Pengenalan
Ortopedik adalah bidang perubatan yang memfokuskan pada pembedahan atau manipulasi bagi sistem muskuloskeletal. Kepakaran pembedahan pada awalnya bertumpukan pada kecacatan perkembangan dan kesan polio pada kanak-kanak, tetapi hari ini, ia telah berkembang dengan ketara untuk menangani semua keadaan dan penyakit yang boleh mempengaruhi sistem muskuloskeletal pada individu dari semua peringkat umur.
Sistem muskuloskeletal badan anda adalah sistem tulang, sendi, ligamen, tendon, otot dan saraf kompleks yang membolehkan anda bergerak, bekerja dan kekal aktif. Setelah dikhaskan untuk menjaga kanak-kanak dengan kecacatan tulang belakang dan anggota badan, pakar ortopedik kini boleh merawat pesakit dari semua peringkat usia, termasuklah bayi yang baru lahir, hingga atlet muda yang memerlukan pembedahan ‘arthroscopic’ dan orang tua dengan artritis.
Kepakaran pakar ortopedik
Doktor yang bertumpu pada bidang ortopedik dipanggil pakar bedah ortopedik, walaupun tidak semuanya melakukan pembedahan. Pakar bedah ortopedik adalah berkelayakan untuk mendiagnosis dan mengurus ataupun merawat masalah sistem muskuloskeletal yang mempengaruhi tulang dan tisu lembut (ligamen, tendon) di dalam badan.
Selanjutnya, pakar ortopedik juga boleh mengesyorkan kaedah pemulihan kepada pesakit bagi meningkatkan kesan rawatan mereka. Golongan ini juga dapat memberikan pendidikan dan bimbingan ortopedik yang berkesan kepada pesakit mengenai pencegahan kecederaan dan penyakit ortopedik.
Secara amnya, pakar ortopedik mahir dalam aspek:
- Diagnosis kecederaan atau gangguan yang dialami.
- Rawatan bersama ubat-ubatan, senaman, pembedahan atau pelan rawatan lain.
- Pemulihan dengan mengesyorkan senaman atau terapi fizikal bagi memulihkan pergerakan, kekuatan dan fungsi badan.
- Pencegahan dengan maklumat dan pelan rawatan untuk mencegah kecederaan atau melambatkan perkembangan penyakit.
Bila anda perlu dapatkan rawatan
Seorang pakar ortopedik pakar dalam kesihatan tulang dan sendi, dan dapat membantu dalam proses diagnosis dan rawatan penyakit anda. Mengetahui bila hendak menghubungi pakar ortopedik mungkin agak sukar, tetapi anda mungkin ingin mendapatkan rawatan untuk keadaan seperti berikut:
- Sakit kronik
Kesakitan kronik sering ditakrifkan sebagai kesakitan yang bertahan lebih lama dari 12 minggu. Rasa sakit ini boleh terjadi pada sendi dan tulang, terutamanya di tempat seperti leher, lutut, siku, dan/ atau punggung. Mengalami ketidakselesaan selama beberapa hari adalah satu perkara, tetapi setelah beberapa minggu dan bulan, anda harus mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional.
- Kesukaran untuk melakukan aktiviti seharian
Ketidakselesaan pada tulang dan sendi sering berlaku pada orang tua, tetapi ia tidak seharusnya boleh menghalang aktiviti harian anda. Individu tidak selalunya menyedari bahawa pergerakan mereka menjadi terhad. Jadi, jika anda bersusah payah untuk melakukan tugas-tugas sederhana seperti memanjat tangga atau sebagainya, berjumpa dengan pakar ortopedik dengan segera.
- Julat pergerakan terhad
Pengurangan julat pergerakan pada mana-mana sendi dikenali sebagai pergerakan yang terhad. Jangkauan pergerakan sendi mula menurun secara semula jadi seiring dengan pertambahan usia, tetapi ia juga boleh berlaku dengan beberapa keadaan. Anda juga harus berjumpa dengan pakar ortopedik jika anda tidak dapat meluruskan atau membengkokkan satu atau beberapa sendi dengan sepenuhnya atau jika anda mengalami kesukaran untuk menggerakkan sendi tertentu.
- Tulang patah atau kecacatan yang jelas
‘Fracture’, juga dikenali sebagai kepatahan tulang adalah keadaan yang mengubah kontur (bentuk) tulang. Keretakan sebegini sering berlaku apabila terdapat kekuatan atau hentaman yang kuat pada tulang. Penjagaan perubatan diperlukan sebaik sahaja anda merasakan atau melihat berlakunya tulang patah.
- Pembengkakan sendi yang berterusan
Sendi dikelilingi dan dilapisi oleh tisu lembut. Pembengkakan boleh berlaku apabila cecair berkumpul di bahagian tisu-tisu ini. Kesakitan, kekakuan, atau kedua-duanya boleh berlaku disertai dengan pembengkakan sendi. Anda juga mungkin menyedari bahawa sendi yang terjejas kelihatan lebih besar berbanding bentuk normal atau tidak teratur.
Prosedur rawatan ortopedik
Berikut adalah beberapa rawatan ortopedik yang paling biasa dilakukan.
