Pantai Terengganu merupakan antara pantai yang menarik daripada banyak negeri di Malaysia. Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50.
Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Ada sesetengah Pantai Terengganu tidak disyorkan untuk mandi kerana faktor-faktor tertentu.
Keluasan negeri Terengganu sekarang adalah kira-kira 1,295,638.3 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara (Besut) ke selatan (Kemaman). Negeri ini mempunyai banyak pantai yang menjadikannya salah satu destinasi pelancongan. Pantai Terengganu selalu dikaitkan dengan keberadaan penyu. Untuk sesetengah tempat, ia memang dijadikan lokasi untuk penyu bertelur seperti Rantau Abang.
Senarai Pantai Cantik Di Terengganu
1. Pantai Batu Buruk
Pantai ini paling dekat dengan bandar Kuala Terengganu. Menjadi tumpuan warga tempatan apabila hujung minggu dan juga di petang hari.
Dari sini tak jauh dari beberapa tempat menarik lain di Kuala Terengganu. Pantai ini hanya sekadar untuk lepak dan tak sesuai untuk mandi manda kerana struktur permukaan pantai yang dalam mengejut dan ombak yang kuat.
Gerai-gerai menjual makanan di sini pun agak banyak kalau nak melepak makan petang samada keropok lekor, ikan celup tepung, masakan panas dan sebagainya. Namun kalau nak makan ikan celup tepung (ICT) yang lebih best, sebaiknya pergi ke Pantai Teluk Ketapang yang terletak kira-kira 12km daripada bandar Kuala Terengganu.
Kalau makan malam, di sini juga ada beberapa restoran tepi pantai yang menyediakan makanan seafood yang sedap.
Pantai Batu Buruk juga merupakan tempat yang menarik di Kuala Terengganu untuk berbuka puasa. Kalau time ramadhan memang ramai yang menghamparkan tikar dan berbuka di tepi pantai. Masjid pun dekat dan Bazar Ramadhan Shahbandar pun hanya beberapa km dari sini.
Kalau di pantai barat Semenanjung Malaysia orang ke pantai untuk melihat sunset, tapi di sini anda boleh melihat sunrise.
2. Pantai Teluk Ketapang
Kecantikan pasir pantai di Teluk Ketapang memang tidak secantik di pantai di Pulau-Pulau lain. Namun pasir pantai dari jalan utama memang agak panjang dan luas. Kalau nak beriadah dengan keluarga untuk bermain layang-layang memang sangat sesuai.
Yang membuatkan pelancong suka ke sini kerana di sinilah terletaknya gerai-gerai ikan celup tepung yang popular iaitu ICT Pok Long dan juga Firdausy Seafood Corner.
Satu lagi tempat makan ikan celup tepung yang sangat popular ialah Pok Nong Celup Tepung yang terletak di Mengabang Telipot kira-kira 7km daripada Pantai Teluk Ketapang.
Pantai Teluk Ketapang juga bersebelahan sahaja dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Telaga Batin.
Kalau menuju ke Pantai Teluk Ketapang anda boleh melalui Seberang Takir dan singgah di Kedai Keropok Lekor BTB.
3. Pantai Pandak/ Pantai Chendering
Pantai Pandak ini terletak di dalam daerah Marang namun jarak nak ke sini dari Bandar Kuala Terengganu hanya sekitar 7km. Penduduk setempat lebih mengenali Pantai Pandak ini sebagai Pantai Chendering kerana terletak di kawasan Chendering.
Di sinilah satu-satunya tempat yang selamat kalau nak mandi-manda air laut kerana struktur permukaan pantai yang berteluk.
4. Pantai Rhu Spuloh/ Pantai Penarik
Kalau menuju ke Kelantan melalui Jalan Pantai, anda pasti akan jumpa Pantai Rhu Spuloh atau lebih sinonim dengan Pantai Penarik. Kat sini juga mempunya beberapa gerai ikan celup tepung yang menarik. Sesuai untuk dijadikan R&R dalam perjalanan ke Kelantan. Masjid pun 2 km sahaja dari sini.
Dan kalau nak ikut kecantikan, memang tidak dinafikan Pantai Rhu Spuloh mempunyai pantai yang lebih putih dan halus. Air laut dia pun lagi membiru kalau nak dibandingkan pantai-pantai lain di Terengganu. Dari sini juga anda boleh melihat Pulau Redang, Pulau Bidung dan Pulau Lang Tengah.
6. Pantai Teluk Lipat dan Pantai Teluk Gadong
Pantai Teluk Lipat ini terletak di daerah Dungun dan hanya beberapa km dari bandar utama Dungun. Pantai ini memang panjang dan bersamung dengan Pantai Teluk Gadong. Setiap petang memang meriah dengan pelajar-pelajar, UiTM Dungun pun betul-betul di tepi pantai ini.
Di sini memang banyak gerai yang menjual masakan panas dan makanan laut celup tepung. Pelajar selalu jogging setiap pagi di sini sebelum pekena nasi dagang dan telur separuh masak di warung yang berdekatan di sini.
7. Pantai Teluk Bidara
Pantai ini memang agak panjang dan menjadi tempat bersiar-siar orang Dungun setiap petang dan hujung minggu. Berdekatan juga dengan Tanjung Jara.
Kalau anda menuju ke sini dari Bandar Dungun dan melalui Jambatan Baru Dungun, semestinya anda singgah kejap atas jambatan dan ambil gambar muara sungai terutamanya di waktu pagi ketika matahari naik. Memang cantik !
Pantai ini memang agak pedalaman sikit dari jalan utama dan memang tak dinafikan air laut di sini memang sangat biru dan pantai dia pun bersih.
8. Pantai Teluk Mak Nik (Monica Bay)
Di sini memang satu tempat bersiar dan melepak yang sangat popular di Kemaman. Di hujung jalan, terdapat track motor cross. Kawasan Pantai Teluk Mak Nik ni sangat redup dengan pokok-pokok rhu. Kalau datang tengahari pun tak terasa sangat bahang cahaya matahari.
Memang sangat best lepak di sini sambil makan sata. Pantai Teluk Mak Nik ni hanya 2-3 km sahaja daripada gerai-gerai sata, otak-otak, pais dan pulut panggang yang sangat popular dan salah satunya ialah Warung Aziz Satar yang selalu meriah dipenuhi pelanggan.
Senarai pantai Terengganu di atas antara yang paling meriah dan mempunyai keunikan yang menarik. Kalau anda pecinta pantai dan laut, semestinya kena singgah dan nilai sendiri.
Sumber:
https://www.caridestinasi.com/senarai-pantai-di-terengganu/
https://www.keretasewaganu.com/pantai-santai-best-kuala-terengganu/\