Apakah itu ovari
Ovari adalah ‘gonad’ wanita iaitu organ pembiakan wanita utama. Kelenjar ini mempunyai tiga fungsi penting iaitu mengeluarkan hormon, melindungi telur yang dihasilkan dan membebaskan telur bagi memungkinkan berlakunya persenyawaan.
Anatomi ovari
Organ ini mempunyai tiga ciri histologi utama:
- Permukaan – dibentuk oleh ‘simple cuboidal epithelium) (dikenali sebagai ‘germinal epithelium’). Di bawah lapisan ini terdapat kapsul tisu penghubung yang padat.
- Cortex – terdiri daripada stroma tisu penghubung dan banyak folikel ovari. Setiap folikel mengandungi ‘oocyte’, dikelilingi oleh satu lapisan sel folikel.
- Medulla – dibentuk oleh tisu penghubung yang longgar dan rangkaian neurovaskular yang kaya, dan masuk melalui ‘hilum’ pada ovari.
Dua ligamen peritoneal yang melekat pada ovari pula ialah:
- ‘Suspensory’ ligamen – lipatan peritoneum yang memanjang dari ‘mesovarium’ ke dinding pelvis. Ia mengandungi struktur neurovaskular.
- Ligamen ovari – ia meluas dari ovari hingga ke ‘fundus’ rahim. Ia kemudian berterusan dari rahim ke tisu penghubung ‘labium majus’, sebagai ligamen bulat rahim.
Bagaimana ovari berfungsi
Ovari melepaskan telur (oocyte) pada titik tengah setiap kitaran haid. Biasanya, hanya satu ‘oocyte’ dari satu ovari dilepaskan pada setiap kitaran haid, dengan setiap ovari bergiliran untuk melepaskan telur. Bayi perempuan dilahirkan dengan semua telur yang pernah ada.
Ini dianggarkan berjumlah sekitar dua juta, tetapi ketika seorang gadis mencapai usia baligh, jumlah ini telah menurun menjadi sekitar 400,000 telur yang disimpan di ovari. Dari tempoh akil baligh hingga menopaus, hanya sekitar 400 hingga 500 telur yang akan mencapai usia matang, dibebaskan dari ovari (dalam proses yang disebut ovulasi) dan dapat disenyawakan pada tiub fallopio / saluran rahim / saluran ovum pada saluran pembiakan wanita.
Di ovari, semua telur pada awalnya tertutup dalam satu lapisan sel yang dikenali sebagai folikel, yang menyokong telur tersebut. Lama kelamaan, telur-telur ini mula matang sehingga satu daripadanya dilepaskan pada setiap kitaran haid. Apabila telur menjadi matang, sel-sel dalam folikel cepat membahagi dan folikel menjadi semakin besar.
Banyak folikel kehilangan kemampuan untuk berfungsi dalam proses ini, yang boleh memakan waktu beberapa bulan lamanya, tetapi satu folikel mendominasi dalam setiap kitaran haid dan telur di dalamnya dilepaskan pada saat ovulasi.
Semasa folikel berkembang, ia menghasilkan hormon estrogen. Setelah telur dilepaskan semasa proses ovulasi, folikel kosong yang tersisa di ovari disebut sebagai ‘corpus luteum’. Ia kemudian membebaskan hormon progesteron (dalam jumlah yang lebih tinggi) dan estrogen (dalam jumlah yang lebih rendah). Hormon ini menyiapkan lapisan rahim untuk kemungkinan berlakunya kehamilan (sekiranya telur yang dilepaskan disenyawakan).
Jika telur yang dilepaskan tidak disenyawakan dan kehamilan tidak berlaku semasa kitaran haid, ‘corpus luteum’ akan rosak dan pengeluaran estrogen dan progesteron berhenti. Memandangkan hormon ini sudah tiada lagi, lapisan rahim mula jatuh dan dikeluarkan dari badan melalui darah haid. Selepas haid, kitaran lain pula bermula.
Masalah kesihatan biasa berkaitan ovari
Terdapat pelbagai jenis penyakit berkaitan organ ini. Beberapa penyakit atau gangguan yang boleh berlaku adalah:
– Endometriosis
Ia adalah gangguan yang menyakitkan di mana tisu yang serupa dengan tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim anda iaitu endometrium tumbuh di luar rahim. Endometriosis paling kerap melibatkan organ ini, tiub fallopio dan tisu yang melapisi pelvis anda. Namun, jarang sekali tisu endometrium merebak di luar organ pelvis.
– Sista ovari
Sista ovari atau pertumbuhan pada ovari, adalah perkara biasa dan kebanyakan wanita akan mendapatnya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Sebilangan besar wanita bahkan tidak tahu bila mereka memilikinya kerana ia biasanya tidak menyakitkan atau tiada apa yang perlu dibimbangkan.