– Pembedahan penggantian lutut
Bergantung pada betapa parahnya kecederaan, pesakit mungkin memerlukan pembedahan penggantian lutut secara separa atau keseluruhan. Kedua-duanya perlu dilakukan kerana kerosakan tulang rawan pada sendi lutut, yang menjadikan pergerakan terhad dan menyakitkan. Ini mungkin terjadi akibat kecederaan, bursitis akibat pergerakan berulang, atau obesiti.
Apabila seseorang mengalami penggantian lutut keseluruhan, keseluruhan sendi lutut yang rosak dikeluarkan dan digantikan dengan komponen logam. Semasa penggantian lutut separa pula, hanya bahagian lutut yang rosak akan diganti.
– Pembedahan penggantian bahu
Dalam pembedahan penggantian bahu, pakar ortopedik akan membuang bahagian atas humerus (tulang lengan atas) dan menggantikannya dengan bola logam. Kemudian, mereka mengeluarkan bahagian soket yang rosak dan menggantikannya dengan prostesis plastik. Sarung pemutar (tendon dan ligamen di bahu) kemudian akan menahan semuanya di tempat yang betul.
– Pembedahan penggantian pinggul
Tulang paha (femur) disambungkan ke tulang pinggul (pelvis) oleh sendi bola dan soket. Bahagian atas femur disebut sebagai kepala femoral, dan bahagian “bola”. Bahagian “soket” di pelvis disebut ‘acetabulum’. Apabila pinggul seseorang sihat, semuanya sesuai dengan baik, dengan tulang rawan menjadikan sendi bergerak dengan lancar.
– ‘Arthroscopy’ lutut
Pembedahan ‘arthroscopic’ ini adalah sedikit invasif. Pakar ortopedik akan membuat hirisan kecil dan memasukkan kamera kecil yang melekat pada instrumen, bagi membolehkan mereka melihat apa yang berlaku di dalam sendi lutut anda. Gambar akan ditunjuk pada skrin, dan doktor menggunakan instrumen kecil untuk menyelesaikan masalahnya.
– ‘Arthroscopy’ bahu
Pembedahan jenis ini menggunakan kaedah yang sama seperti yang dijelaskan di atas untuk pembedahan lutut, kecuali prosedur ini dilakukan di bahu anda. Pakar ortopedik mungkin perlu membuat hirisan kecil tambahan untuk memperbaiki bahagian sendi yang rosak.
– Pembaikan pergelangan kaki
Pembedahan pergelangan kaki diperlukan sekiranya sendi tidak stabil selepas berlakunya kepatahan tulang. Ini bermaksud bahawa tulang tidak dapat diselaraskan dengan betul. Dalam prosedur pembedahan, kedudukan tulang akan dibetulkan kembali ke kedudukan yang sesuai dan ditahan bersama dengan implan.
– Pembedahan tulang belakang
Terdapat banyak jenis pembedahan bahagian belakang badan seperti ‘spinal fusion’, ‘diskectomy’, ‘kyphoplasty’ dan ‘laminectomy’. Semuanya adalah keadaan kritikal kerana tulang belakang memberikan sokongan pusat kepada seluruh sistem rangka. Nasib baiklah terdapat cara untuk melakukan kebanyakan prosedur ini dengan pencerobohan minimum.
– Gabungan sendi
Jenis pembedahan ini biasa berlaku pada pesakit artritis. Tulang rawan yang rosak akan dikeluarkan semasa pembedahan dan digantikan dengan graf. Tulang yang membentuk sendi kemudian dikimpal bersama untuk memberikan kestabilan sendi. Ia boleh dilakukan di tulang belakang, jari, pergelangan kaki dan kaki anda.
– Pembedahan pembinaan semula ACL
ACL bermaksud ‘Anterior Cruciate Ligament’, dan ini adalah salah satu ligamen utama di lutut anda. Ia terletak secara menyerong di bahagian depan lutut, dan ia memberikan kestabilan ketika anda memutarkan kaki. Semasa pembedahan, pakar ortopedik akan mengambil bahagian tendon dari bahagian badan anda yang lain dan menggunakannya sebagai cantuman untuk menggantikan ACL yang telah koyak.
Anggaran kos
Bagi rawatan di hospital kerajaan, pembedahan penggantian lutut ‘single bilateral’ boleh mencecah sehingga RM 35 ribu jika dibandingkan dengan kos di hospital swasta yang boleh menjadi dua kali ganda daripada kos itu.
Seterusnya, bagi penggantian bahagian pinggul pula, kos di hospital kerajaan adalah sekitar RM 8 ribu hingga RM 15 ribu manakala di hospital swasta ia adalah sekitar RM 24 ribu hingga RM 55 ribu.
Rawatan tulang bekalang di hospital kerajaan seterusnya boleh mencecah sehingga RM 36 ribu manakala di hospital swasta adalah sekitar RM 40 ribu hingga RM 55 ribu.
SUMBER
https://www.healio.com/news/orthopedics/20120531/what-is-orthopedics
https://www.perimeterortho.com/contents/patient-information/what-is-orthopaedics
https://www.healthline.com/health/limited-range-of-motion#when-to-seek-help