangat penting untuk mendapatkan rawatan bagi masalah obsesi seksual secepat mungkin dengan pakar yang mahir dan berdedikasi. Ini diperlukan agar mereka dapat menyumbangkan kepakaran dan sokongan dalam  perjalanan anda ini.      

Sumber:

https://www.medicalnewstoday.com/articles/182473

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2945841/

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/compulsive-sexual-behavior/diagnosis-treatment/drc-20360453

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/compulsive-sexual-behavior/symptoms-causes/syc-20360434

error: Content is protected !!