Pantai Teluk Kemang adalah destinasi pantai yang paling popular di Port Dickson, dan yang terbesar dari segi kemudahan dan infrastruktur.
Terletak antara batu 7 dan 8 Port Dickson, Teluk Kemang adalah tempat tumpuan kebanyakan hotel, resort dan pangsapuri keluarga. Tarikan pelancongan di sekitarnya termasuk Baitul Hilal, Ladang Burung Unta dan Pusat Ikan Hiasan.
Bagi mereka yang memandu kenderaan, Pantai Teluk Kemang dapat diakses dengan mudah di mana jaraknya sekitar 9 minit dari Lexis Hibiscus Port Dickson.
Pada hujung minggu dan cuti umum, Pantai Teluk Kemang akan penuh sesak dengan pengunjung yang datang dari pelbagai pelusuk tempat, sementara laut turut menjadi ceria dan meriah dengan sukan air bermotor dan kanak-kanak yang bermain di pantai.
Pantai Teluk Kemang adalah lokasi kegemaran di kalangan penduduk tempatan, terutamanya mereka yang sukakan dengan aktiviti sukan air, kerana ia adalah tempat rekreasi tepi pantai yang paling lengkap dengan pelbagai aktiviti seperti melayari angin, berkayak, skuter air dan banyak lagi.
Selain mandi dan berenang di laut atau hanya bersantai di tepi pantai sambil menikmati angin laut, anda boleh mencuba aktiviti-aktiviti lain seperti ski air atau parasailing.
Bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti dalam kumpulan, anda boleh berseronok dengan menaiki bot pisang atau berkanu.
Pengunjung juga boleh menjelajah ke pantai-pantai berdekatan atau pulau-pulau kecil di sepanjang garis pantai Port Dickson dengan menyewa bot laju.
Di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, terdapat banyak gerai makanan dan medan selera yang menjual hidangan tempatan dan makanan ringan, untuk mereka yang berasa lapar setelah habis berenang di pantai.
Bagi penggemar makanan laut, anda mungkin lebih berselera apabila mengetahui bahawa terdapat pelbagai pilihan restoran makanan laut yang beroperasi di sepanjang pantai di sini ketika malam menjelang.
Pantai Teluk Kemang juga merupakan salah satu tempat pantai yang paling nyaman dan selesa kerana terdapat pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, kemudahan pancuran mandian, bilik cuci dan gerai-gerai menarik yang menjual pelbagai cenderamata.
Dengan pemanduan di sepanjang jalan di Port Dickson akan menjadikan pengalaman percutian anda tidak dapat dilupakan, kerana anda dapat melihat pemandangan pantai dan laut yang menakjubkan.
Bagaimana Untuk Pergi Ke Pantai Teluk Kemang
Pantai Teluk Kemang, Port Dickson boleh dikunjungi dengan mudah dari Kuala Lumpur atau Singapura dengan melalui lebuh raya dan jalan raya utama.
Perjalanan dengan kereta adalah cara utama untuk sampai ke Port Dickson (PD), kerana kebanyakan pengunjung mereka akan datang dengan menaiki pelbagai jenis kenderaan.
Lapangan terbang terdekat adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, di mana jaraknya hanyalah 40km menuju destinasi.
Jika anda ingin menggunakan pengangkutan awam (selain teksi), anda boleh menaiki kereta api atau bas ke Seremban iaitu di Terminal One Seremban (kira-kira 54km dari Kuala Lumpur), kemudian menaiki bas lain pula untuk ke Port Dickson.
Dari situ anda akan lebih mudah untuk menuju ke Pantai Teluk Kemang.
Selain dari pantainya yang menjadi tarikan utama pelancong di Port Dickson, terdapat beberapa tempat sejarah dan taman rekreasi untuk bersiar-siar. Di sepanjang jalan pesisir, pelancong dapat melihat Muzium Tentera (pameran peralatan dan sejarah ketenteraan), dan Ladang Burung Unta.
Bagi pencinta alam dan burung-burung, Cape Rachado adalah hutan simpan spektakuler yang terletak di atas tanjung, dengan pemandangan laut yang mengagumkan dan pemandangan hidupan liar.
Perjalanan lebih jauh ke luar kota, menghala ke selatan, pengunjung dapat menjelajah ke perkampungan nelayan Teluk Pelanduk dan Pasir Panjang, atau Benteng dan Muzium Kota Lukut di utara bandar.
Banyak lagi tempat-tempat menarik yang anda boleh kunjungi seperti PD Waterfront, Phantasy Farm, Baitul Hilal, Alive 3D Art Gallery, Rumah Terbalik dan bermacam lagi.
Saya yakin percutian anda di Pantai Teluk Kemang, PD ini pasti akan menjadi satu memori yang akan terpahat sepanjang hayat anda.
Berdasarkan pelbagai perkara menarik yang disenaraikan di atas selepas kita tamat PKP dan boleh merentas negeri, mungkin Pantai Teluk Kemang menjadi pilihan destinasi. Selain berehat di sini sambil-sambil itu bolehlah kita memberi sokongan ekonomi dengan membeli belah di kawasan sekitar Pantai Teluk Kemang. Semoga bermanfaat!
http://portdickson.info/teluk-kemang.htm
https://www.lexishibiscuspd.com/places-of-interests/teluk-kemang-beach