– Kanser ovari
Kanser ovari adalah penyakit yang sangat serius, tetapi jarang berlaku. Gejala-gejalanya biasanya tidak menjadi jelas sehinggalah kanser telah berkembang ke peringkat kemudian. Gejala kanser ini termasuk sakit perut berterusan, gangguan pencernaan, kembung, pendarahan rahim tidak normal dan sakit semasa melakukan hubungan seksual. Ini adalah masalah biasa, jadi dalam kebanyakan kes, ia tidak akan menunjukkan kehadiran kanser.
– Tumor sel kuman ovari
Ini adalah penyakit di mana sel-sel ganas (kanser) terbentuk di sel kuman (telur) ovari. Tanda-tanda tumor sel kuman organ ini adalah pembengkakan perut atau pendarahan faraj selepas menopaus. Selain itu, tumor sel kuman ovari biasanya berlaku pada remaja perempuan atau wanita muda dan biasanya hanya mempengaruhi satu ovari sahaja.
– Tumor malignan ovari dengan potensi rendah
Tumor malignan ovari dengan potensi rendah mempunyai sel tidak normal yang mungkin menjadi kanser, tetapi jarang terjadi sebegitu. Penyakit ini biasanya kekal di organ ini. Apabila penyakit dijumpai di satu belah ovari, ovari yang lain juga harus diperiksa dengan teliti untuk mengetahui sekiranya ada tanda-tanda penyakit.
– Sindrom ovari polisistik (PCOS)
Ini adalah penyakit yang ditakrifkan oleh banyak sista yang tumbuh di pinggir luar ovari kerana kekurangan hormon yang membolehkan telur dilepaskan dari folikel. Gangguan ini boleh menyebabkan kemandulan dan komplikasi serius lain seperti penyakit jantung, diabetes atau strok.
Cara menjaga ovari anda
Kesuburan dan pembiakan wanita sangat bergantung pada kesihatan ovarinya. Ramai wanita yang sukar hamil biasanya mengalami keadaan telur yang buruk. Memandangkan ovari menghasilkan dan melepaskan telur, ianya adalah penting untuk menjaga kesihatan ovari untuk mengetahui keadaan telur anda.
Cuba petua ini mengenai bagaimana anda dapat meningkatkan kesihatan ovari untuk kualiti hidup yang lebih baik!
– Jalani diet yang seimbang
Menjaga kesihatan badan dan minda boleh meningkatkan kesihatan keseluruhan termasuk kesihatan ovari. Banyak makanan berkhasiat digunakan untuk membekalkan nutrien yang diperlukan oleh tubuh anda untuk tetap sihat, begitu juga dengan ovari anda. Pastikan anda menerapkan makanan kaya dengan vitamin A seperti telur, susu, bayam dan labu untuk meningkatkan pengeluaran telur di ovari. Diet sihat dan digandingkan dengan senaman yang baik akan menjadikan hidup lebih sihat.
– Perhatikan berat badan anda
Lemak yang tersimpan boleh menghasilkan estrogen, begitu juga ovari kita. Elakkan estrogen berlebihan dan masalah kesihatan yang boleh menyebabkan pengeluaran estrogen tambahan seperti endometriosis, kemandulan, fibroid, PMS dan banyak lagi dengan memerhatikan berat badan anda. Masalah berat badan berlebihan juga tidak bagus. Ini membawa risiko tubuh anda menghentikan proses ovulasi kerana “menganggap” itu adalah masa ancaman atau kelaparan.
– Perhatikan tanda-tanda oleh badan anda
Tubuh anda cenderung memberitahu anda sesuatu ketika ada perkara yang tidak betul. Sekiranya anda menyedari bahawa anda tidak mendapat haid secara berkala, ini mungkin bermaksud sesuatu yang tidak betul. Perkara seperti peningkatan bulu badan dan muka, kenaikan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, atau kesukaran untuk hamil, semuanya boleh menjadi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak betul dan mungkin sudah tiba masanya untuk mengunjungi pakar penjagaan kesihatan anda.
– Berhenti merokok
Merokok boleh mengurangkan tahap estrogen yang boleh mempengaruhi kesuburan. Malah, ini juga bermaksud bahawa telur terdedah kepada kelainan dan kadar keguguran lebih tinggi pada perokok. Wanita yang merokok berisiko mendapat menopaus dan osteoporosis lebih awal. Di samping itu, merokok juga sangat membahayakan kesihatan ovari, jadi individu sememangnya disarankan untuk berhenti merokok.
– Kurangkan tekanan
Tekanan dapat menghentikan proses ovulasi dan menyebabkan gangguan dalam kitaran anda. Kita semua dapat menjalani hidup secara lebih baik dengan menghilangkan atau mengurangkan tekanan dalam hidup kita. Ia juga bagus untuk kesihatan ovari dan kesihatan keseluruhan.
SUMBER
https://www.yourhormones.info/glands/ovaries
https://www.livescience.com/58862-ovary-facts.html
https://teachmeanatomy.info/pelvis/female-reproductive-tract/ovaries
https://qualityoflife.net/blogs/news/3-easy-tips-to-keep-your-ovaries-healthy