Now Reading
Pakar kardiologi didakwa kerana tidak mematuhi arahan PKP

Pakar kardiologi didakwa kerana tidak mematuhi arahan PKP

pakar kardiologi langgar arahan PKP

Gara-gara tidak mematuhi arahan kekal di rumah sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan, seorang pakar kardiologi didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown. Bukan sahaja mengingkari arahan yang dikeluarkan, malah pakar perubatan itu juga mencetuskan kekecohan selepas bertelegah dengan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana melarangnya berjoging.

Ini bukanlah kes pertama di mana individu mengingkari arahan kerajaan, malah sudah banyak tangkapan dibuat melibatkan beberapa kawasan di serata Malaysia. Ada yang masih makan di kedai makan seperti biasa malah ada juga berjoging di taman perumahan mereka pada ketika ini.

Mengapa ada golongan sebegini yang sepertinya tidak faham akan perintah yang sudah terang lagi bersuluh dikeluarkan sejak 2 minggu lalu. Bayangkan, jika seorang individu berasa ianya tidak mengapa jika keluar rumah untuk berjoging, apa pula akan jadi sekiranya fahaman begitu juga diguna pakai oleh individu-individu lain? Bukankah ini akan mendatangkan masalah kepada semua orang? Bukan sahaja anda boleh ditangkap dan didakwa atas tuduhan yang sangat remeh, malah anda juga menyukarkan kerja pihak berkuasa dalam membantu melindungi rakyat dalam episod wabak COVID-19 ini.

Bagi mereka yang ingkar akan perintah ini, adakah anda mahu membayar denda ribuan ringgit kerana tindakan anda sendiri? Bukankah dalam keadaan ekonomi sekarang, kita seharusnya lebih banyak menyimpan duit untuk kegunaan masa hadapan bukannya mencetuskan masalah lain yang memakan diri sendiri.

Mengapa pentingnya perintah Kawalan Pergerakan ini?

Ianya bukanlah satu keputusan yang mudah buat kerajaan menetapkan perintah ini kerana hal ini melibatkan semua pihak. Peniaga, pekerja, syarikat dan banyak lagi semuanya akan terkesan disebabkan arahan ini. Namun, apa yang terbaik harus dilakukan. Jika ini yang boleh membantu membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia, inilah yang terbaik buat kita semua.

Arahan Kawalan Pergerakan yang termasuk mengamalkan ‘social distancing’ serta kekal berada di rumah kecuali jika ada keperluan yang mustahak adalah penting kerana ia membantu mengurangkan pergerakan individu dalam kelompok yang ramai pada satu masa. Sebagai contoh, mereka yang bekerja juga digalakkan kerja dari rumah kerana bayangkan, jika anda pergi ke kerja menaiki perkhidmatan LRT, betapa mudahnya anda boleh terdedah kepada coronavirus tanpa anda sedari. Jika ternyata salah seorang penumpang LRT tersebut sebenarnya positif COVID-19, bukankah ini perkara yang membimbangkan?

Begitu jugalah mengapa anda tidak dibenarkan berjoging walaupun di kawasan rumah anda. Walaupun ia mungkin tidak melibatkan orang lain, namun ia boleh memberi contoh yang negatif kepada masyarakat lain yang mengikuti arahan tersebut.

Bantulah Malaysia hadapi wabak COVID-19

Jika kita mahu membendung penularan wabak ini, semua pihak haruslah bekerjasama sebagai satu kumpulan. Ini bukanlah satu virus yang biasa seperti virus yang menyebabkan selesema biasa itu, tetapi ia boleh membawa maut. Siapa lagi yang boleh membantu jika bukan kita sendiri?

Tidakkah anda berasa kasihan melihat ‘frontliners’ kita yang bekerja keras setiap masa bagi membantu pesakit-pesakit di hospital sedaya upaya mereka? Ada yang terpaksa meninggalkan keluarga, ada yang bekerja semula setelah bersara, ada yang tidak cukup tidur atau tidak sempat makan serta banyak lagi kesusahan yang mereka alami.

Ambillah peluang ini untuk berada di rumah bersama keluarga tersayang. Elakkan pergerakan keluar rumah sebanyak yang mungkin serta sentiasa jaga kebersihan setiap masa. Mari sama-sama cegah penularan wabak COVID-19! Jadikan kes pakar kardiologi didakwa ini sebagai satu pengajaran agar kita juga tidak menerima nasib yang sama.

Kredit: Sumber gambar diambil daripada https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/03/30/cardiologist-who-defied-authorities-to-go-jogging-charged-with-breaching-mc/1851614

SUMBER

  1. https://www.hmetro.com.my/utama/2020/03/560249/pakar-kardiologi-kena-dakwa
  2. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/560049/16-individu-ditangkap-langgar-pkp
  3. https://kidshealth.org/en/parents/coronavirus-stop-spread.html?WT.ac=p-ra

error: Content is protected !!