Akhirnya rahsia telah terbongkar. Kemas dapur anda sebenarnya mempunyai satu kelebihan yang tidak dijangka. Siapa sangka, ia boleh membantu memperbaiki diet anda serta menghilangkan berat badan. Perkara ini berlaku apabila anda bertanya pada diri sendiri, “Adakah barang-barang ini pilihan yang sihat?”
Kini, anda pasti sudah mengetahui bahawa mengemas di kawasan rumah terutamanya kemas dapur anda adalah satu aktiviti yang bagus, dan kita haruslah berterima kasih pada guru gaya hidup sihat iaitu Marie Kondo berserta buku terbitannya yang terbaik, ‘The Life-Changing Magic of Tidying Up’ serta siri Netflix, ‘Tidying Up with Marie Kondo’. Khabar angin yang anda dengar bahawa mempunyai rumah yang kemas boleh membuatkan anda merasa lebih tenang secara mental dan fizikal adalah benar.
Kajian telah menunjukkan bahawa dapur yang kemas boleh menjana tabiat mengambil makanan sihat serta mengurangkan tekanan yang boleh berlaku semasa seseorang itu memilih makanan yang tidak sihat.
Dalam kajian yang diterbitkan di jurnal Environement and Behaviour pada tahun 2016, kajian ini melihat kepada situasi yang terjadi apabila kedua-dua jenis wanita yang mengalami tekanan serta wanita yang tidak mengalami tekanan memasuki ruang dapur yang bersepah dan ruang dapur yang kemas. Hasilnya tidak mengejutkan kerana apabila wanita yang mengalami tekanan perasaan lebih mudah mengambil kalori yang lebih banyak berbanding sekiranya dia memasuki ruang dapur yang bersih dan rapi. Malah, wanita yang tidak mempunyai tekanan perasaan juga mampu makan secara berlebihan apabila memasuki ruang yang tidak teratur.
Ingin ikuti cara KonMari yang digunakan oleh Marie Kondo di dapur anda? Ikuti lima langkah seperti di bawah:
– Tanyakan soalan ini dalam diri anda, “Adakah barang ini pilihan yang sihat?”
Keluarkan semua barangan dalam pantri anda agar anda dapat melihat barangan itu satu per satu. Berbanding menanyakan soalan “Adakah barang ini menarik perhatian dan membahagiakan?” seperti yang disarankan dalam KonMari, sebaliknya tanya pada diri sendiri, “Adakah barang ini boleh memberi kebaikan dan peningkatan pada kesihatan saya?”. Jika jawapannya tidak, maka sudah tiba masa untuk anda membuang barang itu atau menyumbangkannya pada orang lain. Setelah meletakkan semula barang-barang itu ke dalam pantri, susun mereka degan kemas mengikut jenis-jenis makanan (makanan dalam tin, gandum, barang membuat kek, rempah ratus dan sebagainya) bagi memudahkan anda memasak makanan sihat dengan mudah.
– Susun barangan di atas kaunter dapur anda
Salah satu cara untuk memastikan anda tidak mengambil kalori secara berlebihan adalah dengan mengosongkan kaunter dan memastikan tiada sebarang barang diletakkan di atasnya. Susun sabun cuci pinggan dan span membasuh di bawah sinki dengan kemas. Alatan kecil seperti pembakar roti dan pengisar boleh diletakkan dalam almari. Hanya satu sahaja yang dibenarkan di atas permukaan kaunter itu iaitu pinggan yang penuh dengan buah-buahan. Kajian yang dilakukan oleh Health Education and Behaviour pada tahun 2015 yang melihat pada ratusan pemilik rumah mendapati mereka yang menyimpan makanan ringan seperti gula-gula, kerepek atau biskut di atas kaunter itu mempunyai berat berlebihan berbanding mereka yang meletakkan pinggan buah-buahan di tempat yang sama.
Mempunyai permukaan kaunter yang kemas dan bersih juga memberi inspirasi kepada anda untuk masak di rumah. Jadi, bagaimana untuk capai hal ini? Anda tidak akan berasa tertekan apabila melangkah masuk ke dalam ruang dapur anda.
– Susun barang dalam peti sejuk
Seperti mana yang anda lakukan pada pantri, keluarkan semua barang daripada peti sejuk dan ruang beku bagi memudahkan anda membuat pemeriksaan satu per satu. Ini boleh memastikan anda tahu yang mana harus dibuang dan yang mana harus disimpan. Buang barangan yang sudah melepasi tarikh luput dan tidak sihat. Jangan lupa juga untuk buang barang ‘UFO’ iaitu barang yang tidak dikenal pasti menyorok dalam penyimpanan kita. Selepas itu, susun semula barang mengikut kesenangan anda dengan kemas sewaktu memasak bagi memudahkan anda mencari barang yang dikehendaki.
– Kemas almari anda
Almari dan laci adalah sangat berguna sebagai tempat penyimpanan barang agar barangan anda tidak bersepah di ruang dapur dan di atas kaunter. Namun begitu, anda harus pastikan barang-barang yang disimpan almari dan laci disusun dengan kemas dan rapi dan bukannya dipenuhi dengan barangan yang tidak digunakan. Keluarkan semua barangan dalam almari dan laci dan hanya simpan barangan yang diperlukan untuk keluarga anda sahaja dengan kemas. Sumbang atau berikan lebihan pinggan mangkuk, sudu, garpu dan peralatan memasak ataupun peralatan seperti bekas mendirikan kek, acuan agar-agar serta pan kek yang jarang atau tidak pernah digunakan.
– Setkan rutin semasa makan
Marie Kondo menyarankan agar anda berlatih untuk menikmati makanan anda dengan tenang dengan mengambil makanan dan snek sewaktu duduk dan meletakkan makanan di atas meja. Dalam erti kata yang lain, elak makan semasa berdiri di dapur sambil membuat kerja lain atau duduk di hadapan TV. Dengan menikmati makanan secara tenang di meja makan secara berterusan, ini dapat memastikan anda tahu apa jenis makanan yang diambil serta impak makanan tersebut pada diri dan kesihatan anda. Jika Marie Kondo mempraktikkan cara sebegini, pastinya ia adalah cara yang terbaik, bukan?
SUMBER
https://www.health.com/weight-loss/marie-kondo-kitchen-cleaning
https://www.popsugar.com/fitness/KonMari-Method-Weight-Loss-41575526
https://weightloss.allwomenstalk.com/give-your-kitchen-the-marie-kondo-treatment